Thursday, October 16, 2008

Rumah Terbuka

Di rumah Fuad. Ibu Fuad berbaju pink dan Kak Arifah berbaju oren
Rumah Terbuka, satu budaya kunjung-mengunjung yang sinonim dengan musim perayaan di Malaysia, menariknya masih menjadi amalan rakyat Malaysia di perantauan. Bagi masyarakat Muslim di Australia, khususnya di Melbourne, bulan Syawal yang dikaitkan dengan Eid Fitr menjadi seolah-olah bulan menjamu selera. Bermula dari hari perayaan dan biasanya setiap hujung minggu, ada sahaja jemputan untuk rumah terbuka. Penatnya memang terasa tetapi seronoknya tidak terkira. Bukan sahaja perut berisi tetapi inilah masa terbaik untuk bersua-muka dengan kenalan lama dan baru di kalangan komuniti Muslim, terutamanya etnik Melayu Nusantara. Tidak hanya rakyat Malaysia tetapi juga dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

Hari raya pertama (Rabu – 01/10/08) seperti yang disentuh dalam entri sebelum ini, kami ke rumah terbuka rakan-rakan Clayton di rumah Khairuddin di Oakleigh. Seterusya ke rumah rakan-rakan di Dandenong dan Noble Park. Hari raya kedua (Khamis), kami memenuhi jemputan rumah terbuka Pegawai MSD di Melbourne, Dr. Ali dan Kak Aida di kediamannya di Port Melbourne. Sebelum pulang kami singgah di rumah Farook-Linda di Carnegie menemui ibu-bapa mereka yang akan pulang ke Singapura sehari selepasnya.

Tambah, jangan tak tambah. Di rumah Jai-Zai & Hani di Frakston
Petang Sabtu-nya, bersama-sama rakan-rakan Dandenong, kami berkunjung ke utara Melbourne. Bermula dengan rumah Shaharuddin-Azizah, diiikuti rumah Dr. Kamal-Nor di Thomastown. Selepas itu ke rumah Ust. Razak-Gee di Preston, seterusnya ke rumah Fuad (ex-MSD staff) dan juga rumah Ghaffar-Mazni di Malvern East. Keesokan harinya kami ke utara lagi memenuhi jemputan Hamdan-Fariza di Kingsbury. Hujung minggu kedua, juga bersama rakan-rakan Dandenong serta Noble Park, kami berkonvoi ke Frankston pula, ke rumah terbuka di rumah Jai-Zai-Hani.

Insya Allah pada hari Sabtu ini (18/10/2008), kami, 13 keluarga rakyat Malaysia di Dandenong dan Noble Park akan menganjurkan Dandenong Open House bertempat di rumah Huzaizi-Zainah di Suzanne St.

Di hadapan rumah Ust Razak di Preston
Selepas ini pun masih ada jemputan yang diterima, antaranya ke rumah Kak Mimi (Singaporean) di Lynbrook pada hari Ahad ini (19/10/2008). Dan mungkin ada lagi jemputan rumah terbuka lain selagi Syawal masih lagi berbaki hampir 2 minggu.

Diharapkan tradisi rumah terbuka ini akan terus menjadi amalan masyarakat Melayu di perantauan. Dibimbangi budaya kenal-mengenali dan ziarah-menziarahi ini akan semakin lupus sehingga hilang identiti bangsa serta nilai murni Islam itu sendiri, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang berkahwin campur serta menetap di luar negara.

No comments: