Sunday, November 9, 2008

Strawberry Picking

Menjelang akhir tahun, salah satu aktiviti yang menjadi pilihan adalah memetik buah dari jenis beri dan ceri seperti strawberi, rasberi, boysenberi, blackberi, blueberi, loganberi dan ceri. Dengan bayaran tertentu, berbekalkan bakul yang disediakan, para pengunjung ladang dibenarkan memetik sebanyak mana yang diingini. Yang dimakan tidak dikira, yang dibawa pulang sahaja perlu dibayar. Dikenali sebagai U Pick experience.

Pada awal Nov baru-baru ini, telah dua kali kami berkunjung ke Blue Hills Berris & Cherries di Silvan. Sekarang ini musim strawberi baru bermula. Kali pertama, pada hari Ahad, 02/11/2008, Laili bersama anak-anak kecuali Iddin, dibawa oleh Dr. Yati ke sana, selepas berkunjung ke National Rhododendron Gardens.

Kali kedua, dua hari selepasnya, pada hari Melbourne Cup, bertemu janji dengan keluarga Ust. Khairul-Intan Hakimah pula sebelum memandu arah mereka bertandang ke rumah. Bersama mereka; Azura, Azian, Noraini dan Chong yang datang hanya beberapa bulan untuk job attachment di beberapa pusat perubatan di Melbourne.

Sila akses ke Album Foto Kami (kiri web) untuk melihat foto atau klik di sini.

Ladang beri dan ceri milik keluarga Chapman yang diusahakan sejak 1894 ini amat luas dengan pelbagai pokok buah-buahan. Kedudukannya di kaki bukit di Banjaran Dandenong menghasilkan pemandangan persekitaran yang menarik dengan deretan pokok menghijau ditanam kemas di cerun-cerun yang landai.

Pokok strawberi adalah tumbuhan renek seperti keledek, ditanam di atas batas dengan buahnya sejambak keluar dari pangkal pokok. Terdapat pelbagai spesis dengan rasa yang berlainan, antaranya aroma, silvan dan lain-lain.

Melihat strawberi yang memerah masaknya, membuatkan hati begitu teruja. Sebiji demi sebiji dipetik dan dimakan terus. Manis dan sedap. Selebihnya dimasukkan ke dalam bakul yang dibawa.

Izzuddin, Hanisah dan Solehah tekun sekali meneliti setiap jambak buah dari satu pokok ke satu pokok dan dari satu batas ke batas lain. Yang ranum diambil, yang masih kuning ditinggalkan. Begitu juga dengan yang dewasa terutama Intan, Azura, Azian, Noraini dan Chong. Pengalaman yang amat berharga untuk mereka. Imran pula seronok sekali berkejaran dengan rakan sebayanya, Talhah, anak Ust Khairul.

Cuma yang membuatkan hati terkilan (dan sakit) adalah bayaran masuknya. Kali pertama berkunjung, hanya dewasa sahaja dikenakan bayaran (AUD 10.50), kanak-kanak percuma. Jadi dengan senang hati dipromosikan pada kawan-kawan termasuk rakan se-Dandenong, keluarga Lajiman-Suraya.

Kali kedua berkunjung, di samping bayaran untuk dewasa, kanak-kanak termasuk Imran (4 tahun) turut dikenakan bayaran separuh harga. Malah yang berusia 13 tahun (Farhana, anak Lajiman) pun dikategorikan dewasa. Melampau betul. Bantahan kami tidak diendahkan. Tawar hati dan malu pada kawan-kawan. Kami masuk pun kerana Imran dah buat hal nak masuk sama. Nampak gaya, tidak ingin lagi kami ke sana. Masih banyak lagi tempat seumpamanya di sekitar Dandenong. Harap-harap taklah seteruk Blue Hills Orchard. Namun pengalamannya amat dihargai. Moga ada hikmahnya.

No comments: