Thursday, December 31, 2015

Melbourne > Di mana Kami Menginap?

Selama seminggu di Melbourne, kami menginap di beberapa tempat mengikut keperluan, kesempatan dan kekosongan yang ada.

Bersama Sdr Edy di hadapan an-Naim Melb Home
Untuk 3 hari pertama, kami menginap di an Naim Melb Home – homestay milik rakan lama, pasangan Melayu Kelantan-Singapura; Sdr Asmadi (Edy) dan Mazni yang terletak di tepian Princess Hwy di Springvale. Dekat sahaja dengan Dandenong yang menjadi tumpuan kami. Tak sampai pun 10 km.

Urusan sewaan telah dibuat sejak beberapa bulan yang lalu. Asalnya kami berhajat menyewanya selama seminggu tetapi telah ada penyewa untuk hari-hari berikutnya.

Kepada yang berhajat kepada rumah sewa ketika bercuti di Melbourne, bolehlah search an-Naim Melb Home dan buat tempahan melalui laman berkenaan. Cuma jaraknya dengan Melbourne City kira-kira 30 km – jarak yang tidaklah jauh bagi sebuah negara/negeri yang luas.

Bertrampolin di laman belakang
Rumah 3 bilik tidur dengan ruang tamu, dapur berserta kelengkapan memasak, laundry dan bilik air yang terpisah daripada tandas kering. Perlu diingat, semua tandas di Australia (persendirian dan awam) sememangnya tiada disediakan air untuk bersuci. Jadi pandai-pandailah gunakan air yang dibawa tanpa membasahkan lantai.

Satu lagi, setiap sampah perlu diasingkan antara recycle items dan sisa makanan. Jangan dibuang sebarangan ke dalam tong sampah. Natijahnya pemilik rumah lazimnya akan disaman.

Laman hadapan dan belakang an-Naim luas. Terdapat beberapa pokok buah-buahan di bahagian belakang rumah, antaranya buah tin (fig), goose berry, limau nipis dan lemon.

Bagi kami, buah tin dan lemon mengundang memori indah pada rumah sewa kami di Dandenong dahulu. Buah tinnya lebat sekali, menunggu masak di akhir musim panas ini atau awal musim gugur nanti (Jan-Mac). Buahnya jenis besar,  boleh dimakan begitu sahaja. Rasanya, emm.. sedap sekali.

Inilah buah tin... sedap!
Dua hari terawal suhu di Melbourne amat sejuk, sekitar 17C. Lebih-lebih lagi di malam hari menurun di bawah 10C. AlhamduliLLAH ada pemanas elektrik disediakan di setiap bilik dan juga di ruang tamu.

Setiap pagi kami akan dapatkan dahulu ramalan suhu dan cuaca harian yang tersiar di kaca TV sebagai persediaan sebelum keluar berjalan.

Selama 3 hari di an-Naim, sempat juga kami memasak seadanya di rumah ini. Malah banyak sekali keperluan dapur seperti rempah ratus dan bahan makanan serta minuman yang disediakan atau ditinggalkan oleh para penyewa yang bersilih ganti sebelum kami. Majoritinya dari Malaysia. Daging halal, makanan laut dan pelbagai keperluan memasak rasa Malaysia mudah diperolehi di Halal Mart dan Asian Grocery di Dandenong atau pun Clayton.

Selepas itu kami menginap semalam di Clayton Monash Motor Inn, berdekatan dengan Monash University. Apartment 2 bilik yang amat selesa, ditempah beberapa hari sebelum berlepas ke Melbourne. Keesokan harinya, selepas majlis konvokesyen, bermulalah perjalanan kami ke Mt. Gambier, South Australia dan Port Campbell, Victoria. 

Untuk kedua-dua tempat tersebut, penginapannya secara walk-in sahaja. Kami tidak membuat tempahan awal kerana khuatir perjalanan kami berubah rancangan di saat-saat akhir. Pengalaman kami, ianya suatu tindakan yang amat besar risikonya jika tiba di waktu malam kerana lazimnya reception mula ditutup sekitar jam 8:30 malam. Begitu juga ketika peak season seperti musim cuti sekolah di Australia. 

Namun kami bernasib baik. Syukur kepada ALLAH SWT atas rahmat dan perlindunganNYA. Di Mt. Gambier, kami menginap di Arkana Motor Inn, manakala di Port Campbell pula di Summer's Rest Units. Kesemua tempat bermalam amat memuaskan hati kami terutama dari segi kekemasan dan kebersihan luarannya.

Di rumah Rasydan-Rohani
Malam terakhir sebelum bertolak pulang ke tanah air, kami menerima jemputan bermalam di rumah rakan lama, Sdr Rasydan-Dr. Rohani yang juga tinggal di Springvale, tidak jauh dari rumah Asmadi-Mazni. Terima kasih daun keladi, lain kali bolehlah tumpang lagi... ;)

Nasihat kami kepada rakan-rakan yang ingin berkunjung ke Australia, rancangkan sebaik mungkin pengembaraan kalian. Dapatkan jarak dan masa perjalanan dari satu lokasi ke satu lokasi dan buat tempahan penginapan lebih awal.

Dapatkan juga ramalan cuaca dan suhu setempat serta waktu solat bagi setiap lokasi berkaitan. Soal makanan juga penting, boleh sahaja search tempat makanan halal yang ada atau pastikan ramuan makanan yang dibeli tidak mengandungi sumber haram atau syubhah. 

Seronok jika dapat memandu sendiri, apatah lagi jika berkeluarga. Akan tetapi bagi yang mengikuti pakej pelancongan, seeloknya dapatkan pakej Muslim, banyak perkara berkaitan hukum hakam Inshaa ALLAH lebih terpelihara.

Thursday, December 24, 2015

Melbourne > TAHNIAH Laili

Tujuan utama kami ke Melbourne kali ini bukanlah untuk melancong tetapi bagi meraikan Laili di pentas konvokesyen Monash University bertempat di kampus Clayton.

Di Monash University, Laili mengikuti pengajian di dalam bidang Geriatrics, pengkhususan kajiannya berkaitan Healthy Ageing.

Selepas Majlis Konvokesyen
Jarak waktu yang panjang dalam menyiapkan tesis dek bebanan tugasan harian yang saling bertindihan bagaikan tiada penghujungnya. Usaha yang berterusan tanpa menghiraukan sebarang rintangan dan tabah menghadapi setiap cabaran akhirnya membuahkan kejayaan yang membanggakan. Ibarat sebatang pokok yang dibajai penuh tekun sedari tunas akhirnya menatijahkan buah yang manis. 

AlhamduliLLAH, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi, di pertengahan tahun baru-baru ini pihak Monash University telah memperakui tesis yang ditulis dan menganugerahkan Doktor Falsafah (PhD) kepada Laili. TAHNIAH Laili.

Setelah bertangguh bagi menghadiri beberapa majlis konvokesyen yang diadakan sebelum ini, akhirnya telah ditetapkan istiadat graduasi pada sesi Disember 2015 bagi sesi pagi 15 Dis 2015.

Tarikh ini dipilih kerana bersekali musim cuti persekolahan di Malaysia. Tambahan pula musim panas di Australia - amat sesuai untuk membawa anak-anak berjalan-jalan makan angin.

AlhamduliLLAH... pagi 15 Dis yang terang. Kami tiba awal di kampus, kira-kira jam 8:00 pagi. Suasananya masih lenggang lagi. Ada hikmahnya. Banyak urusan dapat dilakukan dalam keadaan senang dan tenang. Bermula dengan pendaftaran, tuntutan tiket (AlhamduliLLAH semuanya dapat tiket) dan ambilan jubah + bonnet (topi konvokesyen), diikuti pengambilan foto berbayar dapat dilakukan tanpa menunggu lama. Bagi yang datang lewat, terpaksa berdiri lama menunggu giliran.

Menunggu majlis konvokesyen yang bakal berlangsung di Robert Blackwood Hall pada jam 11:00 pagi, kami berjalan-jalan di sekitarnya sambil mengambil beberapa foto sebagai kenangan-kenangan. Hadirin mula melangkah masuk ke dewan setengah jam sebelum majlis bermula. Para jemputan dibenarkan mengambil foto sepanjang majlis tetapi dari tempat duduk sahaja. Pelbagai bangsa, agama dan warna kulit hadir memberi sokongan moral pada ahli keluarga masing-masing.

Perjalanan majlis istiadat konvokesyen ringkas sahaja. Bermula dengan perarakan masuk ke dewan dikepalai pembawa cokmar, diikuti oleh delegasi tertinggi universiti, para pensyarah/penyelia dan para penerima PhD. Selingan muzik hanya dipermulaan majlis dan di akhirnya sahaja.

Tiada raptai khusus, cukup dengan penerangan ringkas. Tiada juruacara khusus. Timbalan Canselor dan Naib Cancelor serta Dekan bersilih ganti menjadi juruacaranya. Ucapannya bersahaja dan tidak terlalu panjang.

Begitu juga dengan istiadat graduasinya juga ringkas. Hampir 500 penerima anugerah Bachelor dan PhD megah melangkah menerima sijil daripada Cancelor. Menghampiri jam 12:30 petang, semuanya selesai. Alangkah selesanya jika perkara seumpamanya berlaku di universiti-universiti tanah air kita yang amat memberatkan protokol.

Kami amat berbangga melihat Laili dengan jubah hitam berselendang hitam merah dan bonnet hitam berambu merah. Itulah manifestasi sebuah kejayaan yang amat bermakna bagi kami sekeluarga. Sayangnya Izzuddin tiada bersama tetapi keceriaannya masih dapat dirasai bersama. Lebih-lebih lagi ketika melihat Laili berada di pentas - dikalungkan selendang dan dianugerahkan sijil PhD. Apatah lagi dengan berbaju kurung... tampak benar kelainan budaya - juga amat dibanggakan.

Sekali lagi... AlhamduliLLAH dan TAHNIAH. Moga sentiasa dirahmati ALLAH SWT dan menjadi inspirasi dan motivasi untuk anak-anak. Aameen.

Tuesday, December 22, 2015

Melbourne > KUL-MEL-KUL

Musafir kami di Melbourne bermula dengan penerbangan pada 10 Dis dari KLIA ke Melbourne Airport dan berakhir pada petang 18 Dis ketika penerbangan pulang. Ditolak campur adalah dalam seminggu kami berkelana di bumi kangaroo.

Untuk entri kali ini, kami kongsikan pengalaman yang kami lalui ketika di lapangan terbang dan sepanjang penerbangan pergi dan balik.  

KUALA LUMPUR - MELBOURNE 

Kami tiba di KLIA kira-kira jam 7:00 petang 10 Dis. Sedikit gusar ketika check-in di kaunter kerana salah satu visa (ETA) kami tersilap maklumat dan perlu diperbetulkan oleh pihak imigresen Australia. Kesilapan yang tidak disedari ketika permohonan visa secara online. Lebih sejam menunggu, sempatlah kami solat jamak Maghrib-Isyak terlebih dahulu. 

Penerbangan MAS MH149 (KUL-MEL) berlepas dari KLIA kira-kira jam 10 malam. Majoriti para penumpangnya adalah berbangsa Cina dan juga 'orang putih'.  

Menjenguk di luar tingkap tika matahari pagi bersinar terang, terpana kami dengan keindahan alam ciptaan ALLAH SWT -  gumpalan awan bagaikan kapas putih bersih terapung-apung di udara. Daratan coklat pula berbalam-balam kelihatan di sebaliknya. SubhanaLLAH.

AlhamduliLLAH MH149 selamat mendarat di Melbourne Tullamarine Airport sekitar jam 8:10 pagi (waktu tempatan). Perbezaan masa adalah 3 jam di hadapan (Daylight Saving Time - tambahan 1 jam dari Okt-Mac). Persekitarannya panas tetapi suhunya rendah, 14 C.

Mengikut aturan musim, sekarang adalah musim panas di Melbourne. Akan tetapi suhunya tidak menentu - adakalanya sejuk walaupun di musim panas. Itulah Mebourne yang kami kenali sehingga mendapat jolokan four season in one day.
 
Setelah memungut bagasi, langkah seterusnya melalui pemeriksaan kastam. Perlu diingatkan, pengawasan masuk barangan ke Australia amat ketat. Bahan tenusu, sayuran, buah-buahan dan tumbuhan adalah antara barang larangan ke Australia. 

Berpandukan kepada Incoming Passenger Card (IPC) di mana tertera barangan yang diisytiharkan dibawa, kami sekeluarga telah diminta berbaris bersama beg dan kotak sambil dihidu oleh anjing pengesan. Puncanya ada makanan berasaskan ikan (serunding ikan dan bilis kopek). Tiada sebarang masalah. Malah tidak perlu melalui mesin pengimbas mahu pun diselongkar bagasi. AlhamduliLLAH.

Begitu juga tiada masalah di kaunter imigresen. Berbaris di Family Lane, barisannya lebih pendek, maka lebih cepat mendapat giliran. Tambahan pula layanan petugasnya amat mesra menyambut kehadiran kami di negara mereka.

Melangkah keluar dari Bangunan Terminal, kami tercanggak-canggak mencari laluan melintas untuk ke Park Royal Hotel di seberang jalan terminal bagi mengambil kereta Mitsubishi ASX yang disewa di Thrifty Car Rental. Maka bermulalah musafir menjejaki kenangan di Melbourne dengan lokasi pertama yang ditujui adalah an-Naim Home Melb - homestay milik kenalan lama, Sdr Asmadi-Mazni yang terletak di Springvale, daerah berjiranan dengan Dandenong.

MELBOURNE - KUALA LUMPUR

Penerbangan MAS MH 148 dari Melbourne Airport ke KLIA (MEL-KUL) dijadualkan berlepas pada jam 2:50 petang.

Bertolak dari rumah Sdr Rasydan-Rohani di Springvale di mana kami menginap di sebelah malamnya, AlhamduliLLAH kami tiba di Melbourne Airport kira-kira jam 12:00 tengahari dan terus dihantar kereta sewa ke Thrifty Car Rental. Urusan check-in selesai sekitar jam 1:15 petang dek panjangnya barisan walaupun banyak kaunter yang dibuka. AlhamduliLLAH, sempat kami bersolat jamak Zohor-Asar di Prayer Room di tingkat bawah. Itulah salah satu kelebihan yang amat kami gemari yang ada pada Melbourne Airport.

