Saturday, December 31, 2011

Imran Khatam Quran

AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Illahi. Malam ini pada tanggal 31 Dis 2011, menjelang masuknya waktu Isyak, anak bongsu kami, Muhammad Imran akhirnya khatam 30 juz Al-Quran. Mengekori pencapaian kakaknya, Nur Solehah yang khatam Al-Quran beberapa minggu lalu. Satu pencapaian yang amat membanggakan. Tahniah Imran. Tahniah Solehah.

Imran mula membaca Iqra' pada usia 6 tahun iaitu pada tahun lepas, ketika kami masih di Melbourne, Australia. Sekembalinya ke tanah air pada awal tahun ini, Imran telah pun lancar membaca Muqaddam, seterusnya bersambung dengan kitab Al-Quran.

Setiap hari, selepas solat Subuh dan selepas solat Maghrib, Imran tidak pernah culas/ tinggalkan rutin membaca Al-Qurannya. Tidak kiralah di mana ia berada.

Jika kebetulan di rumah saudara mara mahupun kenalan ataupun di masjid, pasti diminta mushaf Al-Quran untuk dibaca. Begitu juga jika terlepas waktu kerana sesuatu halangan, maka akan diganti waktu tersebut. Demikianlah keprihatinan Imran dalam menjaga rutin bacaan Quran hariannya.

AlhamduliLlah, Imran juga dikurniakan kelebihan lancar dan tepat tajwid Al-Quran yang dibaca. Dari itu cepatlah ia berpindah dari satu muka surat kepada muka surat berikutnya. Tidak sampai setahun, Imran mampu menamatkan 30 juzuk Al-Quran. Itulah salah satu hikmahnya jika rajin berdampingan dengan Al-Quran.

Walaupun telah khatam, rutin membaca Al-Quran akan tetap diteruskan. Mungkin kaedahnya sedikit berbeza, antaranya dibaca secara bertadarus, diselitkan dengan hafazan, mengenali hukum-hukum tajwid dan juga mempelajari terjemahan serta tafsiran ayat-ayat Al-Quran.

Doa kami, moga kami sekeluarga akan sentiasa membudayakan Al-Quran di dalam kehidupan seharian, berterusan selama-lamanya. Ameen.

Friday, December 23, 2011

Keputusan PMR

Sebenarnya entri ni telah ditulis pada hari keputusan PMR diumumkan tetapi tidak berkesempatan untuk diposkan. Tanpa edit, ianya diposkan.

Hari ini keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 telah diumumkan. Menjelang jam 10:00 pagi, para pelajar Tingkatan 3 berpusu-pusu membanjiri perkarangan sekolah masing-masing untuk mengetahui apa keputusan yang diperolehi. Ibu bapa pun turut sama menyesakkan lagi perkarangan sekolah. Bukan hanya nak tahu keputusan anak-anak tetapi paling penting untuk memberi sokongan moral mereka.

Muhammad Izzuddin, anak sulung kami antara pelajar yang menunggu penuh debaran di perkarangan sekolahnya, SMK Lembah Keramat. Kami tidak turut serta kerana memberi peluang padanya menerima seadanya apa-apa keputusan yang dicapai.

Tulus ikhlas kami katakan, sesungguhnya kami tidak menaruh harapan tinggi untuk Izzuddin mencapai kejayaan yang cemerlang kerana sedar bebanan dan cabaran yang perlu dilaluinya. Ini kerana Izzuddin telah lama meninggalkan alam persekolahan di Malaysia, hampir 5 tahun lamanya. Malah UPSR pun tidak pernah didudukinya, begitu juga pembelajaran di Tingkatan 1 dan 2.

Sekembalinya dari Australia pada awal tahun ini, Izzuddin terus masuk ke Tingkatan 3. Dengan kata lain, terlalu banyak pelajaran yang tertinggal lebih-lebih lagi subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam. Subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik sekurang-kurangnya telah dipelajari semasa di luar negara.

Namun kami amat kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan Izzuddin. Ada ketikanya dugaannya amat berat sehingga boleh membuatkan dirinya berputus asa. Sebagai ibu bapa, kami sentiasa mengingatkannya agar berusaha setakat terdaya, selebihnya berserahlah kepada Allah SWT.

Keputusan yang diperolehi oleh Izzuddin adalah 7A 1B (B di dalam Bahasa Melayu). Tahniah Iddin. Bagi kami ianya kejayaan yang amat cemerlang. Lebih cemerlang dari mereka yang mendapat 8A yang sejak kecil dibesarkan dalam sistem pendidikan negara. Walaupun hanya 7 bulan belajar, Izzuddin berjaya mengatasi rakan-rakan yang belajar 3 tahun.

Tumpuannya sekarang adalah untuk mengungguli Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menentukan arah tujunya di dalam pembentukan kerjayanya di masa hadapan. Semoga segalanya dipemudahkan oleh Allah SWT. Ameen.

Sekali lagi, sekalung TAHNIAH untuk Izzuddin. Kami semua bangga denganmu.

Monday, December 19, 2011

Khatam Quran

Khatam Quran lazimnya merujuk kepada tamatnya bacaan satu mashaf Al-Quran yang berjumlah 30 juzuk: 114 surah: 6,236 ayat. Jika hanya tamat kitab Iqra', belum lagi dikatakan khatam. Begitu juga jika hanya habis baca Muqaddam pun belum boleh dikatakan khatam.

Demikianlah pemakaian kata 'khatam Quran' yang selalunya digunakan. Tidak tahulah jika ada penafsiran yang lebih tepat lagi. Maaflah kami bukan pakar bahasa, sekadar pengguna bahasa yang umum sahaja. Apa-apa pun buat sementara waktu ini kita terimalah penakrifan yang diguna pakai ramai tentang khatam Quran ini.

Bagi pembaca Quran, khatam Quran adalah suatu kepuasan yang amat menyeronokkan. Apatah lagi bagi kanak-kanak (mahupun orang dewasa) yang pertama kali khatam Quran.

Di kampung saya di Terengganu dahulu, apabila anak-anak khatam Quran, maka diadakan majlis kesyukuran ringkas dengan hidangan nasi pulut kuning (dipanggil nasi kunyit). Sekarang ini jarang ditemui lagi. Kami sendiri pun tidak meneruskan tradisi tersebut apabila anak-anak kami khatam Quran. Hanya dibacakan doa khatam Quran sahaja bersama rasa syukur kepadaNya yang telah mengizin dan memudahkan usaha pembacaan sehingga tamat.

Beberapa hari lepas, anak ketiga kami Nur Solehah telahpun khatam Quran. Seronoknya dia tidak terkira. Rona-rona kepuasan jelas terpancar di wajahnya. Tahniah Solehah. Syukur kehadrat Illahi.

Bagi adiknya Muhd Imran pula, Insya Allah akan khatam 30 juzuk Al-Quran dalam beberapa minggu lagi. Abangnya, Muhd Izzuddin dan kakaknya, Nur Hanisah telahpun lama tamat, kurang lebih 5 tahun lalu.

Kesemua anak-anak kami bimbing sendiri di rumah. Abang dan kakak mereka pun turut menunjuk ajar ketika kami tidak berkesempatan. Adakala datuk dan nenek pun turut membantu. AlhamduliLlah, syukur atas setiap kurniaan dan anugerahNya.

Walaupun telah khatam Quran, tidak bermakna anak-anak tidak perlu lagi membacanya. Sekurang-kurangnya sekali sehari mereka wajib bertadarus, biasanya selepas solat Maghrib dan selepas Solat Subuh ketika hari cuti. Di bulan Ramadhan pula biasanya kami bertadarus sehingga khatam satu mashaf Al-Quran.

Pada masa yang sama anak-anak digalakkan untuk menghafal seberapa banyak surah/ ayat yang termampu. Tidak dilupakan juga untuk meneliti terjemahan dan tafsirannya secara bersendirian mahupun bersama.

Hikmahnya amat banyak, lebih-lebih lagi dalam mengharungi pancaroba kehidupan sekarang yang amat melalaikan. Insya Allah barangsiapa yang menyayangi Al-Quran akan sentiasa disayangi oleh Allah SWT. Itulah harapan kami. Ameen.. ameen... ameen... Ya Rabbal 'alameen.

Monday, December 12, 2011

Kini 15 Tahun

Pada tanggal 10 Disember, 2011; meningkat setahun lagi usia abang long, Muhammad Izzuddin @ Iddin kepada 15 tahun Masihi. Happy Belated Birthday Iddin.

Tiada sambutan khusus diatur. Cukup sekadar berkumpul bersama keluarga sebagai tanda kesyukuran. Berkebetulan kami berada di kampung halaman nenek di Kg. Bukit Bangkong. Turut serta atuk-nenek dan ibu-bapa saudaranya, Cik Eus-Ayah Fahimey sekeluarga.

Harapan dan doa kami untuk Iddin, moga redha Allah SWT sentiasa mengiringi setiap tindakan yang diambil serta beroleh kejayaan dan kebahagian hidup di dunia dan diakhirat. Ameen.

Hadiah untuk Iddin pun simple aja, sesuai untuk kegunaan harian. Moga ada manafaatnya.

Begitulah lazimnya untuk semua anak-anak apabila tiba ulang tahun kelahiran mereka. Paling utama mereka menyedari dan menginsafi hakikat kejadian dan kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi ini.

Tuesday, December 6, 2011

Cuti-cuti Di Kuala Kubu Bharu

Cerita ini lebih seminggu lepas telah berlalu. Sedikit terlewat kerana ada gangguan capaian internet di rumah yang berlarutan kira-kira seminggu. Baru sehari dua ini ianya kembali pulih. AlhamduliLlah.

Sebagaimana Cuti-cuti Sabah, kisah percutian kami ini dalam 3 kronologi perjalanan - Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser dan Tanjong Malim. Harap maklum.


Pada awal minggu lepas (Awal Muharram) kami sekeluarga berkunjung ke Kuala Kubu Bharu (KKB). Ianya satu tempat yang kerap kami kunjungi antara 5 - 10 tahun lalu. Ketika itu adik bongsu Laili, Nasrul Hadi bersekolah di SAMT Kuala Kubu Bharu. Selepas itu anak saudara saya pula, Muhd Sopiyuddin belajar di Darul Quran JAKIM.

Kali ini kunjungan kami juga bersebab. Anak sulung kami, Muhd Izzuddin menduduki ujian kemasukan ke Tingkatan 4 MRSM dan MRSM Kuala Kubu Bharu menjadi lokasi ujiannya. Itulah satu-satunya MRSM yang terdekat.

Di KKB, kami menginap 3 hari 2 malam di Ain's Homestay yang terletak di kawasan perumahan Taman Juta, bersebelahan Bandar KKB. Rumah teres setingkat milik Cikgu Noraini yang simple dan selesa. Terima kasih Cikgu Safiah @ Cik Safiah, ibu saudara Laili yang tolong tempahkan.

Kami bertolak ke KKB pada hari Ahad, Izzuddin menjalani ujian pada hari Selasa dan kami pulang ke Hulu Kelang pada hari yang sama. Emak dan abah pun turut serta. Mereka tiba di KKB pada pagi Isnin.

Di waktu senggang, kami berjalan-jalan di sekitar KKB dan mendaki laluan sehingga ke Bukit Fraser. Pada hari Isnin kami ke Tanjong Malim, mengunjungi keluarga Cik Safiah dan kenalan kami ketika di Melbourne dahulu, keluarga Dr. Lajiman.

Beberapa keping foto di Kuala Kubu Bharu terdapat di Album Foto Kami, atau klik sahaja di sini untuk capaian terus ke album.

Sejarah Kuala Kubu Bharu

Ringkasnya, Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor ini adalah bandar baru menggantikan Bandar Kuala Kubu yang musnah ketika Tragedi Kuala Kubu akibat banjir besar yang melanda pada bulan Februari, 1883; berpunca daripada Empangan Kuala Kubu yang pecah. Bandar lama tersebut kini dikenali sebagai Ampang Pecah.

Lagendanya, banjir besar melanda disebabkan oleh sikap bongkak pegawai British pada masa itu, Sir Cecil Ranking yang membunuh buaya putih yang dikatakan menjaga empangan tersebut. Akibatnya Ranking turut terkorban dalam tragedi tersebut.

Demikianlah bagai yang dikisahkan orang. Perlu diingat, ianya sekadar lagenda. Usahlah dipercayai sehingga merosakkan keimanan kita. Kepercayaan kita, Allah SWT lebih berkuasa. Mungkin kerana kemungkaran bermaharajalela maka bala Allah SWT mendatangi sebagai peringatan dan pengajaran daripadaNya. Ianya boleh berlaku juga di zaman sekarang.

Bandar Kuala Kubu Bharu

Umumnya bandar kecil ini sama seperti kunjungan kami dahulu. Sibuk di siang hari, malap di waktu malam - hanya kedai-kedai makan sahaja yang dibuka. Menariknya KKB ini, masih kelihatan bangunan/ rumah lama yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri terutama ketika era perlombongan bijih di Kuala Kubu.

Deretan kedai, pejabat kerajaan dan pelbagai badan berkanun dan bank tertumpu di tengah-tengah bandar. Pusat-pusat pengajian dan latihan pula terletak berhampirannya; antaranya Darul Quran, PLKN, IKBN, Akademi Bomba, MRSM dan sekolah harian.

Paling seronok apabila kami berpeluang rukuk dan sujud di Masjid Ar-Rahimah yang tersergam megah di tengah bandar. Ruang solatnya luas terbentang. Bagi jemaah wanita, tempat wuduknya kurang selesa - perlu naik turun tangga dan ada yang terpaksa melintas lalu ruang solat lelaki. Sesuatu yang banyak kedapatan di masjid-masjid tertentu, kurang diberi perhatian di peringkat rekabentuknya lagi.

Menurut catatannya, masjid ini telah dirasmikan oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharifuddin Idris Shah pada 1 Nov 2002 (25 Syaaban 1423).

Empangan Sungai Selangor

Ianya siap dibina pada tahun 2002, merangkumi kawasan lembah seluas 600 hektar dengan ketinggian sekitar 115 meter, menjadikannya antara empangan terbesar dan tertinggi di Malaysia. Asalnya sebahagian lembah ini adalah perkampungan Orang Asli Temuan iaitu Kg. Pertak dan Kg. Gerachi Jaya yang telah dianugerahkan perkampungan moden di sekitar empangan tersebut.

Empangan ini dekat sahaja dari Bandar KKB, di pertengahan jalan menuju ke Bukit Fraser. Kami berpeluang 2 kali singgah di sini; pada hari Ahad, ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dan pada hari Selasa, ketika menunggu Izzuddin menduduki ujian di MRSM.

Pemandangan kawasan empangan amat indah dan menawan sekali, berlatarkan banjaran gunung, pepohonan menghijau dan gumpalan awan memutih ketika langit terang. Air tasiknya tenang, berwarna biru kehijauan melingkungi pulau-pulau kecil. Benar-benar mendamaikan bagi pencinta alam.

Air Terjun Pertak

Air terjun ini terletak di hujung Kg. Pertak, bersebelahan Empangan Sungai Selangor. Keaslian persekitarannya masih kekal asli dengan kehijauan hutan yang masih terpelihara. Malah tiada langsung kemudahan asas yang disediakan seperti tandas, bilik persalinan, tempat letak kereta, tong sampah, tempat memasak dan seumpamanya. Pandai-pandai sendirilah. Entahlah, mungkin tidak diwartakan sebagai kawasan pelancongan pun.

Kami menyinggah di air terjun ini tanpa dirancang selepas menghantar Izzuddin ke MRSM Kuala Kubu Bharu. Jadi tiada persalinan pun untuk turun ke air. Hanya Imran yang turun berseluar dalam dan Solehah yang mempunyai pilihan memakai kain pelikat sebagai persalinan. Oklah, asalkan mereka seronok.

Di air terjun, hati amat teruja melihatkan keindahannya. Deburan air bagaikan alunan muzik aromaterapi yang mengasyikkan, mengalir sejuk menuruni alur menuju empangan. Bonggolan batu besar di pinggir alur menjadi tempat kami melepak sambil mengawasi anak-anak yang gembira sekali mengutip batuan kecil di dasarnya.

Demikianlah sedikit sebanyak tentang kunjungan kami di Kuala Kubu Bharu. Sememangnya banyak lagi tempat yang boleh dilawati tetapi tidak sempat disinggahi seperti Monumen Tragedi Kuala Kubu di Ampang Pecah, Stesen Keretapi Lama, Air Terjun Chilling, Santuari Ikan Kelah dan banyak lagi. Mungkin di lain kesempatan kami berpeluang menerokai lebih jauh lagi.

Cuti-cuti Di Bukit Fraser

Kami tiba di Ains' Homestay di Kuala Kubu Bharu pada hari Ahad, sekitar jam 12:30 tengahari. Setelah check-in, kami berjalan-jalan di sekitar bandar Kuala Kubu Bharu - makan tengahari di Restoran Sri Melayu dan bersolat di Masjid Ar-Rahimah.

Dari Bandar KKB, kami bergerak ke Empangan Sungai Selangor. Kata orang, jika ke KKB usah lupa ke empangan yang amat indah sekali pemandangannya. Benar bagai dikata. Kami berhajat singgah di Pusat Penerangan SPLASH di pinggir empangan tetapi ditutup.

Laluan empangan adalah menuju terus ke Bukit Fraser dengan jarak sekitar 30 km sehingga ke Pintu Masuk Utama (The Gap). Dari The Gap ke pekan Bukit Fraser pula sekitar 10 km jaraknya. The Gap dibuka setiap hari dari jam 7:00 pagi - 7:00 petang. Sebagai makluman, jam ganjil untuk naik dan jam genap pula untuk turun.

Ketika waktu menghampiri jam 3:00 petang, kami masih di empangan. Jika ingin ke Bukit Fraser, masanya telah agak suntuk. Dianggarkan sebelum jam 3:30 petang kami perlu tiba di The Gap. Melalui laluan yang berliku-liku dan pemanduan yang perlu berhati-hati, kami sekadar mencuba nasib. AlhamduliLlah akhirnya kami tiba di The Gap sekitar jam 3:25 petang, pintu penghadangnya masih dibuka.

Di sepanjang jalan dari empangan dan mendaki pula laluan sehala ke Bukit Fraser yang lebih banyak liku dan selekohnya, kepala terasa berpusing-pusing dan tekak pula meloya. Anak-anak melepek lesu dan sering mengeluh, 'Bilalah nak sampai ni'. Jika ditanyakan pada mereka, 'Lain kali nak datang lagi tak?', pasti jawabannya boleh dijangka.

Bukit Fraser dinamakan sempena nama Louis James Fraser dari Scotland yang mengusahakan perlombongan bijih timah pada tahun 1890an. Di sebalik sumbangan fizikalnya, dikatakan Fraser seorang yang kurang bermoral kerana aktif terlibat di dalam perjudian, pemerasan, pengedaran dadah dan banyak lagi. Jika benar, elok sekali jika nama bukit peranginan dan pelancongan yang terkenal itu ditukar nama kepada yang lebih baik, seeloknya nama tempatan.

Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Bukit Fraser ini sebenarnya terletak di daerah Raub, Pahang. Suhunya sejuk, sekitar 17 - 24 Celcius dengan puncak tertingginya kira-kira 1,280 meter dari aras laut. Suasana di pekannya bagaikan perkampungan Scotland dengan bangunan bergranit kelabu dengan gaya Tudor. Paling menonjol adalah menara jam disaluti pepohonan menjalar di tengah bulatan jalan yang menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar kenang-kenangan.

Melihatkan kepada banyaknya rumah dan hotel penginapan yang terdapat di Bukit Fraser, pasti begitu ramai sekali pelancong yang berkunjung ke Bukit Fraser ini. Di samping merasai suasana sejuk di kawasan tanah tinggi, tarikan utama ke sini adalah kegiatan menjejaki dan memerhati burung serta menerokai kawasan hutan melalui trek dan denai yang disediakan.

Oleh kerana kami tiba di Bukit Fraser telah pun agak petang, tambahan pula hujan, tidak banyak tempat yang sempat kami singgahi. Di samping pekannya, banyak masa kami habiskan di sekitar Food Garden, bersebelahan Masjid Sultan Mahmud - makan sambil membeli cenderahati. Tengoklah, jika berpeluang, lain kali kami boleh datang lagi.

Kami beredar turun dari Bukit Fraser jam 6:30 petang melalui jalan baru yang telahpun dibuka, bermula dari The Glen sehingga ke The Gap. Sebenarnya jalan ini telahpun siap pada tahun 2001 tetapi terpaksa ditutup kerana kerap berlaku tanah runtuh. Ketika kunjungan kami ianya telah dibuka tetapi untuk turun sahaja.

Begitulah perancangan awalnya di mana laluan asal sekarang digunakan untuk naik sahaja manakala laluan baru untuk turun sahaja. Bermakna naik dan turun dibuka sepanjang hari tanpa ditetapkan waktunya seperti sekarang.

Meredah laluan suram dengan tabir malam mula menjengah, AlhamduliLlah kami selamat tiba di Bandar KKB sekitar jam 7:30 malam. Anak-anak telah pun lena di kerusi belakang. Makan malam pun berbungkus, dijamah seadanya selepas bersolat jamak sebelum menyambung kembali tidur mereka.

Cuti-cuti Di Tanjong Malim

Hari kedua di Kuala Kubu Bharu lebih menyeronokkan. Paginya, emak dan abah tiba dari kampung. Kami bersama-sama melangkah lebih jauh sehingga ke Tanjong Malim - menziarahi keluarga Cik Safiah, adik kepada emak di Taman Bernam Jaya dan keluarga kenalan rapat kami ketika di Melbourne dahulu, Lajiman-Suraya di Proton City.

Kami bertolak dari KKB sekitar jam 10:00 pagi dan tiba di Bernam Jaya kira-kira setengah jam selepasnya. Melalui Kalumpang, kelihatan gerai durian tempatan banyak berjualan di tepian jalan utama. Hajat hati berhenti makan ketika balik dari Tanjong Malim, malangnya tidak kesampaian kerana hujan lebat. Tiada rezeki di jalanan, Insya Allah adalah di tempat lain.

AlhamduliLlah, di rumah Cik Safiah kami dijamu sarapan pagi pelbagai juadah yang amat menyelerakan - demikianlah aturannya. Tambahan pula perut dah berkeroncong kerana makan pagi yang sedikit terlewat dari kebiasaan. Berbanyak-banyak terima kasih pada Cik Safiah sekeluarga.

Seronok dapat bertemu muka setelah sekian lama tidak bersua hingga terlupa nak bergambar bersama tuan rumah dan keluarganya. Maaflah...

Tengaharinya kami 'merayau' di kawasan sekitarnya sambil memerhatikan pembangunan dan penyediaan kemudahan infrastruktur yang masih belum pesat membangun. Mungkin menunggu masa Proton City dan beberapa taman berdekatan dikerumuni penghuninya.

Memasuki kawasan perumahan Taman Bernam Jaya, pandangan kami tertumpu pada pelbagai tumbuhan meliar di tepian jalan. Di celah-celah pepohonan renek termasuk senduduk dan lalang, kedapatan juga pepohon orkid liar yang amat cantik bunganya. Malah pokok periuk kera pun banyak sekali tumbuh menyelit. Tertarik dengannya kami singgah mencabutnya untuk dicuba tanam di Hulu Kelang nanti. Harap-harap boleh tumbuh subur.

Selepas solat jamak Zohor-Asar di rumah Cik Safiah, kami terus bergerak ke Proton City pula, ke rumah Lajiman-Suraya - undangan ziarah dan makan tengahari (terima kasih tuan rumah). Dari lebuh raya, Proton City menjauh ke dalam, melintasi deretan memanjang kilang Proton dan beberapa bangunan yang unik bentuknya.

Setelah bersua, AlhamduliLlah terlerai segala kerinduan. Teringat akan zaman berkampung di Dandenong, Victoria, Australia selama hampir 4 tahun lalu. Moga keakraban lalu bagaikan keluarga sendiri akan terus kekal selamanya. Ameen.

Menariknya rumah Cik Safiah dan Lajiman-Suraya ini, di laman hadapan rumah mereka dipenuhi pelbagai jenis bungaan dan sayuran. Memang dia orang ni sukakan keindahan dan rajin bertanam. Kita orang lain sedikit, sukakan keindahan tetapi malas nak bertanam. Silap-silap semak samun di hadapan rumah pun boleh dikatakan suatu keindahan alam semulajadi.

Hampir 2 jam di Proton City, kami bergerak pulang menuju Taman Juta, Kuala Kubu Bharu di mana kami menginap sehingga keesokan harinya. AlhamduliLlah dikurniakan keselamatan sehingga tiba ke destinasi yang dituju.

Sunday, November 27, 2011

Cuti-cuti Sabah : Kisah Kami

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ini adalah kisah kembara kami selama 5 hari di bumi Sabah pada awal bulan November lalu, iaitu dari 03/11 hingga 07/11/2011. Walaupun terlewat moga ada yang sudi mengikutinya. Jika tidak pun cukup sekadar catatan dan rakaman perjalanan kami yang mungkin lupus dari ingatan di kemudian hari.

Kisahnya ditulis beransur-ansur mengikut kelapangan masa yang ada. Entri pertama, Perjalanan Pergi-Balik pernah tersiar sebelum ini. Disebabkan tidak berkesempatan menyambungnya, ianya terpaksa 'digantung' untuk beberapa ketika sehingga kisah-kisah berikutnya disiapkan.

