Saturday, October 25, 2008

Tetamu dari Adelaide - Syidee & Salina

Rasyidi dan Salina adalah kenalan rapat ketika di Adelaide, South Adelaide. Kini masih di Adelaide. Merekalah antara kenalan yang banyak membantu terutama ketika kami mula-mula sampai di Adelaide 2 tahun lepas. Waktu itu Laili belajar di sana.

Salina adalah pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT, dulunya dikenali sebagai KUSTEM), kini sedang menyambung pengajian di Adelaide. Syidee pula adalah pensyarah USM.

Di rumah kami, sebelum bertolak balik ke Adelaide. Salina bertudung krim, Syidee di belakangnya
Di penghujung minggu lepas (Sabtu malam Ahad, 18/10/2008), bersama anak mereka, Aqil, mereka singgah bermalam di rumah kami. Mereka dalam perjalanan pulang ke Adelaide setelah selesai berurusan di Kedutaan Malaysia di Canberra. Ini adalah kunjungan kedua kalinya ke rumah kami. Kali pertama pada bulan Julai lalu, bersama keluarga Lokman-Ida, juga dari Adelaide bermain salji di Lake Mountain.

Kali ini sempat mereka singgah di shopping complex DFO (Direct From Outlet), tempat kegilaan peminat kitchen ware. Jenama seperti Correlle, Pyrex dan Corningware adalah antaranya. Ole-ole dari Melbourne alias Australia. Bukan mereka sahaja peminatnya, malah rata-rata menjadi tumpuan setiap kenalan dari Adelaide, juga dari tanah air ketika berkunjung ke Melbourne. Menurut cerita harganya murah, banyak pilihan dan amat berkualiti. Itulah orang perempuan. Tiada salahnya jika berkemampuan. Lebih baik dari berbelanja tetapi tiada nampak hasilnya. (Sorry, macam promo pulak dah…8)
Bila dah bersua rasa tidak sedar setiap detik berlalu begitu cepat. Sedar-sedar dah tengah malam. Banyak perkara yang nak dibualkan. Kebetulan Azidah, kawan Laili pun bermalam di rumah kami, setelah seharian pada siang harinya bersama kami di Rumah Terbuka Dandenong. Bertambah ahli korum, makin banyaklah berita dan ceritanya. Tak kisahlah, yang pasti sedikit sebanyak hilang kerinduan pada Adelaide.

Di rumah Abg Nordin-Kak Siti (foto ihsan Abg Din.. TK)
Pada pagi Ahad, mereka dibawa ke Thrash & Treasure Market, tempat jualan longgok pelbagai jenis barangan terpakai. Kot-kot ada barangan yang berkenan di hati. Sebelum bertolak pulang tengaharinya, kami singgah di rumah Abang Nordin-Kak Siti. Mereka saling kenal-mengenali ketika mereka ke Adelaide pada tahun lepas.

Terima kasih Syidee dan Salina. Bye-Bye Aqil. Sampaikan salam pada kawan-kawan di Adelaide. Insya Allah ketemu lagi.

Wednesday, October 22, 2008

Rumah Terbuka Dandenong

Tuan rumah, Huzaizi-Zainah dan anak, Asyraf bersama jiran Aussie
Hari Sabtu hujung minggu baru-baru ini, 8 keluarga warga Malaysia di Dandenong, bersama 5 keluarga dari Noble Park telah mengadakan Rumah Terbuka Raya bertempat di 24, Suzanne St, Dandenong North. Rumah Huzaizi-Zainah. Rumah mereka menjadi pilihan kerana mempunyai laman belakang yang luas, tepian jalan yang mudah untuk meletak kereta dan lokasi yang mudah untuk dikunjungi.

Tahun lepas rumah yang sama dijadikan hos majlis seumpamanya. Ketika itu keluarga Dr. Aznan tinggal di situ. Setelah beliau tamat pengajian PhD-nya pada awal tahun ini, rumah tersebut disewa pula oleh keluarga Huzaizi-Zainah. Rumah yang sedia diketahui terutama oleh rakan-rakan lama.

Antara jemputan yang hadir
AlhamduliLlah, cuaca pada hari berkenaan baik sekali, panas dengan suhu sekitar 25 darjah Celcius. Memudahkan segala perancangan dan perjalanan para jemputan.

Sambutannya amat menggalakkan sekali. Para jemputan mulai datang kira-kira jam 11:30 pagi, waktu puncaknya antara jam 01:00 tengahari sehingga jam 02:30 petang dan berakhir kira-kira jam 05:00 petang. Inilah masanya untuk berjumpa dan beramah mesra setelah masing-masing sibuk dengan kerja, pengajian dan urusan yang tidak berkesudahan. Malah ramai kenalan baru yang dapat ditemui.
Lain-lain foto boleh dilihat di bahagian Album Foto Kami (kiri laman web) atau klik di sini.

Para chef bertungkus-lumus menyediakan BBQ. Tukang rasa pun ada... 8)
Pelbagai juadah yang dihidangkan amat menyelerakan. Menu utamanya sendiri sudah mengecurkan liur; BBQ lamb, ayam, sosej, nasi minyak dan kari lamb serta sirap pandan. Juadah sampingan pun tidak kurang hebatnya, antaranya serawa durian + pulut, nasi impit + kuah kacang, roti jala, dendeng, mee hoon goreng, cendol, puding, kek, kueh raya dan banyak lagi

Kemeriahan sedia ada diserikan lagi dengan majlis ringkas sambutan hari jadi untuk Asyraf Huzaizi dan Irfan Wafir. Happy Birthday Asyraf. Happy Birthday Irfan. Moga jadi anak-anak yang soleh. Ameen.

Bersatu tenaga membuka khemah selepas majlis
Malah ianya adalah sambutan raya terakhir di perantauan buat keluarga Abg Nordin-Kak Siti Hazar. Insya Allah mereka akan kembali ke tanah air di penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Perancangan majlis telah diadakan sejak akhir Ramadhan dahulu. Disusuli dengan beberapa perbincangan rasmi dan tidak rasmi. Berbanyak terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua. Tanpa kerjasama dan toleransi kalian tidak mungkin ianya menjadi kenyataan.
Terima kasih daun keladi, Insya Allah tahun hadapan kita buat lagi.

Thursday, October 16, 2008

Rumah Terbuka

Di rumah Fuad. Ibu Fuad berbaju pink dan Kak Arifah berbaju oren
Rumah Terbuka, satu budaya kunjung-mengunjung yang sinonim dengan musim perayaan di Malaysia, menariknya masih menjadi amalan rakyat Malaysia di perantauan. Bagi masyarakat Muslim di Australia, khususnya di Melbourne, bulan Syawal yang dikaitkan dengan Eid Fitr menjadi seolah-olah bulan menjamu selera. Bermula dari hari perayaan dan biasanya setiap hujung minggu, ada sahaja jemputan untuk rumah terbuka. Penatnya memang terasa tetapi seronoknya tidak terkira. Bukan sahaja perut berisi tetapi inilah masa terbaik untuk bersua-muka dengan kenalan lama dan baru di kalangan komuniti Muslim, terutamanya etnik Melayu Nusantara. Tidak hanya rakyat Malaysia tetapi juga dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

Hari raya pertama (Rabu – 01/10/08) seperti yang disentuh dalam entri sebelum ini, kami ke rumah terbuka rakan-rakan Clayton di rumah Khairuddin di Oakleigh. Seterusya ke rumah rakan-rakan di Dandenong dan Noble Park. Hari raya kedua (Khamis), kami memenuhi jemputan rumah terbuka Pegawai MSD di Melbourne, Dr. Ali dan Kak Aida di kediamannya di Port Melbourne. Sebelum pulang kami singgah di rumah Farook-Linda di Carnegie menemui ibu-bapa mereka yang akan pulang ke Singapura sehari selepasnya.

Tambah, jangan tak tambah. Di rumah Jai-Zai & Hani di Frakston
Petang Sabtu-nya, bersama-sama rakan-rakan Dandenong, kami berkunjung ke utara Melbourne. Bermula dengan rumah Shaharuddin-Azizah, diiikuti rumah Dr. Kamal-Nor di Thomastown. Selepas itu ke rumah Ust. Razak-Gee di Preston, seterusnya ke rumah Fuad (ex-MSD staff) dan juga rumah Ghaffar-Mazni di Malvern East. Keesokan harinya kami ke utara lagi memenuhi jemputan Hamdan-Fariza di Kingsbury. Hujung minggu kedua, juga bersama rakan-rakan Dandenong serta Noble Park, kami berkonvoi ke Frankston pula, ke rumah terbuka di rumah Jai-Zai-Hani.

Insya Allah pada hari Sabtu ini (18/10/2008), kami, 13 keluarga rakyat Malaysia di Dandenong dan Noble Park akan menganjurkan Dandenong Open House bertempat di rumah Huzaizi-Zainah di Suzanne St.

Di hadapan rumah Ust Razak di Preston
Selepas ini pun masih ada jemputan yang diterima, antaranya ke rumah Kak Mimi (Singaporean) di Lynbrook pada hari Ahad ini (19/10/2008). Dan mungkin ada lagi jemputan rumah terbuka lain selagi Syawal masih lagi berbaki hampir 2 minggu.

