Friday, October 28, 2011

Bonda Kembali Ke RahmatuLlah

Bonda yang amat disayangi, Hajjah Che' Wook binti Haji Ngah telahpun tiada lagi di dunia nan fana' ini - kembali ke alam baqa' yang kekal abadi. Demikianlah ketentuan Illahi. Tiada siapa yang dapat mengengkari mahupun menangguhkannya. Yang pergi telahpun pergi. Manakala yang hidup hanya menunggu masanya sahaja, juga tidak pasti bila saatnya.
Hari Jumaat malam Sabtu yang lalu (21-Oktober-2011 M ~ 23-Zulkaedah-1432 H) sekitar jam 9:30 malam, Almarhumah menghembuskan nafas terakhir di rumah keluarga di Kg. Telok Menara, Kuala Terengganu akibat sakit jantung yang telah lama dideritainya. Pemergiannya tanpa disedari sesiapa. Amat mudah sekali tanpa menyusahkan ahli keluarga.
Menurut ayahanda, menjelang malam arwah bonda tampak kurang sihat. Solat Maghrib, Isyak dan sunat rawatib yang amat dijagainya dikerjakan secara duduk sahaja. Selepas solat Isyak, beliau merasa tidak sedap badan lalu berbaring di tempat istirehatnya di suatu sudut ruang tamu. Begitulah kelazimannya apabila terasa kurang sihat. Tiada sesiapapun di sisinya ketika itu.
Ayahanda sibuk di kedai runcit bersebelahan rumah, manakala adik-adik pula dengan urusan sendiri.
Ketika ayahanda menjenguk bonda, didapati bonda seakan-akan tidur tetapi badannya terasa sejuk. Rupa-rupanya bonda tidur untuk selama-lamanya. Tidur yang tidak akan terjaga lagi di dunia ini.Kami menerima berita sedih ini tidak lama selepas itu. Ianya suatu kejutan tetapi kami telah bersedia kerana qada' dan qadar Allah SWT datang tanpa dijangka.
Kami bertolak pulang pada malam itu juga dan tiba di kampung halaman kira-kira jam 5:00 pagi.
AlhamduliLlah, urusan memandikan jenazah, mengkafan, menyolat dan mengkembumikannya dibantu oleh kesemua anak-anak dan menantu serta cucu-cucu remaja dan selesai menjelang tengahari keesokan harinya.
Ya Allah, ampunilah segala dosa dan kesalahan bondaku, redhailah segala amal kebaikannya, cucurilah rahmatMu ke atasnya, himpunkanlah rohnya di kalangan para solehah-siddiqin-syuhada', terlepas dari segala azab dan memasuki syurgaMu tanpa hisab. Ameen-ameen-ameen Ya Rabbal 'alameen.
AL-FATIHAH

3 comments:

rezeki said...

salam takziah dari saya buat tuan sekeluarga

semoga rohnya ditempatkan dikalangan para kekasih ALLAH


AL FATEHAH

Hidayah said...

Salam, saya juga ingin mengucapkan Takziah di atas kehilangan ibu Tuan Pidi. Kami doakan semoga Allah menganjari arwah dengan balasan yang baik dan menempatkannya di kalangan orang2 soleh. ameen..

-hidayah sekeluarga, melb-

ropidi 'n laili said...

Salam

JazakaLlahu khairan kathira. DaripadaNya kita datang, kepadaNya kita akan dikembalikan. Moga kita semua dirahmati Allah SWT. Ameen.