AlhamduliLlah akhirnya hajat tertunai juga. Untuk mendapat kesinambungan cerita, ianya sengaja disusun mengikut turutan perjalanan. Bermaksud, selepas entri pembukaan ini, kisah-kisah seterusnya berturutan selepasnya. Bermula dengan Perjalanan Pergi-Balik, diikuti Kundasang sehinggalah Tip of Borneo.

Tidak dinafikan, berkemungkinan ada fakta dan cerita yang tersasar dari hakikat sebenar, maaf dipinta. Ianya berdasarkan pengalaman dan pemerhatian kami semata-mata. Apa-apa pun diharapkan ada manafaat untuk diri kami dan khalayak pembaca semua.

Sebahagian daripada koleksi foto di beberapa lokasi tertentu boleh dilihat di Album Foto Kami. Fotonya tidaklah menarik sangat tetapi amat bererti bagi kami sebagai bukti/ tanda pernah menjejakkan kaki di bumi Negeri Di Bawah Bayu.

Moga ada manafaatnya.

JazakaLlahu Khairan Kathiro dan Terima Kasih.

Cuti-cuti Sabah : Perjalanan Pergi-Balik

Pada awal November lalu, kami sekeluarga berada di Negeri Di Bawah Bayu, Sabah - bertandang ke rumah emak saudara Laili, Mak Cik Rusifah (Cik Rus)-Pak Cik Samian (Cik An) yang tinggal di Kota Kinabalu bersama 2 orang anak perempuan mereka, Hajar dan Aisyah (5 orang anak lagi ada di Semenanjung).

Di samping menziarahi mereka, kami mengambil peluang berjalan-jalan makan angin. Inilah sahaja masa yang ada walaupun terpaksa menyambut Eidul Adha di sana. Ini kerana menjelang akhir tahun ini mereka akan kembali menetap di Semenanjung setelah tamat kontrak kerja Cik An bersama Felcra di Sabah.

Kami berlepas ke KKIA-T2 (Kota Kinabalu International Airport) menaiki Air Asia sekitar jam 9:30 malam pada 2/11/2011 dan bertolak pulang ke Semenanjung pada 7/11/2011, juga di waktu malam. AlhamduliLlah satu kunjungan yang amat menarik dalam misi Cuti-Cuti Malaysia kami.

Jutaan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada Cik Rus sekeluarga yang melayan kami dengan begitu baik sekali termasuk meminjamkan Proton Waja mereka untuk memudahkan pergerakan kami. Juga terima kasih kepada Bakhtiar, adik Laili yang berusaha menghantar dan menjemput kami dari LCCT. Moga kalian semua sentiasa dirahmati Allah SWT. Ameen.

Semua orang tahu, Sabah adalah salah sebuah negeri dalam Malaysia. Tidak disangka pula untuk ke sana perlu menunjukkan pengenalan diri samada Mykad, Mykid, Sijil Kelahiran ataupun Pasport. Ingatkan sama seperti perjalanan di Semenanjung, cukup sekadar beli tiket dan dapatkan boarding pass sahaja.

Itulah yang kami alami. Bagi yang ada Mykad tiada masalah kerana selalu dibawa bersama. Masalahnya dengan Solehah dan Imran yang belum ada Mykad. Mujurlah (Segala puji bagi Allah) digerakkan hati kami untuk membawa pasport mereka walaupun telah tamat tempohnya.

AlhamduliLlah kami melepasi pemeriksaan imigresen di LCCT dan juga di KKIA-T2 setelah melalui beberapa karenah birokrasi dengan layanan yang baik. Jika tidak entah apa yang terjadi, silap-silap perjalanan kami terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan. Setinggi-tinggi kesyukuran kepadaNya.

Lama dahulu kami pernah mendengar ura-ura pengecualian pengenalan diri untuk perjalanan domestik ke Malaysia Timur. Mungkin hanya melibatkan penggunaan pasport sahaja tetapi masih perlu menunjukkan Mykad/Mykid.

Penerbangan pergi dan balik penuh. Tidak sangka begitu ramai orang yang berulang alik antara Sabah dan Semenanjung. Mungkin juga ramai yang bercuti panjang Hari Raya Haji.

Penerbangan selama hampir 2 jam setengah, pergi dan balik dilalui dalam 2 suasana yang berbeza. Ketika penerbangan pergi, kami menempah makan malam - sate, nasi ayam dan lasagna kerana bertolak awal dari Hulu Kelang. Boleh tahan juga makanannya.

Cuma kami kurang selesa dengan ruang duduk yang sempit di mana kerusinya tidak dapat direbahkan semata-mata menghormati keselesaan penumpang di belakang kami. Kenalah dengan pakej tambang murahnya.

Ketika penerbangan balik, tiada tempahan makan malam. Kami telahpun kekenyangan dijamu di rumah Cik Rus. Sepanjang penerbangan, kami tidur lena walaupun dalam keadaan menegak dek rasa penat berjalan tanpa henti selama 5 hari di bumi Sabah. Sedar-sedar dah pun tiba di LCCT.

AlhamduliLlah kami selamat tiba di Hulu Kelang kira-kira jam 2:30 pagi. Sepanjang hari masing-masing berehat panjang di rumah melepaskan saki baki kepenatan yang masih bersisa.

Cuti-cuti Sabah : Kundasang

03/11/2011 (Khamis) - Hari pertama di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu.

Perkara pertama yang perlu dibiasakan di sini adalah waktunya lebih awal sejam dari Semenanjung di mana waktu terbit matahari kira-kira jam 6:00 pagi dan waktu terbenamnya sekitar jam 6:00 petang.

Seusai makan pagi di rumah Cik Rus, sekitar jam 9:00 pagi kami bertolak ke Kinabalu Pine Resort di Kundasang, kira-kira 90 km dari KK. Di sinilah kami menginap di sebelah malamnya.

Jarak perjalanan ke Kundasang tidaklah jauh sangat tetapi mengambil masa hampir 3 jam melalui laluan mendaki yang berliku-liku. Terasa berpusing juga kepala dibuatnya. Namun keindahan pemandangan sekitar dengan Gunung Kinabalu yang berkabus mengiringi perjalanan sedikit sebanyak melekakan kami.

Di Pekan Nabalu, kami singgah seketika untuk melepaskan lelah. Terdapat banyak sekali kedai-kedai menjual cenderamata dan makanan. Andaian kami, harga cenderamatanya pasti lebih mahal dari harga yang ditawarkan di KK. Ternyata kami silap. Rupa-rupanya harga cenderamata tertentu seperti rantai kunci dan pelekat magnet di KK lebih mahal harganya dan kurang pilihannya berbanding di Pekan Nabalu. Apa nak kata... melepaslah kami.

Beberapa keping foto berkaitan terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.


Di sepanjang jalan ke Kundasang, didapati banyak sekali anjing-anjing berkeliaran di tepian jalan, menandakan majoriti penduduknya bukan Muslim. Tambahan pula papan tanda gereja Katholik banyak tercacak dalam jarak beberapa ratus meter sahaja. Manakala masjid pula sukar untuk ditemui kecuali di Ranau, Kg. Lohan dan Kundasang.

Kundasang adalah sebuah perkampungan yang paling hampir dengan Gunung Kinabalu. Majoriti penduduknya adalah etnik Kadazandusun dengan pekerjaan utamanya penanaman sayur yang ditanam di Lembah Kundasang. Pelbagai jenis sayuran boleh didapati di deretan gerai sayur (Pasar Sayur) yang terdapat di tepian jalan utama, tidak jauh dari Kinabalu Pine Resort. Sebelum bertolak balik ke KK keesokan harinya, kami sempat berbelanja di pasar sayur ini. Geram hati melihat sayur-sayurannya yang besar dan segar.

Kami tiba di Kinabalu Pine Resort (KPR) sekitar jam 12:00 tengahari. AlhamduliLlah, rumah berkembar S1-S2 yang ditempah telah pun boleh dimasuki walaupun waktu check-in sebenar pada jam 2:00 petang. Terima kasih kepada Cik Hilal (bapa saudara Laili) yang tolong tempahkan rumah berkenaan ketika mereka bermalam di sana beberapa minggu sebelumnya.

KPR hanyalah penginapan berstatus 2 bintang sahaja (tiada aircond/heater, peti ais) tetapi kemudahan asasnya amat memuaskan. Keindahan persekitarannya juga amat menyerlah dengan lanskap pepohonan pine, bunga-bungaan dan pokok hiasan melata di serata ceruk.

Dari beranda rumah S1-S2, pandangan mata menjurus terus ke arah Gunung Kinabalu, ikon utama negeri Sabah dengan ketinggian 4,095.2 meter menjadikannya gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Di sebelah petang, kabus putih tebal menyelubungi puncaknya. Sebaliknya di sebelah pagi selepas Subuh, puncaknya yang berlekuk jelas kelihatan dari rumah tumpangan kami. Tidak disangka di sebelah pagi pula ia menampakkan diri. Betapa besarnya kekuasaan Allah SWT. Dalam suasana sejuk pagi ada keindahan yang dipamirkan. SubhanaLlah. Allahu Akbar.

Cuti-cuti Sabah : Poring Hot Spring

Di sebelah petang setibanya kami di Kinabalu Pine Resort (KPR), selepas makan tengahari dan solat jamak qasar, kami terus ke kolam air panas, Poring Hot Spring yang terletak kira-kira 30km dari penginapan kami.

'Poring' dalam bahasa ibunda etnik utamanya, Kadazandusun merujuk kepada spesis buluh yang banyak terdapat di kawasan tersebut. Poring terletak di kawasan tanah rendah, dikatakan terbentuk hasil ledakan gunung berapi.

Beberapa keping foto di Poring Hot Spring terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini untuk melihatnya.

Setibanya di Poring Hot Spring, hujan mulai merenyai turun, berlarutan sehingga kami bertolak pulang ke KPR. Namun ianya bukan halangan kerana tujuan kami ke Poring juga untuk bermain/ berendam air.

Di Poring HS, terdapat beberapa pilihan untuk berendam air panas, samada di kawasan terbuka (berbumbung dan tidak berbumbung) ataupun menyewa kawasan tertutup yang berbentuk rumah tradisional.

Di kawasan berbumbung, disediakan kira-kira 40 kolah yang boleh memuatkan 2-3 orang/kolah dengan sumber air panas-sejuk dari paip air di setiap kolah. Kolam terbuka juga disediakan samada di tempat berbumbung mahupun tidak berbumbung.

Bagi tempat mandian di tempat tertutup pula kami tidak pasti bagaimana rupanya dan berapa kadar bayaran tambahannya.

Bersebelahan kolam air panas, disediakan juga kolam mandi biasa berbayar. Anak-anak tidak betah berada di kolam air panas, apatah lagi dengan bau sulfur yang menyengat hidung. Dengan bayaran RM1.00 seorang/jam, mereka galak bermandian di kolam mandi sambil bermain gelungsur.

Selain daripada itu, di Poring HS juga terdapat Butterfly Farm, Orchid Conservation Centre, Canopy Walkway, Tropical Garden dan Raflessia Conservation Centre. Semuanya itu tidak sempat kami menjenguknya kerana kesuntukan masa, tambahan pula dengan keadaan cuaca yang tidak selesa untuk berjalan-jalan.

Setibanya kami di resort, kami terus ke dining terrace untuk makan malam. Nasi putih dengan sup daging, sayur campur, ayam masak halia dan sotong tumis serta teh Sabah, kami makan penuh berselera. Licin semua hidangan.

Selepas solat jamak, masing-masing tertidur kepenatan sehinggalah dikejutkan untuk solat Subuh keesokan harinya.

Cuti-cuti Sabah : Taman Kinabalu


Taman Kinabalu yang berpaksikan kepada gunung tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu (4,095.2 meter) adalah antara tarikan utama para pelancong ke Sabah. Pada akhir tahun 2000, ianya telah diisytiharkan sebagai Khazanah Dunia yang pertama di Malaysia oleh UNESCO.

Keluasan Taman Kinabalu dianggarkan sekitar 754 km persegi, dikatakan lebih luas daripada Pulau Singapura. Keunikan taman ini amat menyerlah dengan kepelbagaian flora dan fauna yang merangkumi suasana 4 musim dengan ekologi mega merangkumi kawasan tanah rendah, sederhana, separa alpine sehinggalah pepohonan renek di pergunungan.

Bagi pencinta alam semulajadi, Taman Kinabalu ini bolehlah dianggap sebagai syurga botani bagi mereka. Pelbagai spesis tumbuhan, bungaan, haiwan amat banyak dan mudah ditemui di sini. Semuanya cantik dan indah sekali. Pertama kali kami melihatnya, hati sudah terpikat. Itulah yang kami alami.

Keadaan cuaca yang sering hujan di sebelah petang menghalang hasrat kami untuk menerokai Taman Botani bersebelahan Ibu Pejabat Taman. Begitu juga beberapa kawasan lain di sekitarnya.

Manakala bagi penggemar kegiatan lasak dan pendakian gunung, Gunung Kinabalu pasti menjadi idaman untuk ditakluki. Difahamkan 2 hingga 3 hari perlu diambil untuk tiba ke puncaknya dengan melalui laluan dan singgahan yang telah ditetapkan.

Kami langsung tidak berhajat untuk mendaki Gunung Kinabalu. Cukuplah menghayati keindahan dan keunikannya dari kaki gunung sahaja.

Kinabalu Pine Resort yang kami inapi amat strategik sekali lokasinya. Lebih-lebih lagi rumah yang disewa betul-betul menghadap ke arah gunung. Puncaknya jelas kelihatan terutama seusai solat Subuh.
Sebahagian foto di Taman Kinabalu terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini untuk capaian terus ke koleksi berkaitan.

Di samping itu, terdapat banyak lagi tarikan lain di Taman Kinabalu ini; antaranya Kolam Air Panas Poring, Taman Rama-rama, Taman Orkid, Taman Rafflesia, Jambatan Kanopi, Taman Neperthens, Taman Mesilau dan Memorial Perang Kundasang. Manakala di Ranau pula terdapat Sabah Tea dan Fish Massage di Kg. Luanti.

Ketika yang lelaki bersolat Jumaat di Masjid Al-Kauthar, Kg. Lohan; Laili bersama anak-anak perempuan telah berkunjung ke Sabah Tea yang terkenal dengan satu-satunya ladang teh organik di Borneo dan antara beberapa ladang seumpamanya di dunia. Ianya adalah pengalaman baru buat anak-anak, sekurang-kurangnya dapat mengenali pokok teh dan bagaimana ianya diproses/ dikilangkan.

Cuti-cuti Sabah : Taman Tunku Abdul Rahman

Hari pertama dan kedua kami berada di kaki gunung. Hari ketiga ini kami ke pulau pula. Tumpuan kami adalah ke Taman Tunku Abdul Rahman yang terdiri daripada 5 buah pulau; Gaya, Sapi, Sulug, Manukan dan Mamutik. Keluasan taman laut ini kira-kira 12, 185 ekar yang boleh dikunjungi sepanjang tahun.

Bersama kami adalah anak bongsu Cik Rus-Cik An, Aisyah yang berusia 11 tahun, sebaya dengan Solehah. Seronok melihat kemesraan Hanisah dan Solehah berkawan dengan Aisyah.

Koleksi foto berkaitan terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Kami bertolak dari Jesselton Point Terminal yang terletak bersebelahan Suria Sabah menaiki bot laju sekitar jam 8:30 pagi. Kadar sewaannya RM250/bot untuk ke 3 buah pulau (Mamutik, Sulug dan Manukan) termasuklah kelengkapan snorkelling. Alangkah baiknya jika kami dapat mencari satu dua kelompok pengunjung lagi dengan arah yang sama, dapatlah kami berkongsi bot, lebih menjimatkan. Apakan daya... moga ianya menjadi satu ingatan dan pengajaran.

Perjalanan ke Pulau Mamutik mengambil masa kira-kira 20 minit meredah laut yang sedikit bergelora. Pemandu bot, Sdr Najib mesra dan petah sekali menjawab sebarang kemusykilan kami. Kerap kali bot pula terlambung dan menghempas air. Sakit dan sengal bontot dibuatnya, apatah lagi terlalu kerap terhentak ke tempat duduk tanpa alas. Percikan air pula membasahi pakaian. Tidak mengapalah, sememangnya tujuan kami ke pulau pun nak turun ke laut.

Air laut di sekitar Pulau Mamutik kelihatan beralun kecil. Mungkin lokasinya yang terlindung dek Pulau Manukan dan Pulau Sulug yang lebih besar. Pulau Mamutik dengan keluasan 15 ekar adalah pulau terkecil di kalangan 5 buah pulau tersebut.

Di sesetengah tepian pantai Mamutik pula dipagari untaian bebola kecil berwarna putih, hijau dan merah; terapung-apung di permukaan air. Itulah kawasan yang dibenarkan untuk aktiviti snorkelling, mandi manda dan seumpamanya. Menurut petugas di pantai, lingkungan hijau adalah kawasan cetek, lingkungan putih sedikit dalam dan lingkungan merah adalah kawasan dalam. Cukuplah kami menyelam dan berenang di kawasan cetek sahaja.

Pertama kali memakai topeng muka dan tiub pernafasan (snorkel) membuatkan kami terkial-kial. Dengan tunjuk ajar dari Aisyah, dapatlah masing-masing membiasakan diri, lebih-lebih apabila bernafas menggunakan mouthpiece. Alah bisa tegal biasa.

Laili bersama Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Aisyah tampak begitu seronok sekali 'mengendap' hidupan laut seperti pelbagai jenis ikan kecil dan batu karang di dasar laut. Terapung-apung mereka di pemukaan laut berbantukan jaket keselamatan sambil muka menghadap ke dalam laut. Begitulah juga fenomena perilaku para pengunjung lain di sekeliling mereka.

Imran pula lebih seronok bermain pasir dan mengumpul karangan laut di tepi pantai, sesekali melayan ombak yang menghempas lembut ke pantai.

Hampir sejam di Pulau Mamutik, kami dibawa pula menaiki bot menghampiri Pulau Sulug yang tidak dibenarkan untuk turun, malah tiada jeti disediakan pun. Menurut Najib, perairannya agak dalam dan ombaknya agak kuat, merbahaya kepada pengunjung biasa.

Dari Pulau Sulug, kami terus menuju ke Pulau Manukan yang berbentuk boomerang dengan keluasan 51 ekar. Seperti mana di Pulau Mamutik, tepian pantainya juga dilingkungi untaian bebola berwarna untuk menandakan kawasan yang selamat untuk berenang dan menyelam. Hampir di setiap tempat kelihatan begitu ramai sekali para pengunjung dengan pelbagai aksi dan aktiviti.

Laili berserta anak-anak terus turun ke laut menyambung aktiviti snorkelling mereka sementara Imran bermain pasir di tepian pantai. Janji kami kepada pemandu bot, datang jemput kami di jeti selepas 3 jam kami di situ, sekitar jam 1:00 petang.

Tiga jam bermain air membuatkan mereka benar-benar kepenatan dan kelaparan. Kepuasan hati jelas terpancar di wajah ceria mereka yang terbakar dek panasnya mentari dan masinnya air laut.

Di sebelah petang kami tidak ke mana-mana. Hujan turun agak lebat. Tambahan pula masing-masing telahpun kepenatan. Malamnya, semuanya tidur awal.

Cuti-cuti Sabah : Bandaraya Kota Kinabalu

Hari Ahad (06/11/2011) adalah Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban. Pilu hati ketika mengumandangkan takbir. Terbayang di mata saat-saat bersama arwah bonda ketika Hari Raya Eidul Fitr di Terengganu baru-baru ini. Itulah pertemuan terakhir kami sebelum arwah pergi buat selama-lamanya pada 21-Okt lalu. Moga roh bonda dihimpunkan di kalangan hambaNya yang diredhai. Ameen.

Kami bersolat sunat raya di Masjid Negeri di KK bersama-sama dengan Cik Rus-Cik An dan anak bongsu mereka, Aisyah. Sebelum bergerak pulang ke rumah, kami sekeluarga melencong ke tengah KK untuk melihat-lihat bandarayanya. Dari pengamatan kami, jalan-jalannya mudah untuk diingat kerana berbentuk 4 persegi, malah bandarayanya juga tidaklah besar sangat.

Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah; asal namanya Jesselton (sempena nama Charles Jessel - penjajah British), juga dikenali sebagai Api-api oleh penduduk tempatan.

Dari Masjid Negeri, kami melalui Jalan Tunku Abdul Rahman menuju ke Australia Place di mana tentera Australia pernah 'berkampung' ketika Perang Dunia Ke-2 dahulu. Seterusnya singgah di Atkinson Clock Tower dan Padang Merdeka yang terletak di Jalan Istana. Menyusuri Jalan TAR, kami terus pulang ke rumah.

Pada hari terakhir di KK, kami dibawa ke gugusan pasar yang terletak di Jln Tun Fuad Stephens - memborong pelbagai jenis ikan segar di Pasar Basah; ikan bilis, udang kering dan sotong kering sebagai buah tangan di Pasar Ikan Masin serta singgah membeli buah-buahan di Pasar Besar. Kemudian bersama anak-anak, kami memilih cenderamata di Pasar Kraftangan serta minum air kelapa muda dan makan puding kelapa (sedappp...) di Pasar Kelapa.

Sebenarnya banyak tempat dan acara di KK yang tidak sempat kami kunjungi; antaranya Masjid Bandaraya KK (seakan Masjid Nabawi), Muzium Tamadun Islam, Muzium Sabah, Kampung Warisan, Pasar Minggu Jln Gaya (hari Ahad), Orchid De Villa, Taman Burung dan banyak lagi. Kebanyakannya sekadar melihat sepintas lalu sahaja dari luar.

Apakan daya, masa yang ada dirasakan amat suntuk sekali. Kenalah pilih mana keutamaannya. Insya Allah jika ada rezeki dan peluang bolehlah berkunjung lagi ke KK.

Cuti-cuti Sabah : Tip of Borneo

Petang Ahad, dibawa oleh Cik Rus dan Cik An; kami bergerak lebih jauh melepasi Kota Kinabalu menuju ke Tanjung Simpang Mengayau, Kudat. Dikhabarkan di sini terdapatnya penghujung kepada sebuah tanjung, sekaligus penghujung kepada Pulau Borneo di sebelah barat daya. Ianya dikenali sebagai Tip of Borneo. Sesuatu yang menarik dan mengujakan.

Dari Kota Kinabalu, jaraknya kira-kira 220 km. Kami bertolak kira-kira jam 11:15 pagi, singgah menunaikan solat jamak di Masjid Ubudiah, Pekan Sikuati sekitar jam 2:00 petang, seterusnya tiba di Tanjung Simpang Mengayau pada jam 3:00 petang.

Terkenangkan kelasakan kami memandu di Australia dahulu. Jarak seumpamanya adalah perkara biasa kerana kebanyakan tempat menarik letaknya agak jauh antara satu sama lain.

Di sepanjang jalan dari KK ke Kudat, pelbagai pemandangan dapat dihayati. Dari rupa buminya, pepohonan di sekitarnya, pekerjaan para penduduk dan hasil mahsul yang menjadi nadi sesuatu kawasan. Ladang kelapa sawit, ladang kelapa dan pelbagai bentuk tanaman menunjukkan pertanian adalah sumber ekonomi utama di sini.

Menghampiri Tanjung Simpang Mengayau, pemandangan Pantai Kelambu dan Pantai Kalampunian dengan pepasir pantai yang memutih dan deburan lembut ombak menghempas gigi air mengundang keasyikan pandangan mata kami.

Melangkah naik ke tanjung, kami disambut oleh replika dunia (globe) besar bersebelahan tiang bendera yang tinggi. Di belakangnya adalah unjuran tanah yang membentuk hujung tanjung. Tiupan angin dari Laut Cina Selatan dan Laut Sulu bertiup agak kuat, silap-silap boleh tumbang dibuatnya. Ombak kuat menghempas ganas batuan rata yang mendatar di tepi laut. Tebing tinggi menghadap ke laut beralun-alun cantik bagaikan diukir, kesan hakisan angin yang berzaman.

Menurut Cik Rus, ada ketikanya angin bertiup perlahan sahaja dan ombaknya lembut menghempas batu, para pengunjung boleh turun ke hamparan batu di bahagian bawah.

SubhanaLlah... betapa indahnya ciptaan Illahi.

Kepada rakan-rakan yang belum pernah sampai ke Tip of Borneo ini, amat disarankan untuk mengunjunginya. Tidak kalah dengan apa yang ada di luar negara.

Sebahagian fotonya terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Sekitar setengah jam di tanjung, kami terus bergerak pulang. Menyinggah seketika di Terminal Feri Kudat/Banggi di mana Cik An kerap berulang alik ke Pulau Banggi atas urusan kerja. Seterusnya berhenti di pekan Kota Marudu untuk jamak makan (tengahari dan malam) sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kota Kinabalu.

AlhamduliLlah, kami tiba di rumah sekitar jam 9:00 malam. Penatnya amat terasa. Kopi yang diminum pun tidak dapat menahan mata dari tidur.

Cuti-cuti Sabah : Taman Hidupan Liar Lok Kawi

Taman Hidupan Liar Lok Kawi (Lok Kawi Wildlife Park) letaknya kira-kira 25 km dari Kota Kinabalu. Taman haiwan yang berkeluasan 280 ekar ini dikendalikan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah, manakala Taman Botani yang terdapat di sini diseliakan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.