Urusan pemeriksaan kastam kami tersangkut kerana salah satu beg dikesan mempunyai barangan terlarang. Tak disangka-sangka, rupa-rupanya kotak hadiah sebagai buah tangan daripada teman di Springvale untuk adiknya di tanah air adalah puncanya. Jika kami tahu isinya sudah pasti kami masukkannya ke ruangan bagasi. Apa nak buat, tiada rezeki. Maafkan kami. 

Seterusnya tersangkut pula di bahagian imigresen. Urusan kaunter amat perlahan di mana hanya 3 kaunter dibuka sedangkan barisan penumpang agak panjang. Kami mulai risau kerana masa berlepas hanya tinggal 20 minit lagi sedangkan giliran kami masih jauh. Setelah ditambah lagi 7 petugas, maka cepat sahaja barisan menjadi pendek. Terkejar-kejar kami menuju Gate 8. AlhamduliLLAH.

Selamat Tinggal Melbourne...

Sepanjang penerbangan, masing-masing tidak lepaskan peluang menonton filem dan mendengar alunan nasyid dan ayat-ayat al-Quran. Setelah penat, tidurlah jawabnya. 

Sesekali arahan kembali ke tempat duduk diberikan kerana keadaan cuaca yang kurang baik. Gegaran demi gegaran pada kapal terbang menimbulkan kengerian di hati. Hanya padaNYA kami berserah sambil memohon keampunan dan keselamatan dari segala mala petaka

AlhamduliLLAH, MH 148 selamat mendarat di KLIA kira-kira jam 7:45 malam. "Selamat Pulang". Demikianlah sapaan daripada pramugara/i ketika melangkah keluar dari perut kapal terbang. Maka rutin hidup di bumi Malaysia kembali berpusing seumpama roda.

Maka tinggallah Melbourne dengan deretan kenangan terbaru. Jika berpeluang, ingin lagi kami ke sana. Siapa tahu... Segalanya tiada mustahil bagiNYA. Aameen.

Sunday, December 20, 2015

Melbourne > Musafir Menjejaki Kenangan

Dahulu... dari pertengahan tahun 2007 hingga akhir tahun 2010, kami pernah bermukim di bumi Melbourne. Lebih khusus lagi di Dandenong, salah sebuah daerah terbesar di Victoria, Australia. Sebelum itu kira-kira 6 bulan di akhir tahun 2006 kami berkelana di bumi Adelaide, South Australia. Ketika itu Laili menyambung pengajian di kedua-dua tempat tersebut. Kesemua enam beranak turut serta. Kini, segalanya tinggal kenangan setelah kami berangkat pulang ke tanah air pada awal tahun 2011.

Seringkali juga kami merindui suasana kehidupan di Melbourne. Terpahat kemas di hati, Inshaa ALLAH kami akan ke sana lagi sekaligus menjejaki kembali kenangan pahit manis hampir 4 tahun di negara orang.


Setelah sekian lama bertangguh dek bebanan kerja dan kekangan masa yang terbatas, akhirnya impian kami menjadi kenyataan. AlhamduliLLAH, pagi 11 Disember, 2015 kami selamat tiba di Melbourne Airport dan pada petang 18 Disember kami terbang meninggalkan Melbourne.

Seminggu di Melbourne, terubat sudah rindu di hati. Cuma kurang cerianya kerana kunjungan kami kali ini tidak disertai sama Izzuddin yang sedang berada di California, Amerika Syarikat.

Tujuan utama kami ke Melbourne adalah bagi meraikan Laili di pentas konvokesyen Monash University yang berlangsung pada pagi Selasa, 16 Disember. TAHNIAH Laili. Kami sekeluarga amat-amat bangga dengan kejayaan yang dicapai. Moga ianya menjadi motivasi terbaik untuk anak-anak serta ahli keluarga lain.

Selebihnya misi kami adalah berjalan-jalan makan angin ke lokasi-lokasi pelancongan yang pernah disinggahi suatu ketika dahulu sambil mengutip setiap helaian kenangan, pengalaman dan pengetahuan yang pernah dilalui. Walaupun tidak semua dapat dijejaki tetapi memadai dalam ruang lingkup waktu yang terbatas.

Inshaa ALLAH segalanya akan dikongsi pada entri seterusnya. Moga dipermudahkanNYA dan ada manafaatnya. Aameen.

Thursday, December 10, 2015

The Big Bad Wolf Datang Lagi

Inilah pesta jualan buku terbesar di bawah satu bumbung yang pernah kami kunjungi khususnya dengan majoriti buku berbahasa Inggeris. Ianya adalah acara tahunan pada setiap akhir tahun bertempat di MIECC @ The Mines, Seri Kembangan, Kuala Lumpur.

Sejak pertama kali menjejakkan kaki ke BBW Book Sale kira-kira 4 tahun lalu, setiap tahun kami tidak pernah terlepas peluang ke BBW.

Pertama kali ke BBW, kami berbelanja hampir RM800. Semuanya begitu teruja terutama anak-anak yang amat menggemari buku-buku bahasa Inggeris.  Sayang untuk meminggirkan setiap buku yang dipilih. Semuanya amat menarik. Kali kedua dan seterusnya semakin kurang berbelanja. Semuanya berhati-hati, hanya yang benar-benar terpilih yang menjadi pilihan hati.

Untuk tahun ini, BBW Book Sale bermula pada 04/12/2015 dan akan berakhir pada 14/12/2015. Ruangan jualan ini dibuka 24 jam setiap hari sehinggalah ditutup menjelang tengah malam pada 14/12 nanti.

Harga setiap buku amat-amatlah murah, apatah lagi bagi buku-buku keluaran luar negara. Bayangkan harga asalnya sekitar RM40 - RM60 dijual dengan harga RM10 sahaja. Malah mudah sahaja ditemui buku-buku dengan harga RM3 - RM8 sebuah. Terdapat juga buku yang ditawar potongan harga sehingga 95%.

Cuma satu... hampir semua buku adalah buku lama, bermaksud telah lama berada di pasaran. Tidak dinafikan, sebahagiannya adalah buku 'tak laku' yang memenuhi gudang penerbit. Namun, yang penting adalah ilmu pengetahuan dan 'hiburan' yang terdapat di dalamnya. Pandai-pandailah membuat pilihan terbaik.

Koleksi Terbaru Kami
Dilaporkan lebih 3.5 juta buku 'dilonggokkan' pada tahun ini. Dari pemerhatian kami, jumlah buku berbahasa Melayu semakin banyak dipamerkan dengan pertambahan penyertaan daripada para penerbit tempatan, antaranya PTS, Karangkraf dan Galeri Ilmu. Bagi peminat buku pixi/ indie, banyak juga pilihan untuk mereka.

Ratusan meja pameran disediakan. Lebih menarik lagi, pada tahun ini disediakan troli bakul untuk memudahkan para pengunjung membawa buku-buku pilihan. Sebenarnya ini satu perubahan positif yang baik, sekaligus diyakini dapat meningkatkan jualan.

Pada tahun lepas, dek kekangan masa yang terbatas, kami berkunjung ke BBW pada jam 3:00 pagi. Pada tahun ini pula kami melangkah masuk ke ruang jualan sekitar jam 7:15 pagi hari Ahad baru-baru ini. Pengunjungnya belum ramai lagi tetapi tidak lama. Ketika kami beredar keluar sekitar jam 10:00 pagi, ruangan dalaman semakin dipenuhi para pencinta buku.

Kali ini kami tidak banyak berbelanja, hanya sekitar RM200 sahaja. Bukannya tiada buku menarik... teramat banyak... tetapi semuanya berpada-pada. Buku yang dibeli sebelum ini pun masih ada yang belum dibaca. Lebih parah lagi, tiada lagi ruang penyimpanan di rak-rak buku yang semakin sendat, padat dan ketat. Segalanya perlu disusun atur kembali dan diisihkan mana yang tidak/ kurang diperlukan.

Matlamat kami, sedaya mungkin habiskan dahulu apa yang ada. Inshaa ALLAH akhir tahun hadapan pergi lagi. Malah banyak pesta jualan buku di merata-rata tempat yang boleh dikunjungi, cuma bezanya buku bahasa Inggerisnya tidaklah semewah dan semurah di The Big Bad Wolf Book Sale.

Monday, December 7, 2015

Cuti Akhir Tahun 2015

Sekarang musim cuti sekolah di akhir tahun. Cuti yang panjang... menjangkau 6 minggu sehingga munculnya tahun baru 2016. 

Inilah cuti yang amat dinanti-nantikan oleh anak-anak sekolah. Banyak perkara yang boleh mereka lakukan. Lebih bebas daripada ketika cuti pertengahan penggal atau cuti semester. Lazimnya tiada kerja sekolah yang dibebankan. 

Berbeza dengan Solehah yang bakal melangkah ke Tingkatan 4 tahun hadapan... bertimbun kerja sekolah yang dibawa pulang. Segalanya persediaan untuk peperiksaan Cambridge IGCSE (International General Certificate of Secondary Education) yang bakal didudukinya pada tahun hadapan. Malah rutin hafazan al-Qurannya masih perlu diteruskan. Pesan kami, hadapilah dengan tabah dan tenang. Usah dihiraukan orang lain yang 'bersenang-lenang'. Jalur perjuangan adalah berbeza. Moga dikurniakan kekuatan. Aameen.

Manakala Hanisah pula baru sahaja meraikan 'kemerdekaan' daripada alam persekolahan menengahnya setelah tamat SPM pada awal Disember ini. Masa untuk berehat daripada penat-lelah dan perit-jerih. Moga berjaya cemerlang. Aameen.

Kebiasaannya apabila bercuti, adalah tempat yang akan dikunjungi. Semalam mereka dibawa ke pesta jualan buku terbesar di Malaysia yang menjadi idaman mereka setiap hujung tahun, The Big Bad Wolf Book Fair bertempat di The Mines, Seri Kembangan. 

Pada minggu lepas mereka ke berhari keluarga di Alang Sendayu, Gombak. Sebelum itu mereka telah pun menyinggah ke PTS Book Cafe di Dolomite Business Park, Batu Caves - beberapa buah komik dan buku menjadi milik mereka sebagai tambahan koleksi sedia ada.

Inshaa ALLAH, di penghujung minggu ini kami akan terbang ke Melbourne, Victoria, Australia bagi menghadiri Majlis Konvokesyen di Monash University @ Clayton. Tahniah Laili atas kejayaan yang diperolehi. Majlis yang tertangguh dek kesibukan kerja setelah pulang ke tanah air.

Kenangan di Lake Mountain, Victoria
Kami dijadualkan berada di Australia selama seminggu. Sambil menyelam minum air. Bolehlah dikatakan sebagai Misi Menjejaki Kenangan di Bumi Kangaroo. 

Segala yang dilalui selama 4 tahun bermukim di Melbourne, khususnya di Dandenong masih segar dalam ingatan.

Beberapa lokasi pelancongan yang pernah disinggahi akan dilawati. Beberapa kenalan akan diusahakan untuk dikunjungi. Beberapa rutin harian akan kami rasai kembali. Inshaa ALLAH segala kerinduan yang terpendam bakal terungkai tidak lama lagi.

Menjelmanya tahun 2016,  Inshaa ALLAH kami akan pulang ke Terengganu, menjengah keluarga di kampung. Seterusnya menghantar Solehah balik ke asrama MRSM Kota Putera. Jika berkesempatan, mahu juga melebarkan langkah ke bumi Serambi Mekah, Kelantan - menyingkap sejarah pahlawan Islam seperti Tok Janggut dan Mohammad al-Fateh di Muzium Negeri. Bermanafaat sebagai asas pentarbiyahan dan muhasabah diri.

Moga tercapai apa yang dirancang dan perjalanan kami sentiasa terpelihara di bawah payungan rahmat Illahi. Aameen.

Sunday, November 1, 2015

SPM 2015 - Selamat Berjuang

Menjelmanya bulan November, 2015, maka bermulalah perjuangan penuh debar para pelajar Tingkatan 5 di seluruh negara. 

Umumnya, selama sebulan, dari 2 November sehingga 2 Disember adalah jarak masa yang wajib ditempuh. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah peperiksaan utama bagi para pelajar sekolah menengah sebelum mereka melangkah ke alam baru. Majoriti daripadanya akan meninggalkan alam persekolahan selama 11 tahun atau lebih yang wajib dilalui - sekolah rendah dan menengah.

Di kalangan keluarga terdekat kami terdapat 3 orang ahli keluarga yang menduduki SPM pada tahun ini iaitu anak kami sendiri, Nur Hanisah dan 2 orang lagi adalah sepupunya; seorang di Kuala Lumpur, Ainul Farhah dan seorang lagi di Kuala Terengganu, Siti Alia Syukrina.

Untuk mereka bertiga serta rakan-rakan seangkatan mereka di seluruh negara, diucapkan Selamat Menduduki SPM. Lakukan yang terbaik kerana inilah perjuangan terakhir di peringkat persekolahan yang bakal mencorakkan fasa kehidupan seterusnya. 

Walaupun perjuangan selepas SPM ini akan lebih mencabar lagi, akan tetapi bagaimana bentuk cabaran dan peluang yang bakal dihadapi banyak bergantung kepada setakat mana pencapaian seseorang di dalam SPM. Justeru itu, jangan sia-siakan perjuangan kalian dalam SPM ini.

Di sepanjang musim peperiksaan ini, usahakan untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH SWT sambil mengharapkan pertolongan daripadaNYA agar dipemudahkan dalam menjawab soalan dan akhirnya dikurniakan kejayaan yang cemerlang dalam setiap subjek yang diambil. In Shaa ALLAH jika kita sentiasa ingat kepadaNYA, ALLAH akan sentiasa ingat kepada kita. 
Ya ALLAH, kurniakanlah ketenangan kepada anak-anak kami dan rakan-rakan mereka. Permudahkanlah segala usaha mereka dalam menjawab soalan dan anugerahkan kejayaan cemerlang untuk mereka di dunia dan juga di akhirat. Aameen Ya Rabbal 'aalameen.

