Sunday, November 27, 2011

Cuti-cuti Sabah : Taman Tunku Abdul Rahman

Hari pertama dan kedua kami berada di kaki gunung. Hari ketiga ini kami ke pulau pula. Tumpuan kami adalah ke Taman Tunku Abdul Rahman yang terdiri daripada 5 buah pulau; Gaya, Sapi, Sulug, Manukan dan Mamutik. Keluasan taman laut ini kira-kira 12, 185 ekar yang boleh dikunjungi sepanjang tahun.

Bersama kami adalah anak bongsu Cik Rus-Cik An, Aisyah yang berusia 11 tahun, sebaya dengan Solehah. Seronok melihat kemesraan Hanisah dan Solehah berkawan dengan Aisyah.

Koleksi foto berkaitan terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Kami bertolak dari Jesselton Point Terminal yang terletak bersebelahan Suria Sabah menaiki bot laju sekitar jam 8:30 pagi. Kadar sewaannya RM250/bot untuk ke 3 buah pulau (Mamutik, Sulug dan Manukan) termasuklah kelengkapan snorkelling. Alangkah baiknya jika kami dapat mencari satu dua kelompok pengunjung lagi dengan arah yang sama, dapatlah kami berkongsi bot, lebih menjimatkan. Apakan daya... moga ianya menjadi satu ingatan dan pengajaran.

Perjalanan ke Pulau Mamutik mengambil masa kira-kira 20 minit meredah laut yang sedikit bergelora. Pemandu bot, Sdr Najib mesra dan petah sekali menjawab sebarang kemusykilan kami. Kerap kali bot pula terlambung dan menghempas air. Sakit dan sengal bontot dibuatnya, apatah lagi terlalu kerap terhentak ke tempat duduk tanpa alas. Percikan air pula membasahi pakaian. Tidak mengapalah, sememangnya tujuan kami ke pulau pun nak turun ke laut.

Air laut di sekitar Pulau Mamutik kelihatan beralun kecil. Mungkin lokasinya yang terlindung dek Pulau Manukan dan Pulau Sulug yang lebih besar. Pulau Mamutik dengan keluasan 15 ekar adalah pulau terkecil di kalangan 5 buah pulau tersebut.

Di sesetengah tepian pantai Mamutik pula dipagari untaian bebola kecil berwarna putih, hijau dan merah; terapung-apung di permukaan air. Itulah kawasan yang dibenarkan untuk aktiviti snorkelling, mandi manda dan seumpamanya. Menurut petugas di pantai, lingkungan hijau adalah kawasan cetek, lingkungan putih sedikit dalam dan lingkungan merah adalah kawasan dalam. Cukuplah kami menyelam dan berenang di kawasan cetek sahaja.

Pertama kali memakai topeng muka dan tiub pernafasan (snorkel) membuatkan kami terkial-kial. Dengan tunjuk ajar dari Aisyah, dapatlah masing-masing membiasakan diri, lebih-lebih apabila bernafas menggunakan mouthpiece. Alah bisa tegal biasa.

Laili bersama Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Aisyah tampak begitu seronok sekali 'mengendap' hidupan laut seperti pelbagai jenis ikan kecil dan batu karang di dasar laut. Terapung-apung mereka di pemukaan laut berbantukan jaket keselamatan sambil muka menghadap ke dalam laut. Begitulah juga fenomena perilaku para pengunjung lain di sekeliling mereka.

Imran pula lebih seronok bermain pasir dan mengumpul karangan laut di tepi pantai, sesekali melayan ombak yang menghempas lembut ke pantai.

Hampir sejam di Pulau Mamutik, kami dibawa pula menaiki bot menghampiri Pulau Sulug yang tidak dibenarkan untuk turun, malah tiada jeti disediakan pun. Menurut Najib, perairannya agak dalam dan ombaknya agak kuat, merbahaya kepada pengunjung biasa.

Dari Pulau Sulug, kami terus menuju ke Pulau Manukan yang berbentuk boomerang dengan keluasan 51 ekar. Seperti mana di Pulau Mamutik, tepian pantainya juga dilingkungi untaian bebola berwarna untuk menandakan kawasan yang selamat untuk berenang dan menyelam. Hampir di setiap tempat kelihatan begitu ramai sekali para pengunjung dengan pelbagai aksi dan aktiviti.

Laili berserta anak-anak terus turun ke laut menyambung aktiviti snorkelling mereka sementara Imran bermain pasir di tepian pantai. Janji kami kepada pemandu bot, datang jemput kami di jeti selepas 3 jam kami di situ, sekitar jam 1:00 petang.

Tiga jam bermain air membuatkan mereka benar-benar kepenatan dan kelaparan. Kepuasan hati jelas terpancar di wajah ceria mereka yang terbakar dek panasnya mentari dan masinnya air laut.

Di sebelah petang kami tidak ke mana-mana. Hujan turun agak lebat. Tambahan pula masing-masing telahpun kepenatan. Malamnya, semuanya tidur awal.

No comments: