Thursday, January 30, 2014

PU Hafiz @ Ulu Kelang

Masjid al-Ridhuan, Ulu Kelang yang terletak bersebelahan MRR2 sememangnya telah dikenali ramai terutama bagi para pencinta ilmu. Saban malam sentiasa meriah dengan pelbagai program keilmuan seperti kuliah Maghrib dan kelas pengajian berkitab. 

Di penghujung minggunya sering kali diisi dengan slot-slot pengajian yang lebih menarik seperti Kuliah/ Ceramah Perdana, Forum, Kuliah 2 dalam 1 (selepas Maghrib dan Isyak), Kuliah Dhuha dan seumpamanya. Para penceramahnya pula di kalangan para selebriti dakwah terkenal di dalam dan luar negara.

Sememangnya demikianlah fungsi masjid. Bukan sekadar tempat untuk bersolat jemaah, akad nikah dan solat jenazah sahaja tetapi sewajarnya diimarahkan dengan pelbagai program percambahan ilmu ke arah memberi kefahaman tentang ilmu-ilmu Islam sejagat.

Bersabda RasuluLlah SAW, "Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di dunia), hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu ditanya oleh para sahabat, "Apakah taman-taman syurga itu?". Jawab baginda SAW, "Majlis-majlis ilmu". (Riwayat at-Termidzi)
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya : “Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu.  (Hadis riwayat at-Tirmizi).
- See more at: http://harithfaisal.blogspot.com/2011/01/bertamu-di-taman-syurga.html#sthash.0DmvNaeC.dpuf
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya : “Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu.  (Hadis riwayat at-Tirmizi).
- See more at: http://harithfaisal.blogspot.com/2011/01/bertamu-di-taman-syurga.html#sthash.0DmvNaeC.dpuf
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya : “Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu.  (Hadis riwayat at-Tirmizi).
- See more at: http://harithfaisal.blogspot.com/2011/01/bertamu-di-taman-syurga.html#sthash.0DmvNaeC.dpuf

Secara peribadi, saya tabik kepada para AJK masjid yang sentiasa berusaha menyemarakkan bau harum taman-taman syurga sehingga dapat dinikmati bersama. Moga sentiasa dirahmati ALLAH SWT. Ameen.

Sebagai makluman, Inshaa ALLAH pada hari Sabtu ini, 01/02/2014; juara Mimbar Pencetus Ummah, Ustaz Hafiz Haneefa akan datang ke Masjid al-Ridhuan bagi mengisi slot Kuliah Maghrib Perdana. Kepada para pencinta ilmu terutama para peminat Ustaz Hafiz, usah lepaskan peluang keemasan ini. Turut menyerikan majlis adalah kumpulan nasyid UNIC.

Dua minggu lepas, slot Kuliah Maghrib Perdana telah diisi oleh Ustaz Shahul Hameed @ Mamu, naib juara Mimbar Pencetus Ummah. Kehadiran para jemaah amat menggalakkan. Setiap ruang masjid yang luas melimpah hingga ke luar. Walau pun begitu belum dapat menandingi sambutan Ceramah Perdana oleh pelakun tersohor filem Ustaz Mu Tunggu Aku Datang.

Manakala pada malam berikutnya pula, Ahad malam Isnin, 02/02/2014 bakal dilangsungkan Forum Perdana Khas untuk remaja. PU Rahmat, salah seorang peserta peringkat akhir Pencetus Ummah akan turut serta sebagai ikon anak muda.

Walaupun untuk anak-anak muda, ibu-ayah serta atuk-nenek amat dialu-alukan sebagai pengiring dan memberi sokongan moral kepada mereka. Apatah lagi, konsep menuntut ilmu itu amat luas - tiada batasan usia walaupun bicaranya tentang ragam anak-anak remaja.

RasuluLlah SAW bersabda, "Barangsiapa yang memasuki sesuatu jalan untuk menuntut ilmu, ALLAH akan mudahkan untuknya jalan ke syurga". (Riwayat Muslim).

Monday, January 27, 2014

Infaq Masjid Saujana Puchong

Taman Saujana Puchong letaknya bersebelahan Puchong Bt. 14 dan Bandar Bukit Puchong. Di situlah rumah kami yang menjadi 'singgahan' kami di hujung minggu dan ketika cuti persekolahan. Hajat hati untuk terus menetap pada awal tahun ini tidak menjadi kenyataan. Masih ada halangan peribadi yang tidak dapat dielakkan. Tunggulah saatnya...

Selang beberapa buah rumah dari rumah kami terdapatnya sebuah surau, Surau Nurul Iman yang menjadi tumpuan utama masyarakat Islam di Saujana Puchong dan sekitarnya ketika bersolat Jumaat. Limpahan penduduk dari taman-taman perumahan di sekelilingnya seperti Taman Mutiara Indah dan Bandar Bukit Puchong serta Saujana Puchong sendiri menyebabkan surau sedia ada tidak lagi dapat menampung keperluan ahli kariah.

Justeru itu, cadangan pembinaan kompleks masjid baru yang mampu memuatkan kira-kira 3,000 jemaah ini telah diusahakan oleh Jawatankuasa Penaja Pembinaan Masjid Saujana Puchong (JKPPMSP) sejak beberapa tahun lalu. 

AlhamduliLlah, kelulusan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah diperolehi pada 14 November, 2013 di atas tapak Lot 78982 Persiaran Saujana Puchong, tidak sampai pun 500 meter daripada Surau Nurul Iman.

Kos pembinaan kompleks masjid ini dianggarkan sebanyak RM 8 juta dengan fasa pertama projek dijangka siap pada Mei 2016. Menurut sumber JKPPMSP, ianya dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan umat Islam yang prihatin seperti kutipan derma, wakaf dan infaq.

Daripada 'Uthman bin 'Affan, daku mendengar RasuluLlah SAW bersabda, “Barang siapa yang membina masjid kerana Allah nescaya Allah akan membina untuknya seumpamanya di Syurga.”  (Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Diriwayatkan juga Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang membina masjid sama ada kecil atau besar nescaya Allah ‘Azza wa Jalla akan membangunkan baginya sebuah rumah di dalam syurga.” (Riwayat At-Tirmidzi).

Tidak terliurkah kita untuk turut sama menempah rumah di Syurga nan abadi? Ayuh marilah kita sama-sama berderma dengan seikhlas hati demi merebut tawaran ALLAH SWT yang amat lumayan ini. Masukkan sahaja sumbangan kalian ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) - rujuk no akaun bank di sebelah atau hubungi JK Penaja sekiranya ada sebarang pertanyaan.

Bak kata para ulama', "Harta kita bukannya apa yang kita miliki tetapi apa yang kita sumbangkan atas jalan ALLAH SWT, itulah harta kita yang sebenarnya".

Moga amal kita yang sedikit ini menjadi penyebab kita serta keluarga kita terlepas daripada segala keperitan di akhirat dan dipermudahkan untuk melangkah masuk ke syurga yang amat diimpi-impikan. Moga-moga. Ameen.

Thursday, January 16, 2014

Iddin Ditawarkan MADPP

Semalam, berdua dengan anak sulung, Izzuddin; kami ke Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang. Iddin mendapat 'tawaran mengejut' daripada MARA untuk mengikuti MARA American Degree Preparatory Program (MADPP) bertempat di KKTM Ledang dan semalam adalah hari pendaftarannya.

AlhamduliLlah... Iddin adalah antara 60 pelajar yang terpilih daripada lebih 200 pelajar yang ditemuduga pada pertengahan Disember lalu. TAHNIAH Iddin.


Perjalanan selama 2 jam dari Ulu Kelang sejauh 180 km melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban lancar. AlhamduliLlah kami tiba di KKTM sekitar jam 9:00 pagi.

Secara umum, KKTM yang terletak di Mukim Serom 4 & 5 dalam daerah Muar, Johor ini berkeluasan kira-kira 72 ekar. Ianya mula beroperasi pada bulan Jun 2010 dengan memberi penekanan kepada kursus-kursus berkaitan kejuruteraan bio perubatan.

MADPP adalah salah satu program baru tajaan MARA di bawah Skim Pelajar Cemerlang (SPC) berdasarkan skor TPNG > 3.6 + Peperiksaan Percubaan. Jangkamasa kursusnya selama 6 bulan di tanah air sebelum memasuki kolej komuniti dan universiti pilihan MARA di USA.
Sesi Pendaftaran MADPP @ KKTM Ledang
Dikatakan 'tawaran mengejut' kerana tawarannya diterima sehari sebelumnya. Itupun tanpa surat tawaran, hanya makluman daripada laman web KKTM Ledang setelah dimaklumkan oleh teman sekelas Iddin ketika di MRSM Serting dahulu. Ketika sesi temuduga dahulu pun sama. Terima kasih Ridhuan. 

Maka banyak kekeliruan dan kemusykilan yang timbul. Malah pihak penyelaras program sendiri pun tidak mendapat maklumat yang jelas. Terbukti ketika sesi taklimat dan soal jawab bersama ibu bapa. Diharap pihak MARA mengambil iktibar daripadanya. Janganlah 'kelam-kabut' ini berlaku lagi selepas ini.
 
Setinggi-tinggi kesyukuran kepada ALLAH SWT... Apa yang dicita-citakan oleh Iddin akhirnya dimakbulkan oleh ALLAH SWT.  Itulah antara doa yang dipanjatkan kehadrat Illahi sewaktu berada di hadapan BaituLlahil Haram beberapa hari lalu (Iddin baru balik umrah).

Nasihat kami:
"Iddin... Bersyukurlah dengan apa yang diperolehi. Tumpukan sepenuhnya terhadap pengajian di samping mempertingkatkan hubungan dengan ALLAH SWT. Ingatlah, setiap kurniaan adalah dengan izinNYA. Setiap yang berlaku Inshaa ALLAH ada hikmah di sebaliknya. Moga Iddin sentiasa dilindungi dan dianugerahkan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Ameen,"

Friday, January 10, 2014

Kursus Asas Haji Bersiri

Saban tahun setiap awal tahun, aura ibadah haji pasti akan mulai dirasai oleh para bakal jemaah haji. Ketika inilah surat-surat jemputan daripada Lembaga Tabung Haji mulai mendatangi mereka. Rasa seronok dan teruja yang tidak dapat digambarkan. Apakan tidaknya, ALLAH SWT mengundang diri bertamu di rumahNya, BaituLlah dan menziarahi kekasihnya, Muhammad SAW. SubhanaLlah... AlhamduliLlah... Allahuakbar...

Sekalung Tahniah untuk anda, para bakal jemaah haji.

Maka bermulalah Kursus-kursus Asas Haji yang dijalankan secara bersiri, sekitar 16 - 20 siri, bergantung kepada pengendali kursus; Lembaga Tabung Haji dan agensi pengendali haji. Lazimnya diadakan di hujung minggu, siang atau pun malam.

Di sesetengah tempat, ianya telah bermula pada hujung minggu baru-baru ini, manakala lain-lain tempat Insya ALLAH dalam seminggu dua ini. Ada yang berbayar dan ada yang percuma. Pilihlah mana yang berkenan dan bersesuaian dengan kelapangan masa sendiri.

Paling utama - carilah masa dan istiqamah dengan kursus yang diikuti. Sentiasa ulang kaji dan bertanya pada yang arif. Jangan tersilap rujuk, walaupun pak haji atau mak hajjah... belum tentu pemahamannya betul. Bukan nak mengata tetapi itulah pengalaman yang kami alami.

Dikatakan Kursus ASAS HAJI kerana tidak semua orang tahu dan faham bagaimana hendak menunaikan ibadah haji. Yalah... ibadah sekali seumur hidup, dibimbangi perlaksanaannya tidak mengikut syariat. Natijahnya amat besar di kemudian hari. Maka amat wajar bagi setiap bakal jemaah untuk mempelajarinya secara berhadapan dengan para pembimbing haji. Segala permasaalahan dan kemusykilan dapat diutara dan diperjelaskan oleh para ustaz yang berkelayakan dan berpengalaman secara khusus.

Sebagai makluman, bagi yang tinggal di sekitar Ulu Kelang, kursus PERCUMA anjuran bersama Masjid al-Ridhuan dan Gemilang Travel n Tours telah pun bermula pada hujung minggu baru-baru ini iaitu Ahad malam Isnin, selama 2 jam selepas solat fardhu Maghrib bertempat di Kompleks Pengurusan Jenazah Masjid al-Ridhuan (bersebelahan MRR2). Penyertaannya masih terbuka untuk semua. Tidak kiralah berhaji melalui Tabung Haji mahu pun lain-lain agensi atau pun sekadar mendalami ilmu haji dan umrah.

Selamat berkursus.

Alangkah bertuahnya kepada mereka yang mendapat undangan sebagai Dhuyuful RAHMAN (Tetamu ALLAH). Rindunya hati ini untuk ke sana lagi.

Thursday, January 2, 2014

Kembali Ke Sekolah

Alam persekolahan di tahun baru 2014 bermula sudah. Terujanya anak-anak setelah lama bercuti akhir tahun. Terlebih lagilah bagi yang baru melangkah ke alam persekolahan, tidak kiralah peringkat rendah mahupun menengah ataupun pra sekolah. Sibuknya anak-anak menandakan kesibukan sama dirasai oleh ibu bapa dan penjaga. Itulah rutin kehidupan seharian yang bakal dilalui sepanjang tahun ini.

Hadirnya tahun baru menandakan bertambahnya usia setahun lagi, sekaligus meningkat setahun dalam dunia persekolahan. Kini anak bongsu kami, Imran di Tahun 4, masih di sekolah lama, SK Hulu Kelang. Nur Solehah pula di Tingkatan 2 - MRSM Kota Putra, Besut. Manakala Nur Hanisah di Tingkatan 4 - SMK Lembah Keramat dan anak sulung kami, Izzuddin baru sahaja tamat persekolahan Tingkatan 5 di MRSM Serting, Negeri Sembilan.

Bagi negeri-negeri yang bercuti awal tahun baru 2014, hari ini adalah hari pertama persekolahan. Bagi negeri-negeri lain, semalam adalah harinya.

Majlis Multaqa' di Dewan Ulul Albab, MRSM Kota Putra
Bagi MRSM pula lain ceritanya, khususnya di MRSM Kota Putra. Para pelajar lama telah pun mendaftar masuk pada hari Sabtu lalu, 28/12/2013. Oklah tu sebab mereka bercuti awal seminggu berbanding sekolah-sekolah bukan MRSM.

Ketika menghantar Solehah ke MRSM, sempatlah kami sekeluarga (kecuali Izzuddin yang pergi umrah) bercuti beberapa hari di rumah Tok Ayah di Telok Menara, Terengganu. Seterusnya kami menginap di Bukit Keluang Beach Resort, hanya beberapa kilometer jaraknya dari MRSM Kota Putra. Itulah percutian terakhir kami sekeluarga untuk tahun 2013. AlhamduliLlah sempat juga diatur untuk anak-anak.

Kepada para pelajar, selamat kembali ke alam persekolahan. Berusahalah sedaya mungkin untuk menjadi anak-anak yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan menjadi penyejuk jiwa bagi ibu bapa yang membawa kejayaan hidup di dunia dan terlebih lagi di akhirat.

Wednesday, January 1, 2014

Tahun Baru Cara Baru

Sebagai seorang Muslim, Tahun Baru Hijriah (Takwim Islam) sewajarnya lebih diagungkan berbanding Tahun Baru Masihi. Namun hakikatnya tidak begitu. Dalam banyak ketika, kita lebih mengingati tarikh dan bulan Masihi daripada tarikh dan bulan Hijri. Bukannya mengata orang tapi turut sama terpalit pada diri sendiri.

Justeru itu, tidak hairanlah setiap kali tibanya Tahun Baru Masihi, pelbagai cara sambutan diadakan. Lazimnya sebelum ini, hampir di setiap negeri di negara Malaysia nan tercinta ini, sambutan Di Ambang Tahun Baru menjadi seolah-olah acara wajib. Rakyat Malaysia berkumpul di dataran/ padang menunggu detik 12 malam semata-mata untuk meraikan kedatangan Tahun Baru berserta percikan bunga api bergemerlapan membelah angkasa dan konsert hiburan yang tiada manafaatnya.

Selepas itu, masing-masing membawa diri dengan cara sendiri. Banyak berita dan cerita yang didengari di sebalik sambutan tahun baru ini. 

Di samping soal pembaziran dari ledakan bunga api yang hilang di sebalik keseronokan, soal kerosakan moral dikatakan menjadi-jadi seakan-akan meniru budaya barat yang juga sinonim dengan sambutan tahun baru Masihi ini. Amat malang sekali...

Pada tahun 2014 ini, sambutan Tahun Baru masih lagi diadakan tetapi nampaknya semakin berkurangan. Mungkin ada kesedaran dari pihak berwajib. Malah lebih mengembirakan, lebih banyak acara kerohanian yang diadakan. Pelbagai program keagamaan diatur terutama di masjid-masjid dan di dataran orang ramai dengan pengisian jiwa hamba sebagai alternatif kepada sambutan tahun baru yang melalaikan. Secara umumnya, sambutannya amat menggalakkan.

Itulah yang kami alami malam tadi di Masjid al-Ridhuan, Hulu Kelang dengan Majlis Zikir Al-Akbar, anjuran bersama pihak masjid dan Darul Muhibbin.

Program bermula selepas solat Maghrib sehinggalah jam 1:00 pagi. Pengisiannya adalah ceramah agama (tausiyyah) oleh beberapa tokoh agama dengan diselangi zikir ratib dan dendangan lagu-lagu qasidah-maulid yang mengasyikkan. 

SubhanaLlah... indahnya Islam apabila suasana zikruLlah menyelubunginya.
"Dan barangsiapa yang mencari agama (deen) selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi". (al-Imran:85)