Wednesday, October 14, 2015

Salam Maal Hijrah 1437

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Genap setahun, maka muncullah tahun baru. Mana-mana kalendar @ taqwim semuanya sama.

Mengikut taqwim Islam, hari ini 1 Muharram, tanda bermulanya tahun baru Hijriah 1437.

Menelusuri kisah di sebalik peristiwa hijrah RasuluLLAH SAW dan umat Islam dari Mekah ke Madinah, menggambarkan betapa perlunya semangat perpaduan dan kesatuan ummah diberikan perhatian utama.

Lihatlah di sekeliling kita sekarang betapa umat Islam sedang menghadapi ujian yang amat menyedihkan. Di Eropah, propaganda Islamiphobia dimainkan bagi memperlihatkan orang Islam adalah pengganas. Di Timur Tengah pula diancam dengan perpecahan ummah dan perang saudara. Malah lebih mengharukan betapa umat Islam dengan sewenang-wenangnya dibunuh dan dinafikan hak mereka seperti di Palestin, Burma, Afghanistan, Chechen, Iraq, Mesir, Syria dan banyak tempat lagi.

Kita tidak mahu suasana yang menyayat hati ini berlaku di negara kita. Nauzubillahiminzaalik.

Namun kita di tanah air turut tidak terlepas daripada ujian ALLAH dengan pelbagai isu dan kemelut yang adakalanya mencetuskan hubungan yang tegang di kalangan umat Islam sendiri dan juga dengan bukan Islam.

Sebagai umat Islam, kita ada al-Quran dan al-Hadith sebagai sumber rujukan utama. Marilah kita menjadikannya sebagai panduan. Sekiranya terdapat sebarang perselisihan dan perbezaan pendapat, kembalilah kita kepada keduanya, In shaa ALLAH kita tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah pesanan daripada junjungan mulia, Muhammad RasuluLLAH SAW. Seterusnya berlapang dada menerima kepelbagai pandangan selagi tidak melanggar syariat ALLAH SWT.

Renungilah betapa kaum Aus dan Khazraj di Madinah yang terkenal dengan permusuhan sesama mereka dapat disatukan hati-hati mereka dengan Islam membentuk kaum Ansar. Dengan kesatuan yang sedia terjalin, mereka dengan mudah menerima persaudaraan yang dihulurkan oleh kaum Muhajirin yang berhijrah ke Madinah. Segalanya kerana Islam.

Justeru itu wahai setiap insan yang melafazkan kalimah tauhid 'LaaILLAHaillALLAH MuhammadurasuluLLAH", marilah kita bersama-sama bersatu di bawah kesatuan Islam. Sama-sama mempertahankan yang hak dan meninggalkan yang batil, menegakkan yang makruf serta mencegah perkara mungkar.

Semoga Tahun Hijrah 1437 ini bakal membawa sinar kesatuan ummah dan perpaduan sejagat yang lebih baik untuk umat Islam di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia amnya. Aameen.

Sesungguhnya hanyalah redha ALLAH SWT yang diharapkan.

Salam Maah Hijrah 1437.

Monday, October 12, 2015

PT3 2015 - Selamat Berjuang

Dalam ribut anak-anak meneruskan perjuangan UPKK yang tertangguh ke minggu ini, para pelajar Tingkatan 3 terus dengan jadual peperiksaan utama yang tersedia untuk mereka, Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang bermula pada hari ini, selama 3 hari sehingga hari Khamis ini.

Secara umumnya PT3 ini telah bermula sejak pertengahan tahun lagi dengan Kajian Kes untuk subjek Geografi dan Sejarah. Diikuti pula Ujian Lisan Bertutur dan Mendengar bagi subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada bulan Ogos lalu.

Kini tiba pula giliran Ujian Bertulis untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup Bersepadu, Pendidikan Islam dan bahasa pilihan.

Tahun ini adalah tahun kedua pelaksanaan PT3, menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang lebih tertumpu kepada ujian bertulis.

Dengan penambahbaikan yang dilakukan, diharapkan sistem peperiksaan yang baru ini dapat membentuk para pelajar yang mempunyai daya fikir yang lebih inovatif, progresif dan kreatif serta dianugerahi sahsiah diri dan jati diri yang positif.

Setiap yang baru pasti ada pro dan kontranya. Adatnya begitu. Jika ada kelemahan dan kekurangan, usahakan untuk diperelokkan sehingga ianya menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Dalam keluarga kami, Nur Solehah yang bersekolah di MRSM Kota Putera, Besut adalah antara salah seorang calonnya. Begitu juga sepupunya di Kuala Lumpur; Arif Farhan.  

Kepada mereka berdua dan semua calon PT3, hadapilah perjuangan ini dengan penuh semangat dan buktikan bahawa kalian mampu melakukan yang terbaik.

Moga ALLAH lapangkan dada, tenangkan fikiran dan dapat menjawab setiap soalan dengan sempurna dan dikurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat. Aameen.

Thursday, October 8, 2015

UPKK 2015 - Jadual Baru

Dek kerana jerebu teruk yang mengakibatkan sekolah-sekolah terpaksa ditutup selama 3 hari daripada 05 Oktober - 07 Oktober, maka pihak JAKIM telah menetapkan jadual baru.

"Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek Lughatul Quran (UPKK 06/01) akan (telah) berlangsung pada hari ini dari pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Subjek Ulum Syariah (UPKK 02/01) pula akan diadakan pada Isnin, 12 Oktober dari jam 2.30 petang hingga 4 petang.

Bagi subjek Sirah (UPKK 03/01) serta Jawi dan Khat (UPKK 05/01) pula, ia akan diadakan pada Selasa, 13 Oktober iaitu masing-masing dari pukul 2.15 petang hingga 3.45 petang dan 4.15 petang hingga 5.45 petang.


Manakala bagi subjek Adab I (UPKK 04/01) dan Adab II (UPKK/04/02) akan berlangsung dari jam 2.15 petang hingga 3.45 petang dan 4.15 petang hingga 5.45 petang pada hari Khamis, 15 Oktober"

Demikian sebahagian sedutan daripada pengumuman yang telah dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha pagi tadi. Sebarang perubahan jadu
al bergantung kepada keadaan jerebu dan akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Apakah perasaan para pelajar yang terpaksa menangguhkan 'kemerdekaan' mereka? Tak mengapalah. Usah stress. Hadapilah dengan tenang. In Shaa ALLAH ada hikmah di sebaliknya.

Teruskan perjuangan demi memartabatkan Islam.

Tuesday, October 6, 2015

UPKK 2015 - Selamat Berjuang

Tidak ramai orang yang tahu dan ambil tahu apa ke bendanya UPKK ni kecuali yang melaluinya terutama yang menghantar anak-anak ke sekolah rendah agama. Tidak kiralah dipanggil SRA, SAR atau KAFA.

