Sunday, June 21, 2009

Nikmatnya Panas

Kelmarin, cuacanya nyaman sekali. Paginya sejuk dengan kabus putih menyelubungi alam. Menjelang tengahari mentari mula bersinar terang, berterusan sehingga lewat petang. Dengan suhu sekitar 16 darjah Celcius bahang panas terasa suam, cukup menyegarkan. Angin pula hanya sesekali sahaja bertiup, mengekalkan kehangatan persekitaran.

Buat pertama kalinya pakaian yang dibasuh di musim sejuk ini sempat kering di ampaian luar. AlhamduliLlah, jika tidak perlu disidai di dalam rumah berdekatan lubang pemanas seperti kelazimannya.

Berjalan kaki ke masjid untuk solat Jumaat pun terasa seronoknya. Begitu juga di dalam masjid. Cahaya mentari yang menerobos masuk melalui tingkap menambahkan rahmatNya. Khutbah tentang fadhilat bulan Rejab yang dibaca khatib/imam kedengaran begitu jelas, hilang rasa mengantuk.

Hari-hari sepanjang musim sejuk ini amat susah untuk mendapatkan keadaan cuaca seumpamanya. Kebiasaanya suhu sejuk diiringi sama hujan ataupun angin, adakala kedua-duanya sekali.

Itulah nikmat dari Allah SWT. Setinggi-tinggi kesyukuran, dalam kesejukan Engkau datangkan kehangatan. Teringat ketika awal musim bunga pada tahun lepas. Saat mentari bersinar seperti semalam, kami lena di beranda belakang rumah. Terubat segala derita kesejukan sebelumnya.

Namun semalam cuacanya kembali sejuk. Hari ini pun diramalkan sama. Sistem pemanas berpusat perlu dipasang untuk menghangatkan dalaman rumah. Lubang-lubang pemanas yang terletak di lantai di penjuru dinding samada di dalam bilik mahupun di ruang tamu dan di sudut dapur sememangnya menjadi rebutan. Kaki dan tangan yang kesejukan dilayurkan di atasnya untuk mendapatkan rasa panas. Terlebih lagi selepas berwuduk mahupun mandi. Itupun nikmat panas juga. Syukur padaNya dalam kesejukan ada pemanas yang membantu.

Begitulah nikmat kurniaanNya. Hujan pun anugerahNya juga. Setiap yang dijadikan ada hikmahnya. Walaupun kelihatan amat kecil dan remeh sekali akan tetapi amat signifikan, terlebih lagi kepada yang mengalami dan merasainya.

SubhanaLlah. AlhamduliLlah. AllahuAkbar.

No comments: