Taman Saujana Puchong letaknya bersebelahan Puchong Bt. 14 dan Bandar Bukit Puchong. Di situlah rumah kami yang menjadi 'singgahan' kami di hujung minggu dan ketika cuti persekolahan. Hajat hati untuk terus menetap pada awal tahun ini tidak menjadi kenyataan. Masih ada halangan peribadi yang tidak dapat dielakkan. Tunggulah saatnya...
Selang beberapa buah rumah dari rumah kami terdapatnya sebuah surau, Surau Nurul Iman yang menjadi tumpuan utama masyarakat Islam di Saujana Puchong dan sekitarnya ketika bersolat Jumaat. Limpahan penduduk dari taman-taman perumahan di sekelilingnya seperti Taman Mutiara Indah dan Bandar Bukit Puchong serta Saujana Puchong sendiri menyebabkan surau sedia ada tidak lagi dapat menampung keperluan ahli kariah.
Justeru itu, cadangan pembinaan kompleks masjid baru yang mampu memuatkan kira-kira 3,000 jemaah ini telah diusahakan oleh Jawatankuasa Penaja Pembinaan Masjid Saujana Puchong (JKPPMSP) sejak beberapa tahun lalu.
AlhamduliLlah, kelulusan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah diperolehi pada 14 November, 2013 di atas tapak Lot 78982 Persiaran Saujana Puchong, tidak sampai pun 500 meter daripada Surau Nurul Iman.
Kos pembinaan kompleks masjid ini dianggarkan sebanyak RM 8 juta dengan fasa pertama projek dijangka siap pada Mei 2016. Menurut sumber JKPPMSP, ianya dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan umat Islam yang prihatin seperti kutipan derma, wakaf dan infaq.
Daripada 'Uthman bin 'Affan, daku mendengar RasuluLlah SAW bersabda, “Barang siapa yang membina masjid kerana Allah nescaya Allah akan membina untuknya seumpamanya di Syurga.” (Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Diriwayatkan juga Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang membina masjid sama ada kecil atau
besar nescaya Allah ‘Azza wa Jalla akan membangunkan baginya sebuah
rumah di dalam syurga.” (Riwayat At-Tirmidzi).
Tidak terliurkah kita untuk turut sama menempah rumah di Syurga nan abadi? Ayuh marilah kita sama-sama berderma dengan seikhlas hati demi merebut tawaran ALLAH SWT yang amat lumayan ini. Masukkan sahaja sumbangan kalian ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) - rujuk no akaun bank di sebelah atau hubungi JK Penaja sekiranya ada sebarang pertanyaan.
Bak kata para ulama', "Harta kita bukannya apa yang kita miliki tetapi apa yang kita sumbangkan atas jalan ALLAH SWT, itulah harta kita yang sebenarnya".
Moga amal kita yang sedikit ini menjadi penyebab kita serta keluarga kita terlepas daripada segala keperitan di akhirat dan dipermudahkan untuk melangkah masuk ke syurga yang amat diimpi-impikan. Moga-moga. Ameen.
No comments:
Post a Comment