Jadual Peperiksaan UPKK 2015
UPKK adalah singkatan kepada Ujian Penilaian Kelas KAFA iaitu peperiksaan sijil agama peringkat sekolah rendah kendalian JAKIM (Jabatan Kefahaman Islam Malaysia). Peperiksaan ini dilaksanakan di seluruh negara.khusus untuk pelajar Tahun 5 yang mengikuti kelas pengajian agama selepas waktu persekolahan sekolah kebangsaan. 

Tidak menghairankan jika ada yang tidak mengetahuinya kerana ramai juga ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak ke kelas agama berkenaan. Mungkin ianya tidak disediakan di kawasan mereka tinggal atau merasakan tidak perlu. Terserahlah... 

Cuma sebagai peringatan, anak-anak adalah amanah ALLAH SWT, maka usah dilupakan kewajiban ibu bapa mendidik mereka dengan ilmu agama. Bukan soal sijil tetapi soal kefahaman Islam dan pengamalan sebenar sebagai hamba ALLAH SWT. Sijil cuma sebagai alat untuk kesinambungan jalur pengajian anak-anak selepas tamat pengajian di peringkat sekolah rendah.

Opps.. Maaf... panjang pula celotehnya.

Mengikut perancangan, UPKK sepatutnya bermula semalam, Isnin (05/10/2015) dan berakhir pada Khamis (08/10/2015). Namun disebabkan jerebu, sekolah diarahkan tutup selama 2 hari iaitu semalam dan hari ini (Isnin - Selasa). Maka jadual peperiksaan untuk kedua-dua berkenaan terpaksa ditangguhkan kepada tarikh yang akan ditentukan kemudian. Jika tiada aral, jadual peperiksaan pada hari Rabu dan Khamis akan berjalan seperti dirancangkan.

Imran di Sekolah KAFA (I) Ar-Ridhuan
Untuk UPKK ini, anak bongsu kami, Imran serta 2 sepupunya, Adam di Selangor dan Wajdi di Terengganu adalah antara calon yang mendudukinya. 

Didoakan moga mereka bertiga serta rakan-rakan Tahun 5 mampu melaluinya dengan baik serta dipermudahkan oleh ALLAH SWT dalam menjawab setiap soalan yang diutarakan. Seterusnya beroleh kejayaan yang membanggakan sebagai bekalan ke akhirat. Ameen.

Bagi Imran dan yang bersekolah di Selangor, mereka mempunyai satu lagi cabaran peperiksaan sekolah agama yang lebih mencabar pada tahun hadapan iaitu PSRA (Peperiksaan Sekolah Rendah Agama) yang dikendalikan oleh JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor). Pada masa yang sama perlu menghadapai cabaran UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) di sekolah kebangsaan. Lazimnya dilaksanakan selang 2 - 3 minggu sahaja. 

Moga mereka sentiasa dirahmati ALLAH SWT dan berada di landasan yang benar sebagai hambaNYA. Ameen.

Saturday, September 19, 2015

Cuti Sekolah

Hari ini bermulanya cuti persekolahan Semester 3/2015 selama seminggu bagi negeri-negeri yang bercuti hujung minggu pada hari Ahad. Selebihnya telah pun memulakan cuti mereka semalam.

Solehah yang bersekolah di Besut, Terengganu - AlhamduliLLAH telah pun selamat tiba dari Kota Bharu pada lewat petang Khamis. Manakala Hanisah dan Imran pula tamat persekolahan mereka pada petang semalam.

Lazimnya setiap kali cuti persekolahan, maka adalah tempat-tempat menarik yang berunsur pelancongan yang kami kunjungi. Yalah... mana lagi ada masa untuk keluar bersama-sama dengan anak-anak, khususnya Solehah yang hanya bersama pada cuti persekolahan.

Pada kali ini selama seminggu, Inshaa ALLAH kami akan berada di Terengganu - ada majlis perkahwinan 3 serangkai anak saudara pada hari Selasa, diikuti majlis korban sempena Eid Adha. Selepas itu bertolak ke Besut pula untuk menghantar Solehah kembali ke asrama.

Kebiasaannya, sela masa yang ada akan cuba dipenuhi dengan aktiviti ziarah keluarga, saudara-mara dan bertemu rakan-rakan lama zaman sekolah dahulu. Jika berkesempatan ingin juga berkunjung ke destinasi-destinasi pelancongan di Terengganu. Itulah yang selalunya kami cuba usahakan demi menghargai keindahan dan keunikan tersendiri yang tiada taranya di tanah air sendiri.

Namun, di sebalik keseronokan cuti seminggu ini, ketiga-tiga anak kami sebenarnya berada di zon tekanan peperiksaan

Selepas seminggu sekolah dibuka kembali, Imran di Tahun 5 akan menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK). Pada minggu berikutnya Solehah pula menghadapi Penilaian Tingkatan 3 (PT3). Manakala Hanisah pula akan berjuang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama sebulan, bermula awal November nanti. 

Sedikit sebanyak percutian pada kali ini kurang meriahnya bagi mereka bertiga. Malah kami pun turut merasainya. Apa-apa pun bergantung kepada keadaan - yang utama perlu didahulukan.

Inshaa ALLAH kiranya ada perkembangan menarik yang boleh dikongsikan bersama, akan kami usahakan untuk tatapan semua.

Selamat Bercuti. Moga sillaturahmi akan terus mengharum wangi. Aameen.

Tuesday, September 8, 2015

UPSR 2015 - Selamat Berjuang

Hari ini bermulanya ujian bertulis Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) - khusus untuk para pelajar tahun akhir di peringkat sekolah rendah di seluruh tanah air. 

Hari ini, esok dan lusa - 3 hari berturutan. 

 
Debarannya bukan sahaja dirasai oleh para pelajar Tahun 6 tetapi terlebih lagi ibu bapa. Ramai ibu bapa yang mengambil cuti khusus untuk menguruskan anak-anak bertuah ini. Anak-anak dipersiapkan sebaik mungkin samada dari segi keperluan fizikal dan tidak terkecuali sokongan moral agar mereka dapat menduduki peperiksaan utama yang pertama bagi mereka.

Saya pasti ramai di kalangan ahli keluarga dan sanak saudara serta sahabat handai yang menghadapi saat-saat yang mendebarkan ini. Apa-apa pun selamat maju jaya kepada semua para pelajar Tahun 6, juga kepada para ibu bapa. Moga mereka semua dikurniakan kejayaan yang diharapkan. Aameen.

Dari kalangan keluarga terdekat kami terdapat 2 orang anak yang menduduki UPSR pada tahun ini. Di Kuala Terengganu, anak ketujuh Kak Long-Abg Ya; Ammar, manakala di Kuala Lumpur pula anak Nita-Redhuan; Abid. Moga kedua-duanya mampu melakarkan kebanggaan untuk keluarga. Aameen.

Sekarang ini sememangnya musim demam peperiksaan. Peperiksaan percubaan bagi peperiksaan utama seperti Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) sedang berlangsung. Seterusnya diikuti peperiksaan sebenar (bertulis) pada bulan Oktober hingga Disember nanti.

