Sebagai seorang Muslim, Tahun Baru Hijriah (Takwim Islam) sewajarnya lebih diagungkan berbanding Tahun Baru Masihi. Namun hakikatnya tidak begitu. Dalam banyak ketika, kita lebih mengingati tarikh dan bulan Masihi daripada tarikh dan bulan Hijri. Bukannya mengata orang tapi turut sama terpalit pada diri sendiri.
Justeru itu, tidak hairanlah setiap kali tibanya Tahun Baru Masihi, pelbagai cara sambutan diadakan. Lazimnya sebelum ini, hampir di setiap negeri di negara Malaysia nan tercinta ini, sambutan Di Ambang Tahun Baru menjadi seolah-olah acara wajib. Rakyat Malaysia berkumpul di dataran/ padang menunggu detik 12 malam semata-mata untuk meraikan kedatangan Tahun Baru berserta percikan bunga api bergemerlapan membelah angkasa dan konsert hiburan yang tiada manafaatnya.
Selepas itu, masing-masing membawa diri dengan cara sendiri. Banyak berita dan cerita yang didengari di sebalik sambutan tahun baru ini.
Di samping soal pembaziran dari ledakan bunga api yang hilang di sebalik keseronokan, soal kerosakan moral dikatakan menjadi-jadi seakan-akan meniru budaya barat yang juga sinonim dengan sambutan tahun baru Masihi ini. Amat malang sekali...
Pada tahun 2014 ini, sambutan Tahun Baru masih lagi diadakan tetapi nampaknya semakin berkurangan. Mungkin ada kesedaran dari pihak berwajib. Malah lebih mengembirakan, lebih banyak acara kerohanian yang diadakan. Pelbagai program keagamaan diatur terutama di masjid-masjid dan di dataran orang ramai dengan pengisian jiwa hamba sebagai alternatif kepada sambutan tahun baru yang melalaikan. Secara umumnya, sambutannya amat menggalakkan.
Itulah yang kami alami malam tadi di Masjid al-Ridhuan, Hulu Kelang dengan Majlis Zikir Al-Akbar, anjuran bersama pihak masjid dan Darul Muhibbin.
Program bermula selepas solat Maghrib sehinggalah jam 1:00 pagi. Pengisiannya adalah ceramah agama (tausiyyah) oleh beberapa tokoh agama dengan diselangi zikir ratib dan dendangan lagu-lagu qasidah-maulid yang mengasyikkan.
SubhanaLlah... indahnya Islam apabila suasana zikruLlah menyelubunginya.
"Dan barangsiapa yang mencari agama (deen) selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi". (al-Imran:85)
No comments:
Post a Comment