Saturday, March 31, 2018

Tauhideans @ Santai De Lui

Di awal minggu cuti persekolahan Pertengahan Penggal 1/2018 yang lalu, ahli keluarga keturunan Hj Tauhid-Hjh Azizah (Tauhideans) seia sekata bersetuju berkumpul di Hulu Langat, Selangor... lebih khusus lagi bertempat di Santai De Lui Resort, Kg Sg Lui, Batu 20, Hulu Langat. Kami menyewa 2 Hari 1 Malam (17/03 ~ 18/03/2018).

Sebahagian Santai De Lui Resort
Umumnya, resort di lereng bukit ini terdiri daripada 2 buah chalet (Teratai dan Bouganvillea) dan sebuah villa 3 tingkat yang dilengkapi hampir 20 buah bilik persendirian pelbagai jenis.

Juga terdapat ruangan terbuka untuk berseminar dan berBBQ, surau yang berkapasiti hampir 30 jemaah, padang permainan, kolam renang dewasa dengan gelungsur air, kolam mandi kanak-kanak, kolam ikan dan reban ternakan. Sebagai tambahan, terdapat juga ATV untuk ditunggangi melalui laluan denai yang disediakan.

Persekitaran resort amat tenang sekali dengan kehijauan pepohonan termasuklah deretan pokok-pokok durian yang sedang matang...in shaa ALLAH dalam jarak 5 bulan lagi adalah hasilnya.

Sebenarnya resort ini adalah milik rakan lama Laili ketika di MRSM Kota Bharu dahulu (kini MRSM Pengkalan Chepa), Puan Wan Fariza berserta suaminya, Tuan Hakimi. Kalau dah kawan tu dapatlah sikit potongan harga istimewa. Terima kasih Jaja..! Lain kali boleh le datang lagi...!



Sehingga sekarang, ahli Tauhideans berjumlah 37 orang semuanya. Untuk pertemuan kali ini, hampir semuanya dapat hadir kecuali 2 orang iaitu Pisal dengan kekangan kerja di Kulim, Kedah dan juga anakanda sulung kami, Izzuddin yang masih di perantauan California, USA.

Kami menyewa sebuah chalet dan 6 buah bilik Villa. Chalet Teratai terdiri daripada 2 bilik tidur berserta ruang tamu, dapur dan ruang BBQ di luar rumah.

Anak-anak santai di kolam kanak-kanak
Segala persiapan makan minum disediakan sendiri oleh ahli keluarga di chalet. Antara menu segera kami adalah roti, bijirin, nasi goreng, pasta, steamboat, shellout serta BBQ kambing, ayam dan makanan laut.

AlhamduliLLAH... sarapan pagi kami sebahagiannya ditaja oleh tuan punya resort... nasi lemak, karipap dan teh tarik. Terima kasih Jaja...! Nasi lemaknya... aduhai pedas tetapi sedap..!

Menjejakkan kaki ke laman resort, tumpuan anak-anak tiada lain lagi... kolam renang/ mandi. Itulah yang pertama dikejar. Soal makan-minum sanggup diketepikan.

Polo santai... penat ooi...!
Awalnya mereka hanya bermain di kolam kanak-kanak sahaja kerana airnya yang cetek. Akhirnya di bawah pemantauan yang lebih berusia, mereka beransur-ansur naik ke kolam dewasa.

Berbekalkan pelampung, mereka turut sama terjun melalui gelungsur air. Hilang rasa gerun berganti keseronokan meluncur laju menjunam masuk ke kolam di bahagian bawahnya.

Selepas solat Asar, kolam dewasa mula dikerumuni oleh ibu ayah berserta anak-anak remaja untuk beriadah polo air.

Begitu juga keesokan paginya, seusai bersarapan pagi dengan turut sama disertai Atuk dan Nenek. Meriah dan seronok sekali bagaikan kami yang punya, sedangkan pada masa yang sama terdapat sekumpulan pekerja syarikat yang datang berseminar. Bagi peluang kerana mereka berseminar selama 3 hari... masih ada masa setelah kami pulang.

Tazkirah santai oleh Atuk Tauhid
Agenda utama setelah berkumpul adalah solat berjemaah terutama solat Maghrib-Isyak dan solat Subuh. Diiringi pula sesi tazkirah ringkas menunggu masuknya waktu solat Isyak dan tibanya waktu Isyra' yang disampaikan oleh Atuk Tauhid.

Waktu yang amat sesuai untuk sama-sama menghadamkan sedikit sebanyak peringatan akan kewajiban kita sebagai hamba ALLAH SWT di muka bumiNYA ini. Moga kita semua sentiasa dirahmatiNYA. Aamiin.

Tidak dilupakan juga sambutan Hari Kelahiran untuk ibu ayah dan anak-anak yang dilahirkan pada bulan Mac... hampir 10 orang semuanya... ramai juga ya...! Sanah Helwah... moga kalian semuanya sentiasa di bawah lindungan dan rahmat ALLAH SWT. Aamiin.

ATV santai... Atuk pun boleh bawa...
Di pagi hari, sebilangan kami sempat beriadah menyusuri denai di sekitar resort dengan menunggang ATV. Sekali cuba nak lagi. Maka bersilih gantilah menunggangnya samada bersendirian atau diboncengi di belakang.

Melewati jam 12:30 tengahari, kami mulai beredar meninggalkan Santai De Lui Resort setelah memastikan persekitarannya telah dibersihkan dan dikemaskan seadanya.

Terima kasih Jaja dan Kimi...! Terima kasih juga kepada penyelia resort; pasangan Tini dan Wawan...! 

Atuk Tauhid ada cakap... bulan 8 nanti bolehlah datang lagi... kenduri durian pulak...! Moga dimurahkan rezeki... in shaa ALLAH kami datang lagi...!

Wednesday, March 21, 2018

SPM > TAHNIAH Solehah...

Tanggal 15 Mac 2018... keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 dengan rasminya telah diumumkan. Debaran para calon terungkai sudah... suka dan duka bergantung kepada pencapaian, harapan dan penerimaan bagi setiap individu yang menghadapinya.

Segalanya perlu pasrah. Demikianlah ketentuan daripada ALLAH SWT. In shaa ALLAH ada hikmahnya yang tersendiri. 

Kejayaan yang diraikan. Terima kasih...!
Di kalangan 443, 883 orang calon SPM 2017, anak kami, Nur Solehah adalah salah seorang daripadanya. Kami berdua turut serta ke MRSM Ulul Albab Kota Putera, Besut sebagai sokongan moral kepadanya.

Pesan kami kepada Solehah... bersedialah untuk menerima ketentuan takdir daripadaNYA walau apa pun keputusan yang bakal diterima. 

Sekitar jam 10:00 pagi, Dewan Ulul Albab telah pun penuh oleh para pelajar dan ahli keluarga yang hadir. Namun sedikit terlewat... sekitar jam 11:30 pagi baru diumumkan. Segelintir ibu bapa dan pelajar telah pun tahu keputusannya melalui semakan SMS tetapi Solehah tidak benarkan kami menyemaknya. Biarlah pihak maktab sendiri yang mengumumkannya.

AlhamdulILLAH...! Solehah adalah salah seorang daripada pelajar cemerlang MRSM Kota Putera. Khabar diterima dari Kuala Lumpur; sepupunya, Arif Farhan juga muncul pelajar cemerlang di sekolahnya. 

TAHNIAH Solehah...! TAHNIAH Arif...!

Bersama mantan Pengetua MRSM Kota Putra, kini di TAR
Bagi Solehah... kejayaan ini amat besar maknanya setelah menolak tawaran A Level di Kolej MARA Seremban pada awal tahun 2017 lalu (berdasarkan kecemerlangannya dalam IGCSE yang diambilnya pada tahun 2016).

Moga kejayaan ini membuka lebih luas peluang bagi Solehah mengikuti pengajian yang diminatinya iaitu Sains Forensik, satu cabang daripada bidang Perubatan. Aamiin.

Tidak dilupakan, ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pendidik yang penuh dedikasi khususnya di MRSM Ulul Albab Kota Putera, antaranya guru penyelaras; Cikgu Suriati dan mantan Pengetua, Cikgu Nik Jasmi. Juga kepada para ibu bapa yang sentiasa memberikan dorongan dan sokongan moral sepanjang keberadaan anak-anak di maktab, lebih-lebih lagi di musim peperiksaan.

Untuk Solehah, Arif dan para lepasan SPM... perjalanan kalian masih jauh. Penentuan kerjaya di masa hadapan masih lagi belum pasti sepenuhnya... bergantung kepada kemampuan diri untuk menghadapi segala rintangan dan ujian kehidupan. Berusahalah sedaya mungkin dan bertawakallah kepadaNYA kerana selebihnya adalah ketentuan ILLAHI yang sudah pasti. 

ALL THE BEST...!