Ketiga-tiga anak kami akan menduduki peperiksaan berkenaan. Imran di Tahun 5 dengan UPKK pada awal Oktober. Begitu juga Solehah dengan PT3 di pertengahan Oktober. Diikuti pula Hanisah yang bakal mengharungi perjuangan SPM selama sebulan bermula awal November.

Selamat Maju Jaya untuk semua. Moga segalanya dipermudahkan oleh ALLAH SWT serta dianugerahi kejayaan di dunia dan di akhirat. Aameen.

Friday, August 21, 2015

Musim Haji Kembali Lagi

Munculnya bulan Zulkaedah, maka bermulalah perjalanan bakal-bakal jemaah haji Malaysia menuju 2 Tanah Suci iaitu Madinah al-Munawwarah dan Makkah al-Mukarramah. Inilah antara bulan-bulan haji yang bermula daripada Syawal hinggalah Zulhijjah.

Dengan keteguhan iman dan patuh akan tuntutan rukun Islam yang ke-5, saban tahun berbondong-bondong umat Islam dari segenap penjuru dunia mendatangi BaituLLAH, menyahut seruan untuk menjadi tetamu agung ke rumahNYA. Beruntunglah kepada mereka yang menjadi insan terpilih, khusus dipilih oleh ALLAH SWT. SubhanaLLAH.

Firman ALLAH dalam surah al-Hajj:27 
"Dan berserulah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus. Mereka datang dari segenap penjuru yang jauh (seluruh dunia)"
Nostalgia di Dataran Kaabah: Suasana padat dan sendat
Setiap kali tibanya musim haji, maka setiap kali itulah hati ini diulit rasa rindu yang amat sangat untuk kembali ke bumi nan barakah. Lebih-lebih lagi ketika mendengar laungan talbiyyah. Terimbau saat-saat indah menunaikan ibadah tersebut 3 tahun lepas. 

Walaupun pelbagai kepayahan dan keperitan yang dilalui namun kenikmatan dan keseronokan menjadi igauan. Terlalu banyak pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi. Terasa akan ibadah yang lalu masih banyak yang kurang dan berazam untuk melakukan yang lebih baik daripadanya. 
"Ya ALLAH, panjangkan usia kami dalam kesihatan dan kekuatan untuk kembali lagi ke Masyair Haram demi melaksanakan tuntutan haji. Aameen Ya ALLAH."
Untuk tahun ini, difahamkan kuota jemaah haji kekal kurang 20% kerana pembangunan di sekitar Masjid Haram masih lagi belum selesai. Diwartakan seramai 22,320 orang berpeluang menunaikan haji melalui muassasah Tabung Haji pada tahun ini. TAHNIAH kepada bakal-bakal haji dan hajjah. Moga kalian semua dianugerahi haji yang mabrur. Aameen Ya Rabbal 'aalameen.

Nostalgia di Arafah: Berehat di khemah
Dikatakan suhu di Arab Saudi ketika ini agak panas. Malamnya sekitar 35C, manakala siangnya adakala melebihi 50C. Ditambah pula dengan persekitaran yang berdebu daripada pelbagai projek pembangunan yang giat dijalankan terutama di Makkah. Malah dengan kehadiran ramai jemaah dari segenap pelusuk dunia, maka bermacam penyakit senang melekat seperti batuk, lelah, kulit kering dan demam. 

Justeru itu diharapkan para jemaah dapat bersedia dengan pelbagai keperluan sampingan seperti ubat-ubatan dan losyen pelembab kulit (sebaiknya bawa dari Malaysia), minum banyak air terutama air zam-zam yang mudah diperolehi, kurangkan pergerakan di luar bangunan - sebaiknya beriktikaf di dalam masjid dengan pelbagai amalan sunat hatta tidur sekalipun.

Ingatlah, TUJUAN UTAMA ke Tanah Suci adalah demi misi yang suci - menunaikan ibadah haji bagi meraih redha ILLAHI yakni HAJI YANG MABRUR. Maka gunakanlah kesempatan yang julung-julung kali ini (anggaplah yang pertama dan terakhir) untuk mengabdikan diri kepadaNYA. Apatah lagi ganjaran beramal di kedua-dua Tanah Suci ini amat lumayan sekali. Tidak nampak di dunia tetapi mengunung tinggi di akhirat nanti. Inshaa ALLAH.
Daripada Jabir r.a., bersabda RasuluLLAH SAW, "Solat di masjidku (Masjid Nabawi) adalah lebih afdhal daripada 1,000 solat di masjid-masjid lain kecuali di Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram adalah lebih afdhal daripada 100, 000 solat di masjid-masjid lain."  (HR Ibn Majah)
Maka rebutlah peluang menjadi tetamu ALLAH ini dengan sebaik-baiknya. Tidak dinafikan kemuncak haji hanyalah 5-6 hari sahaja, bermula 8 Zulhijjah hinggalah 12hb (Nafar Awal) / 13hb (Nafar Thani). Namun jangka waktu selama lebih 40 hari (lazimnya) di Tanah Suci sewajarnya tidak disia-siakan.

Dengan kata lain, sibukkanlah diri dengan melakukan amalan-amalan wajib dan sunat, banyakkan masa di masjid daripada berlengkar di hotel atau tawaf kedai ke kedai. Usahakan berada di Raudhah dan juga hadapan Kaabah dengan datang awal untuk melakukan solat, munajat dan tawaf.

Al-Quran diturunkan di Mekah dan Madinah. Demi kemuliaan al-Quran dan rasa kasih kepada RasuluLLAH SAW, maka tekadkan diri untuk khatam bacaan al-Quran di Tanah Suci ini. Pengalaman kami; 8 hari di Madinah kami mampu khatam sekali. Di Makkah pula sebanyak 2 kali khatam termasuklah 1 kali berserta terjemahan. Malah ada jemaah yang khatam lebih daripada itu. Inshaa ALLAH boleh dilakukan. Cuma peruntukkan lebih masa bersama al-Quran, paling mudah ketika di masjid.

Nostalgia di Jamrah: Seusai melontar di pagi 10 Zulhijjah
Dari pengamatan kami, ramai yang tewas dek sedikit ujian kepayahan dan kepanasan. Di peringkat awal, ramai yang berpusu-pusu datang ke masjid namun akhirnya sekadar solat di hotel, di masjid berdekatan atau hanya di dataran masjid sahaja. Alangkah ruginya... 

Dari pemerhatian kami, dalam beramal, perkara paling utama adalah ILMU. Usahakan untuk menuntut ilmu berkaitan ibadah samada tentang solat, umrah dan haji serta yang apa-apa sahaja yang berkaitan amalan di Tanah Suci. Bawalah bersama buku-buku panduan haji yang diberikan. Tekuni setiap patah ilmu yang ada dan bertanya para pembimbing haji jika musykil.

Tanpa ilmu kita mungkin mengikut sahaja apa yang orang lain buat (pak turut) lebih-lebih lagi oleh jemaah haji dari negara-negara luar. Tanpa disedari kita telah melanggar hukum agama yang boleh merosakkan ibadah kita seperti bercampur lelaki dengan perempuan dalam satu saf sedangkan ianya boleh dielakkan, melontar pada waktu yang diharamkan, bertawaf dalam keadaan berhadas dan sebagainya.

Seperkara lagi yang amat banyak berlaku adalah sikap yang buruk seperti mementingkan diri sendiri, bersifat bongkak/ sombong, suka mengumpat, mengadu domba, membuang masa dan bermacam-macam hal lagi. Berusahalah sedaya mungkin untuk bersihkan hati. Dan untuk bersihkan hati juga perlukan ILMU.

Akhir kalam... Selamat Berangkat ke Tanah Suci. Berusahalah untuk melakukan yang terbaik berpandukan ILMU. Moga kalian semua dianugerahi maqam tertinggi yakni haji mabrur.

Wednesday, August 19, 2015

Masihkah Ramadhan Diingati?

[Muhasabah diri khusus untuk diriku sendiri dan untuk kalian. Moga bermanafaat]

Ramadhan semakin jauh meninggalkan kita. Syawal pun baru berlalu.  Kini kita di bulan Zulkaedah. Diikuti pula Zulhijjah dan seterusnya tahun baru hijriah, 1437H. Hampir setahun lagi baru ketemu kembali dengan Ramadhan. Itu pun jika ALLAH SWT masih memanjangkan usia kita.

Berlalunya Ramadhan, apakah kita masih terasa akan pemergiaannya? Sedihkah kita atau amat girang sekali? Terfikirkah kita bagaimanakah rupa Ramadhan kita pada tahun ini? Terpenuhkah segala tuntutan untuk mengimarahkan Ramadhan bagai yang disarankan RasuluLLAH SAW?

Berkata para ulama', ukuran paling mudah adalah bagaimana keadaan seseorang selepas Ramadhan. Apakah ia semakin dekat dengan ALLAH ataupun sebaliknya? Apakah kebersamaannya dengan ALLAH sepanjang Ramadhan diteruskan selepas Ramadhan atau tidak? Bagaimana dengan solat berjemaah, bangun malam beribadah, puasa sunat, bacaan al-Quran, majlis-majlis ilmu, amalan bersedekah dan sebagainya. Apakah telah menjadi kebiasaan atau dilupakan?

Masing-masing dapat mengukur sendiri. Tepuk dada tanyalah iman. Cuma RasuluLLAH SWT mengkhabarkan ALLAH mengutuk hamba-hambaNYA tika berlalunya Ramadhan ia langsung tidak mendapat ampunan daripadaNYA.

Ini kerana sepanjang Ramadhan, pintu pengampunan ALLAH dibuka seluas-luasnya. Hanya bergantung kepada individu itu sendiri samada berusaha untuk memasukinya atau pun tidak. Jika berjaya, maka BAHAGIA-lah ia, jika tidak CELAKA-lah.

Moga-moga kita tergolong di kalangan yang memperolehi kebahagian dan keredhaan Illahi.

Marilah bersama-sama kita merenung ke dalam diri kita sendiri. Moga dengannya hidup kita lebih terpimpin dan sentiasa mendapat rahmah, barakah dan maghfirah dari ALLAH SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa, Tuhan Semesta Alam.

Wahai ALLAH yang berupaya membolak-balikkan hati, janganlah ENGKAU palingkan ia daripada kebenaran kepada kebatilan dan hindarkan kami daripada kesesatan dan kemurkaanMU. Tetapkanlah kami pada jalan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Hendaknya keindahan Ramadhan sentiasa memayungi hati-hati kami sehinggalah dijemput kembali ke pangkuanMU. 

Ya ALLAH ampunilah kami dan rahmatilah kami. Aameen.

Saturday, August 15, 2015

Jalan2 Cari Makan > Dungun-Kemaman

Achik yang cepat mesra
Pada hari Sabtu, 08/08/2015 - dari Ulu Kelang, kami berdua sahaja hadir pada majlis perkahwinan di Kerteh. Imran tidak ikut kerana ada kelas tambahan di sekolah. Manakala Hanisah pula menemani Imran di rumah. Tambahan pula tiada orang lain di rumah. Masing-masing memenuhi jemputan di Melaka dan di Sepang. Selepas itu mereka berkampung di Kg. Bkt Bangkong.

Seusai makan kenduri, kami bertolak ke rumah sepupu Laili, Aryadi-Marina di Tmn Panalex, Kerteh - adalah dalam 8 km dari rumah pengantin. Sebenarnya kami dijemput oleh mereka di lokasi kenduri di mana mereka turut hadir.

Telah lama kami tidak ke rumah mereka. Kali pertama dan terakhir hampir 20 tahun lalu, kira-kira seminggu selepas perkahwinan kami. Tika itu Yadi masih lagi single.

Selepas Asar, kami dibawa oleh Yadi-Marina ke Pantai Teluk Lipat, Dungun, kira-kira 40 km jaraknya semata-mata mencari gerai ict, sct dan uct (ikan celuk tepung, sotong celuk tepung dan udang celuk tepung).

Melewati Dungun hinggalah tiba di Teluk Lipat, hujan turun agak lebat berserta angin menderu. Akhirnya kami singgah di Warung Pink House, bersebelahan Teluk Lipat Seaview Inn. Tercapai hajat tuan rumah nak menjamu kami dengan juadah tipikal orang Terengganu. Teringat zaman belajar dan awal berkerja - kedua-duanya di Dungun - ict, uct dan sct adalah antara kegemaran kami.

Warung Aziz Satar @ Cukai, Kemaman
Malamnya kami bermalam di Kerteh. Keesokan paginya pula kami dibawa pula ke Cukai, Kemaman untuk perkena satar, otak-otak dan pais bakar.

Menyusuri Jalan Dungun-Kemaman, melewati Jalan Dato' Omar, akhirnya kami menyinggah di Warung Aziz Satar yang terletak di Kg. Geliga Cik Akob, Cukai. Nama Pak Aziz amat bersesuaian digabungkan dengan Satar, menjadi Aziz Satar, nama yang sinonim dengan pelakon dan pelawak terkenal, Allahyarham Aziz Satar. Kebetulan sahaja tetapi ada nilai komersial.

Warung Aziz Satar agak luas dan terdapat kira-kira 7 sudut/corner yang menjual berlainan juadah dan minuman, antaranya aneka makanan bakar, keropok lekor, aneka celup tepung, makanan panas, air tebu dan air kelapa. Pilihan kami adalah satar, otak-otak, pais, keropok lekor rebus, air kelapa muda dan air tebu 'pior'.

Bersama merasai keenakan juadah Pantai Timur
Secara peribadi, kami menyukai satar, air tebu dan air kelapa. Manakala pais dan otak-otaknya 'kurang menyengat' dan tidak sama seperti yang pernah kami makan sebelum ini. Mungkin itu resepi mereka tersendiri.

Sebelum bertolak pulang ke Ulu Kelang, kami bungkus satar dan keropok lekor sebagai buah tangan untuk keluarga terutama untuk si bongsu kami, Imran peminat utama satar.

Tidak dilupakan, berbanyak terima kasih kepada Yadi-Marina sekeluarga yang begitu beria-ia membawa kami berjalan-jalan cari makan di Dungun dan Cukai. Tercapai juga hajat mereka dan impian kami.