Diharapkan tradisi rumah terbuka ini akan terus menjadi amalan masyarakat Melayu di perantauan. Dibimbangi budaya kenal-mengenali dan ziarah-menziarahi ini akan semakin lupus sehingga hilang identiti bangsa serta nilai murni Islam itu sendiri, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang berkahwin campur serta menetap di luar negara.

Friday, October 10, 2008

Tessalaar Tulip Festival - 26/09/2008

Cuti Penggal Ke-3 Persekolahan telahpun berakhir hampir seminggu. Sepanjang cuti sekolah tidak banyak aktiviti untuk anak-anak. Tambahan pula masih bulan puasa. Namun kami berkesempatan berkunjung ke Tessalaar Tulip Festival di Monbulk Rd, Silvan pada hari Rabu (26/09/2008) minggu pertama cuti sekolah. Lokasinya hanya kira-kira 30 km sahaja dari rumah kami di Dandenong.

Taman yang melaut luasnya dengan jutaan bungaan tulip ini hanya dibuka sebulan dalam setahun yakni di awal musim bunga. Untuk tahun ini, ianya bermula dari 11-Sept sehingga 8-Okt-2008. Amat baik sekali jika dilawati di pertengahan musim, ketika semua tulip mulai menguntum keluar dari kelopaknya. Itulah yang kami alami. Difahamkan terdapat lebih 65 jenis bungaan tulip ditanam di sini.

Untuk setiap minggu, terdapat beberapa konsep mengikut negara dipamirkan, antaranya Turki, Dutch dan Irish.

Cuaca pada hari berkenaan baik sekali. Tidak berapa panas dan tidaklah sejuk sangat. Suhunya sekitar 18 darjah Celcius. Bayaran masuknya AUD 15.00 untuk dewasa dan percuma untuk kanak-kanak bawah 15 tahun. Lebih berbaloi lagi jika mengikut kumpulan melebihi 10 orang dewasa, hanya AUD 10.00 seorang. Kami tak sempat merancang untuk berkumpulan kerana bergantung kepada keadaan cuaca dan kelapangan ibu Laili yang sedang sibuk dengan pengajiaannya.

Melangkah masuk sahaja, hati begitu teruja sekali melihat deretan batas-batas bungaan tulip pelbagai warna dan bentuk di lembah, saujana mata memandang. Kelopak bunga yang memuncung ke atas kelihatan cantik sekali. Itulah keunikan tulip. Di akhir musim, kelopak tulip akan mengembang, warnanya akan berubah kehitaman dan menunggu masa untuk gugur ke tanah.

Bungaan tulip di taman ini ditanam berkelompok mengikut jenisnya di atas batas-batas yang panjang. Malah ada juga dalam satu-satu kelompok hampir setiap jenis tulip disekalikan, menghasilkan pemandangan yang berwarna-warni.
Foto berkaitan boleh dilihat di bahagian Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Batas demi batas kami lawati. Anak-anak seronok berlari-lari di celah-celahnya. Sesekali berhenti menciumnya. Berklip-klap cahaya kamera merakamkan setiap kesempatan yang ada. Begitu juga dengan para pengunjung lain.

Di bahagian atas lembah juga terdapat taman-taman yang tidak kurang cantiknya dengan bungaan tulip yang pelbagai. Terdapat juga bangku-bangku rehat dan kios-kios jualan. Hampir semuanya dipenuhi pengunjung.

Kelihatan kanak-kanak berlari-lari ke sana-sini. Begitu juga Izzuddin, Hanisah dan Solehah. Mereka mencari 7 gnome (patung taman kecil) yang disorokkan, aktiviti ‘treasure hunt’ untuk kanak-kanak. Hadiahnya tidaklah seberapa, hanya 2 biji gula-gula berbanding kepenatan yang terasa, tambahan pula dalam keadaan mereka berpuasa. Manakala Imran pula seronok bersama haiwan belaan di taman haiwan berdekatan.

Di perjalanan pulang, kami sempat singgah membeli 3 pasu bunga tulip untuk hiasan (AUD 10.00). Anak-anak pula semuanya tidur kepenatan sehingga sampai ke rumah.

Monday, October 6, 2008

Daylight Saving Time

Semalam, mulai jam 02:00 pagi waktu Victoria, Australia, pusingan jam diawalkan satu jam menjadi 01:00 pagi. Begitulah setiap hari sehingga bulan Mac tahun hadapan. Bukan hanya melibatkan Victoria tetapi sebahagian besar negeri di hemisfera selatan Australia, cuma waktu mulanya sedikit berbeza. Ianya dikenali sebagai Daylight Saving Time (DST) ataupun Summer Time. Tujuannya untuk mengseimbangkan waktu siangnya yang agak awal dengan waktu urusan harian terutama waktu kerja, sekolah dan lain-lain aktiviti. Jarak masa di Victoria dengan Malaysia juga berubah, dari awal 2 jam kepada awal 3 jam.

