Friday, October 10, 2008

Tessalaar Tulip Festival - 26/09/2008

Cuti Penggal Ke-3 Persekolahan telahpun berakhir hampir seminggu. Sepanjang cuti sekolah tidak banyak aktiviti untuk anak-anak. Tambahan pula masih bulan puasa. Namun kami berkesempatan berkunjung ke Tessalaar Tulip Festival di Monbulk Rd, Silvan pada hari Rabu (26/09/2008) minggu pertama cuti sekolah. Lokasinya hanya kira-kira 30 km sahaja dari rumah kami di Dandenong.

Taman yang melaut luasnya dengan jutaan bungaan tulip ini hanya dibuka sebulan dalam setahun yakni di awal musim bunga. Untuk tahun ini, ianya bermula dari 11-Sept sehingga 8-Okt-2008. Amat baik sekali jika dilawati di pertengahan musim, ketika semua tulip mulai menguntum keluar dari kelopaknya. Itulah yang kami alami. Difahamkan terdapat lebih 65 jenis bungaan tulip ditanam di sini.

Untuk setiap minggu, terdapat beberapa konsep mengikut negara dipamirkan, antaranya Turki, Dutch dan Irish.

Cuaca pada hari berkenaan baik sekali. Tidak berapa panas dan tidaklah sejuk sangat. Suhunya sekitar 18 darjah Celcius. Bayaran masuknya AUD 15.00 untuk dewasa dan percuma untuk kanak-kanak bawah 15 tahun. Lebih berbaloi lagi jika mengikut kumpulan melebihi 10 orang dewasa, hanya AUD 10.00 seorang. Kami tak sempat merancang untuk berkumpulan kerana bergantung kepada keadaan cuaca dan kelapangan ibu Laili yang sedang sibuk dengan pengajiaannya.

Melangkah masuk sahaja, hati begitu teruja sekali melihat deretan batas-batas bungaan tulip pelbagai warna dan bentuk di lembah, saujana mata memandang. Kelopak bunga yang memuncung ke atas kelihatan cantik sekali. Itulah keunikan tulip. Di akhir musim, kelopak tulip akan mengembang, warnanya akan berubah kehitaman dan menunggu masa untuk gugur ke tanah.

Bungaan tulip di taman ini ditanam berkelompok mengikut jenisnya di atas batas-batas yang panjang. Malah ada juga dalam satu-satu kelompok hampir setiap jenis tulip disekalikan, menghasilkan pemandangan yang berwarna-warni.
Foto berkaitan boleh dilihat di bahagian Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Batas demi batas kami lawati. Anak-anak seronok berlari-lari di celah-celahnya. Sesekali berhenti menciumnya. Berklip-klap cahaya kamera merakamkan setiap kesempatan yang ada. Begitu juga dengan para pengunjung lain.

Di bahagian atas lembah juga terdapat taman-taman yang tidak kurang cantiknya dengan bungaan tulip yang pelbagai. Terdapat juga bangku-bangku rehat dan kios-kios jualan. Hampir semuanya dipenuhi pengunjung.

Kelihatan kanak-kanak berlari-lari ke sana-sini. Begitu juga Izzuddin, Hanisah dan Solehah. Mereka mencari 7 gnome (patung taman kecil) yang disorokkan, aktiviti ‘treasure hunt’ untuk kanak-kanak. Hadiahnya tidaklah seberapa, hanya 2 biji gula-gula berbanding kepenatan yang terasa, tambahan pula dalam keadaan mereka berpuasa. Manakala Imran pula seronok bersama haiwan belaan di taman haiwan berdekatan.

Di perjalanan pulang, kami sempat singgah membeli 3 pasu bunga tulip untuk hiasan (AUD 10.00). Anak-anak pula semuanya tidur kepenatan sehingga sampai ke rumah.