Wednesday, October 22, 2008

Rumah Terbuka Dandenong

Tuan rumah, Huzaizi-Zainah dan anak, Asyraf bersama jiran Aussie
Hari Sabtu hujung minggu baru-baru ini, 8 keluarga warga Malaysia di Dandenong, bersama 5 keluarga dari Noble Park telah mengadakan Rumah Terbuka Raya bertempat di 24, Suzanne St, Dandenong North. Rumah Huzaizi-Zainah. Rumah mereka menjadi pilihan kerana mempunyai laman belakang yang luas, tepian jalan yang mudah untuk meletak kereta dan lokasi yang mudah untuk dikunjungi.

Tahun lepas rumah yang sama dijadikan hos majlis seumpamanya. Ketika itu keluarga Dr. Aznan tinggal di situ. Setelah beliau tamat pengajian PhD-nya pada awal tahun ini, rumah tersebut disewa pula oleh keluarga Huzaizi-Zainah. Rumah yang sedia diketahui terutama oleh rakan-rakan lama.

Antara jemputan yang hadir
AlhamduliLlah, cuaca pada hari berkenaan baik sekali, panas dengan suhu sekitar 25 darjah Celcius. Memudahkan segala perancangan dan perjalanan para jemputan.

Sambutannya amat menggalakkan sekali. Para jemputan mulai datang kira-kira jam 11:30 pagi, waktu puncaknya antara jam 01:00 tengahari sehingga jam 02:30 petang dan berakhir kira-kira jam 05:00 petang. Inilah masanya untuk berjumpa dan beramah mesra setelah masing-masing sibuk dengan kerja, pengajian dan urusan yang tidak berkesudahan. Malah ramai kenalan baru yang dapat ditemui.
Lain-lain foto boleh dilihat di bahagian Album Foto Kami (kiri laman web) atau klik di sini.

Para chef bertungkus-lumus menyediakan BBQ. Tukang rasa pun ada... 8)
Pelbagai juadah yang dihidangkan amat menyelerakan. Menu utamanya sendiri sudah mengecurkan liur; BBQ lamb, ayam, sosej, nasi minyak dan kari lamb serta sirap pandan. Juadah sampingan pun tidak kurang hebatnya, antaranya serawa durian + pulut, nasi impit + kuah kacang, roti jala, dendeng, mee hoon goreng, cendol, puding, kek, kueh raya dan banyak lagi

Kemeriahan sedia ada diserikan lagi dengan majlis ringkas sambutan hari jadi untuk Asyraf Huzaizi dan Irfan Wafir. Happy Birthday Asyraf. Happy Birthday Irfan. Moga jadi anak-anak yang soleh. Ameen.

Bersatu tenaga membuka khemah selepas majlis
Malah ianya adalah sambutan raya terakhir di perantauan buat keluarga Abg Nordin-Kak Siti Hazar. Insya Allah mereka akan kembali ke tanah air di penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Perancangan majlis telah diadakan sejak akhir Ramadhan dahulu. Disusuli dengan beberapa perbincangan rasmi dan tidak rasmi. Berbanyak terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua. Tanpa kerjasama dan toleransi kalian tidak mungkin ianya menjadi kenyataan.
Terima kasih daun keladi, Insya Allah tahun hadapan kita buat lagi.

No comments: