
Selepas solat sunat Eid Fitr di Monash University di Clayton, bersama-sama rakan-rakan serta keluarga Dandenong dan Noble Park, kami bergerak dari satu rumah ke satu rumah. Jika tahun lepas, pada hari raya pertama kami beraya hingga ke utara tetapi pada tahun ini kami khususkan di kawasan Dandenong dan Noble Park sahaja. Rasanya lebih utama mendahulukan jiran tetangga. Malah lebih menjimatkan masa dan tenaga.

Seterusnya kami bergerak ke Dandenong. Didahului dengan rumah Wafir-Suharti di Menzies Ave dan diikuti rumah kami di Heatherton Rd. Kemudian berkunjung ke rumah Lajiman-Suraya di Bedwell Ave. Mereka bergabung rumah terbuka bersama Naza-Yati dan Arabi-Yasmin yang tinggal di Noble Park. Selepas itu kami berarak pula ke rumah Abang Nordin-Kak Siti di Oswald St, diikuti rumah Mohd Noor-Suriati di Ann St serta rumah Badrul-Azie di Ross St.

Foto Raya boleh diakses di Album Foto kami (kiri web) atau klik di sini. Fuhh… amat memenatkan. Kira-kira 11 buah rumah yang dikunjungi, hanya kurang 2 rumah dari tahun lepas. Setiap rumah dengan juadah raya yang tersendiri. Pulut kuning, sate, laksa terengganu, laksa penang, nasi himpit, rendang, dendeng, serawa durian dan mee goreng adalah antara hidangannya. Tidak terkecuali dengan kueh-mueh raya yang pelbagai bentuk dan rasa.
Terasa sendat perut dan mengah untuk bernafas. Kesian kat perut. Sesekali terasa juga senak dan sakit di sekitarnya. Sebulan kosong di siang hari, tiba-tiba penuh dan padat sepanjang hari. Nampaknya kalah juga dengan nafsu. Namun hati tuan rumah juga perlu dijaga. Susah-payah mereka sediakan makanan, tidak elok jika tidak dijamah. Yang tak tahannya, semuanya sedap. Apatah lagi sukar untuk ditemui pada ketika lain. Itulah penangan raya.
No comments:
Post a Comment