Kami berkunjung ke taman ini pada petang Isnin (7/11/2011), hari terakhir di KK semata-mata memenuhi permintaan Imran yang amat meminati dunia haiwan.

Kami tiba di taman agak lewat, sekitar jam 3:30 petang. AlhamduliLlah, ianya dibuka sehingga jam 5:30 petang. Jika tidak terkilanlah Imran dibuatnya.

Memasuki kawasan taman, teruja hati melihat lanskapnya yang amat menarik. Di dalam taman pula, pepohonan hijau merimbun di serata ceruk menyejukkan pandangan.

Walaupun sedikit terlewat, kami sempat mengikuti sebahagian persembahan haiwan slot 3:15 pm di Amphitheater - burung kakaktua sedang beraksi, cuma terlepas aksi ular sawa.

Khidmat terakhir tram pada jam 3:15 pm juga telahpun tamat. Tidak kisahlah, kami lebih suka menapak kerana lebih selesa untuk menyinggah di sesuatu lokasi. Tambahan pula kawasannya tidaklah luas sangat.

Sebahagian daripada koleksi foto di sini terdapat di Album Foto Kami atau klik sahaja di sini untuk ke album berkenaan.

Pelbagai jenis haiwan dapat dilihat secara dekat; antaranya burung, rusa, nilgai, serval (harimau kepala kecil), ular, buaya, biawak besar, beruang madu, harimau malaya, proboscis (monyet hidung panjang), monyet tupai, lemur, ankol, banteng, gibbon, otter, gajah dan banyak lagi.

Seronoknya kami dapat melihat secara dekat beberapa ekor kancil dan pelanduk yang dilepas bebas di taman burung. Sebelum ini amat susah untuk melihatnya hatta di Zoo Negara sekalipun.

Kami tidak sempat masuk ke Taman Botani kerana telah pun kelewatan. Ketika melangkah keluar, kami adalah antara kelompok terakhir meninggalkan taman haiwan tersebut.

Umumnya, kami merasa amat berpuas hati dan rasa berbaloi dengan kunjungan ke Lok Kawi Wildlife Park. Telah banyak taman dan zoo seumpamanya yang telah kami kunjungi samada di dalam negeri mahupun di luar negara, ikhlas kami katakan Lok Kawi Wildlife Park antara yang terbaik. Kami menyukai persekitarannya yang menghijau dan mesra haiwan, sesuai sebagai habitat pelbagai jenis haiwan.

Cuma kekurangannya dari segi penerangan dan keterangan (informasi) bagi setiap haiwan tidak konsisten - ada yang jelas dan ada yang langsung tiada info. Ada baiknya dibuat satu standard yang sama bagi setiap kandang/lokasi haiwan dalam dwi bahasa (Melayu-Inggeris). Insya Allah banyak perkara yang boleh diketahui dan dipelajari.

Muhasabah Hijrah

Salam Maal Hijrah kepada semua.

Setiap kali bertukarnya tahun, tidak kira Masihi mahupun Hijriah; bermakna meningkat setahun lagi usia kita. Sekaligus mengingatkan kita betapa usia kita sebenarnya semakin pendek, bermaksud semakin dekat kita dengan kematian. Itulah hakikatnya.

Maka, bagaimanakah selayaknya kita menyambut ketibaan tahun baru ini?

Kupasan khutbah Jumaat beberapa hari lalu menarik untuk dikongsi bersama. Menurut khatib (dari teks yang dibaca), ringkasnya, sebagai seorang Muslim, sebelum kita menanam sebarang azam dan tekad untuk tahun baru, langkah utama yang perlu dilakukan adalah bermuhasabah, yakni merenung ke dalam diri sendiri dan berusaha menyucikannya dari sebarang noda dan dosa.

Dengan bermuhasabah, kita akan terpanggil untuk melaksanakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala tegahanNya dengan hati yang redha lagi diredhai. Natijah daripadanya, azam dan tekad yang ditanam akan selari dengan syariat Allah SWT dan dapat dilalui penuh kesedaran sebagai hamba Allah.

Diharapkan kehadiran tahun baru 1433 Hijriah ini akan mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT dan menjadikan RasuluLlah SAW sebagai contoh tauladan yang terbaik untuk diikuti. Moga perubahan diri kita benar-benar menepati erti hijrah/ perpindahan yang sebenarnya. Ameen.

Sunday, November 20, 2011

Tentang Sekolah

Cuti Sekolah

Cuti panjang akhir tahun bagi anak-anak sekolah di Malaysia telah pun bermula. Umumnya bermulalah juga masa seronok + masa bosan bagi anak-anak. Seronok apabila ada aktiviti tertentu yang dapat dilakukan atau diikuti. Bosan jika sebaliknya.

Seperti biasa, kenalah diaturkan sesuatu untuk mereka. Melancong dan melencong antara yang dilakukan. Melancong - biasanya diatur lebih awal. Melencong pula jika ada kesempatan. Tapi ke mana ya? Insya Allah adalah...

Satu lagi aktiviti yang melekakan mereka adalah buku-buku cerita. Insya Allah mereka akan dibawa ke PTS untuk memilih buku kegemaran mereka. PTS sememangnya pilihan kami, tambahan pula potongan yang diberi juga amat menarik sekali. Mungkin juga mereka akan dibawa ke perpustakaan berdekatan.

Laporan Prestasi

Beberapa minggu sebelum bercuti, semua pelajar telah menduduki Peperiksaan Akhir Tahun, tidak kira sekolah kebangsaan mahupun sekolah agama. Laporan prestasi pelajar telah pun diperolehi.

AlhamduliLlah, kesemuanya berjaya cemerlang walaupun baru setahun bersekolah di Malaysia (sebelum ini hampir 5 tahun di Australia). Lebih mengejutkan dapat mengatasi para pelajar lama di kelas masing-masing. Tahniah.

Ketika di Melbourne dahulu, anak-anak tidak disibukkan apa-apa peperiksaan sepanjang tahun kecuali NAPLAN yang dilangsungkan secara santai, lebih kepada menilai tahap pembelajaran dan pengajaran sesebuah sekolah. Amat berlainan sekali. Pada peringkat awal, anak-anak kami memang merasai tekanannya tetapi lama kelamaan mereka mampu melaluinya dengan senyuman.

UPSR

Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah pun diumumkan keputusannya. Tahniah para pelajar Terengganu kerana masih mengungguli negeri terbaik UPSR.

Tahniah kepada Syazni, anak saudara di Terengganu yang mendapat 5A.

Tahniah juga kepada Aiin Farhani, anak saudara di Selangor - keputusannya masih baik walaupun baru beberapa bulan sahaja mengikuti persekolahan di Malaysia sekembalinya dari Sydney, Australia.

Duit Bantuan RM100

Beberapa hari ini sekolah menjadi tumpuan para ibu bapa untuk 'mengutip' duit bantuan persekolahan anak-anak sebanyak RM100 sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2012 baru-baru ini.

Rezekilah tu, lebih-lebih lagi bagi yang kurang berkemampuan dan mempunyai anak ramai. Harap-harap bukan sekali ini sahaja, biarlah setiap tahun. Dibimbangi dikatakan umpan pilihanraya pula...

Apa-apa pun itu ada hak kita, ambil sahajalah walaupun rasa berkemampuan. Jika baik hati dan berhajatkan pahala Illahi berlipat kali ganda, sumbang/ sedekah sahaja duit tersebut kearah kebajikan. Banyak pusat tahfiz, rumah anak-anak yatim, masjid/surau dan pelbagai program insaniah yang memerlukan bantuan. Moga kita diberkati dan dirahmati Allah SWT. Ameen.

Di Australia, bantuan persekolahan tahunan hanya diberikan kepada yang tidak berkemampuan yang boleh diambil di pejabat sekolah. Manakala para pelajar pra sekolah (sekolah rendah) dan Tingkatan 1 (sekolah menengah) pula mendapat bantuan awal tahun sebanyak AUD 300 dalam bentuk baucer yang boleh ditukar di pejabat pos.

Monday, November 14, 2011

Bertambah Usia Solehah

Semalam, 13/11/2011 - usia anak ketiga kami, Nur Solehah genap 11 tahun mengikut tahun Masihi. Manakala mengikut taqwim Islam, usianya lebih sedikit; 11 tahun 4 bulan.

Selamat Ulang Tahun Kelahiran untuk Solehah.

Sebagaimana namanya yang sering dipanggil/ disebut, sememangnya ia satu doa dan harapan dari semua agar Nur Solehah benar-benar menjadi seorang anak dan hambaNya yang solehah. Ameen.