Sebelum DST, matahari pagi mula bersinar sekitar jam 06:00 pagi, manakala terbenam hampir jam 07:00 petang. Malah setiap hari waktu paginya semakin awal dan waktu petangnya semakin lewat. Kemuncaknya di pertengahan musim panas nanti iaitu di bulan Disember di mana matahari terbit seawal jam 04:00 pagi dan tenggelam kira-kira jam 08:30 malam. Justeru itu Daylight Saving ini dilaksanakan. Jika tidak, bayangkan berapa lama masa diambil untuk menunggu masa masuk kerja/sekolah dan menunggu munculnya malam.

Setiap kali bermulanya Daylight Saving, pasti akan ada sedikit sebanyak kekeliruan dalam urusan seharian. Ramai yang tidak perasan dan masih mengikut waktu seperti hari-hari sebelumnya. Banyak temujanji yang terlewat dan adakala menimbulkan keributan. Namun semuanya disambut dengan senyuman dan kemaafan.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk posting setahun yang lepas di sini.

Friday, October 3, 2008

Raya Sakan

Di tempat letak kereta terbuka Monash Uni, tempat solat sunat Eid Fitr
Hari Raya bukan sekadar beraya tetapi untuk saling kenal-mengenali serta bersilaturahim. Amalan berziarah dan rumah terbuka adalah salah satu caranya. Apatah lagi jika dilakukan ketika musim perayaan. Kemeriahannya lebih terasa. Inilah yang kami masih kekalkan walaupun jauh di perantauan.

Selepas solat sunat Eid Fitr di Monash University di Clayton, bersama-sama rakan-rakan serta keluarga Dandenong dan Noble Park, kami bergerak dari satu rumah ke satu rumah. Jika tahun lepas, pada hari raya pertama kami beraya hingga ke utara tetapi pada tahun ini kami khususkan di kawasan Dandenong dan Noble Park sahaja. Rasanya lebih utama mendahulukan jiran tetangga. Malah lebih menjimatkan masa dan tenaga.

Kaum bapa di rumah Wafir-Suharti
Ziarah Raya kami bermula di rumah Khairuddin-Noor Azliza di Clayton yang mengadakan rumah terbuka mewakili komuniti pelajar Malaysia di sana. Dari situ kami bergerak ke Noble Park, berkunjung ke rumah Noh-Rafidah di Callander Rd dan rumah Rasydan-Rohani di Shelton Dr.

Seterusnya kami bergerak ke Dandenong. Didahului dengan rumah Wafir-Suharti di Menzies Ave dan diikuti rumah kami di Heatherton Rd. Kemudian berkunjung ke rumah Lajiman-Suraya di Bedwell Ave. Mereka bergabung rumah terbuka bersama Naza-Yati dan Arabi-Yasmin yang tinggal di Noble Park. Selepas itu kami berarak pula ke rumah Abang Nordin-Kak Siti di Oswald St, diikuti rumah Mohd Noor-Suriati di Ann St serta rumah Badrul-Azie di Ross St.

Kaum ibu di rumah Rashdan-Rohani
Selepas solat Maghrib, kami berpusing balik ke Noble Park, ke rumah Khaizuran-Julia. Kebetulan Khaizuran ada kelas di universiti dan menjelang lewat petangnya baru beliau ada rumah. Rumah terakhir yang dikunjungi adalah rumah Zarina di Springvale. Ketika bertolak pulang, jam telahpun melewati jam 10:00 malam.

Foto Raya boleh diakses di Album Foto kami (kiri web) atau klik di sini.
Fuhh… amat memenatkan. Kira-kira 11 buah rumah yang dikunjungi, hanya kurang 2 rumah dari tahun lepas. Setiap rumah dengan juadah raya yang tersendiri. Pulut kuning, sate, laksa terengganu, laksa penang, nasi himpit, rendang, dendeng, serawa durian dan mee goreng adalah antara hidangannya. Tidak terkecuali dengan kueh-mueh raya yang pelbagai bentuk dan rasa.

Terasa sendat perut dan mengah untuk bernafas. Kesian kat perut. Sesekali terasa juga senak dan sakit di sekitarnya. Sebulan kosong di siang hari, tiba-tiba penuh dan padat sepanjang hari. Nampaknya kalah juga dengan nafsu. Namun hati tuan rumah juga perlu dijaga. Susah-payah mereka sediakan makanan, tidak elok jika tidak dijamah. Yang tak tahannya, semuanya sedap. Apatah lagi sukar untuk ditemui pada ketika lain. Itulah penangan raya.