Petang semalam, majlis sambutan ringkas diadakan. Disertai sama oleh ahli keluarga serta saudara mara terdekat.

Kad ucapan untuknya direka khas oleh si bongsu, Imran dengan sentuhan kreatif oleh kakaknya, Hanisah.

Keceriaan jelas terpancar di wajah Solehah. Moga ianya akan terus berkekalan selamanya disaluti keimanan dan ketaqwaan yang tulus kepada Allah SWT.

Sunday, November 13, 2011

Daftar Haji

Saban tahun, bilangan permohonan mengerjakan haji di Lembaga Tabung Haji semakin bertambah, sekaligus tahun menunggu giliran semakin menjauh.

Sepuluh tahun dahulu, setahun dua selepas mendaftar telah pun menerima surat tawaran menunaikan haji. Ketika kami berdua mendaftar haji 5 tahun lalu, kerani kaunter memaklumkan, Insya Allah 4-5 tahun lagi gilirannya akan tiba.

Baru-baru ini apabila diperiksa (tanpa rayuan), Tahun Peruntukkan Menunaikan Haji kami adalah pada tahun hadapan. AlhamduliLlah. Moga segalanya dipermudahkanNya. Ameen.

Dengar cerita, jika mendaftar haji sekarang ini perlu tunggu paling kurang 30 tahun lagi. Wow... tahun menunggu yang naik begitu mendadak sekali. Nampaknya makin ramai yang mempunyai kesedaran untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima.

Beberapa hari lepas saya ke kaunter Lembaga Tabung Haji di Bangunan Tabung Haji, Jln Tun Abdul Razak, KL untuk menguruskan pendaftaran menunaikan haji bagi anak-anak. Pengunjung kaunter tidak ramai, maka cepatlah segala urusan berkaitan.

Sebenarnya urusan pendaftaran haji ini boleh dilakukan di beberapa bank tertentu seperti Bank Rakyat dan Bank Islam. Akan tetapi kami perlu kemaskini data (tarikh lahir) anak-anak yang hanya boleh dilakukan di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji sahaja.

Apabila diperolehi slip kuning, tertera di atasnya, Tahun Peruntukkan Menunaikan Haji : 2042. Itu dia... 31 tahun lagi. Paling awal pun dijangkakan dalam 25 tahun lagi. Tidak mengapalah, ketika itu Izzuddin telah pun berusia 40 tahun, Hanisah (38), Solehah (36) dan Imran (32). Insya Allah, dimurahkan rezeki dan ada peluang, mereka mungkin boleh berangkat menunaikan haji lebih awal lagi.

Apa-apa pun perancangan dan usahanya perlu ada, antaranya menabunglah dari sekarang. Untuk anak-anak kami telah pun membuka akaun Tabung Haji sejak mereka bayi lagi. Duit raya dan sumbangan yang diterima akan dimasukkan ke akaun mereka. Setiap bulan pula dilakukan potongan gaji secara tetap. Setelah mereka mempunyai pendapatan sendiri, bolehlah mereka menyambung simpanan tersebut dengan jumlah yang lebih besar lagi. Banyak manafaatnya.

Perlu diingat, setiap Muslim mempunyai 5 kewajiban bagi melengkapkan keislaman mereka. Bermula dengan 2 kalimah syahadah, diikuti menunaikan solat, berpuasa Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di BaituLlah. Dalam banyak keadaan, ramai yang bergelar Muslim dan Mukmin sering tertangguh dalam melaksanakan tuntutan ke-5 tersebut, antaranya kerana melibatkan peruntukan kewangan yang besar.

Justeru itu, berhemahlah dalam berbelanja. Jika kita boleh membeli itu dan ini yang kurang/ tidak penting, apa salahlah kita salurkan secara tetap (tidak diusik) sebahagiannya kepada tabung/ simpanan menunaikan haji. Insya Allah cita-cita untuk menunaikan haji akan dipermudahkan olehNya.

Tuesday, November 8, 2011

Eidhu Adha di Kota Kinabalu

Salam Eidul Adha

Walaupun tanggal 10 Zulhijjah telah pun berlalu, tidak terlewat rasanya untuk kami sekeluarga mengucapkan Eidul Adha untuk semua. Teristimewa kepada saudara mara dan rakan-rakan yang menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Moga kalian semua dirahmati dan dianugerahi haji mabrur. Ameen. Itulah harapan yang didambakan oleh setiap insan yang mengunjungi BaituLlah.

Tahun ini kami menyambut Eidul Adha di rumah ibu saudara Laili, Mak Cik Rusifah-Pak Cik Samian di Kota Kinabalu, Sabah - menziarahi mereka sambil makan angin.

Itulah sahaja masa yang ada kerana akhir tahun ini mereka akan kembali menetap di Semenanjung.

Kami bersolat sunat Eidul Adha di Masjid Negeri yang terletak bersebelahan Wisma MUIS. Ibadah korban juga dilakukan di KK - sumbangan beberapa bahagian untuk para muaalaf di sana.

Pergi Haji

Betapa bertuahnya para jemaah haji yang berpeluang menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah, sekaligus menjadi tetamu kehormat di sisi Allah SWT. Suatu saat yang amat indah, manifestasi ketaqwaan yang tidak terungkap dek kata-kata dalam usaha menyahut seruan rukun Islam yang kelima.

Kami sering mengimpikan dan amat merinduinya. Pendaftaran menunaikan fardhu haji melalui Lembaga Tabung Haji telah pun kami lakukan pada awal tahun 2006. Mengikut anggarannya, giliran kami akan tiba pada tahun 2014 nanti.

Dari pemeriksaan di Tabung Haji, Insya Allah giliran kami adalah pada tahun hadapan (2012). AlhamduliLlah. Moga kami dikurniakan kekuatan, kesihatan, kefahaman dan dipanjangkan usia serta dipermudahkan segala urusan. Ameen.

Labbaik Allahuma Labaik...

Friday, October 28, 2011

Bonda Kembali Ke RahmatuLlah

Bonda yang amat disayangi, Hajjah Che' Wook binti Haji Ngah telahpun tiada lagi di dunia nan fana' ini - kembali ke alam baqa' yang kekal abadi. Demikianlah ketentuan Illahi. Tiada siapa yang dapat mengengkari mahupun menangguhkannya. Yang pergi telahpun pergi. Manakala yang hidup hanya menunggu masanya sahaja, juga tidak pasti bila saatnya.
Hari Jumaat malam Sabtu yang lalu (21-Oktober-2011 M ~ 23-Zulkaedah-1432 H) sekitar jam 9:30 malam, Almarhumah menghembuskan nafas terakhir di rumah keluarga di Kg. Telok Menara, Kuala Terengganu akibat sakit jantung yang telah lama dideritainya. Pemergiannya tanpa disedari sesiapa. Amat mudah sekali tanpa menyusahkan ahli keluarga.
Menurut ayahanda, menjelang malam arwah bonda tampak kurang sihat. Solat Maghrib, Isyak dan sunat rawatib yang amat dijagainya dikerjakan secara duduk sahaja. Selepas solat Isyak, beliau merasa tidak sedap badan lalu berbaring di tempat istirehatnya di suatu sudut ruang tamu. Begitulah kelazimannya apabila terasa kurang sihat. Tiada sesiapapun di sisinya ketika itu.
Ayahanda sibuk di kedai runcit bersebelahan rumah, manakala adik-adik pula dengan urusan sendiri.
Ketika ayahanda menjenguk bonda, didapati bonda seakan-akan tidur tetapi badannya terasa sejuk. Rupa-rupanya bonda tidur untuk selama-lamanya. Tidur yang tidak akan terjaga lagi di dunia ini.Kami menerima berita sedih ini tidak lama selepas itu. Ianya suatu kejutan tetapi kami telah bersedia kerana qada' dan qadar Allah SWT datang tanpa dijangka.
Kami bertolak pulang pada malam itu juga dan tiba di kampung halaman kira-kira jam 5:00 pagi.
AlhamduliLlah, urusan memandikan jenazah, mengkafan, menyolat dan mengkembumikannya dibantu oleh kesemua anak-anak dan menantu serta cucu-cucu remaja dan selesai menjelang tengahari keesokan harinya.
Ya Allah, ampunilah segala dosa dan kesalahan bondaku, redhailah segala amal kebaikannya, cucurilah rahmatMu ke atasnya, himpunkanlah rohnya di kalangan para solehah-siddiqin-syuhada', terlepas dari segala azab dan memasuki syurgaMu tanpa hisab. Ameen-ameen-ameen Ya Rabbal 'alameen.
AL-FATIHAH