Sunday, December 21, 2008

Imran - Year End Party

Awal minggu, Isnin (15/12/2008), adalah hari terakhir persekolahan Imran di Dandenong North-East Kindergarten (DNEK). Ada parti di sekolahnya.
Imran berpakaian pengembala kambing
Majlis bermula jam 10:00 pagi. Setiap penjaga diminta membawa juadah masing-masing. Sambutan para ibu bapa amat menggalakkan. Tidak cukup kerusi yang disediakan.

Anak-anak asuhan kindergarten dipakaikan dengan pakaian beragam. Set persembahan telahpun disiapkan di hadapan kelas seawal paginya. Ada bangku, bayi dalam ayunan, patung biri-biri, kaldai dan ayam jantan di kiri kanan serta unggun api. Hati tertanya-tanya, apa tema dan kisah yang akan dipaparkan.

Sampai ketikanya, berbaris anak-anak berarak keluar dari bilik persalinan. Anak-anak lelaki berpakaian bagaikan Pak Arab, berkelubung kepala. Anak-anak perempuan pula berpakaian pari-pari dengan sayap di belakangnya. Semuanya duduk di posisi yang telah ditetapkan. Imran dengan beberapa orang rakannya duduk mengelilingi unggun api.

Bermulalah sketsa ceritanya. Rupa-rupanya kisah kelahiran Nabi Isa, sempena perayaan Krismas tidak berapa lama lagi. Penceritaannya disampaikan oleh Mrs Powney, pengetua Kindergarten sendiri, diiringi pergerakan ceritanya oleh anak-anak. Watak Imran adalah sebagai pengembala biri-biri, sedang berehat di hadapan unggun api.

Walaupun kisahnya berpaksikan agama Kristian tetapi tiada kesan negatif pada anak-anak Muslim. Sekadar permainan bagi mereka. Malah ada yang terpingga-pingga termasuk Imran.

Imran menerima cenderahati dari Mrs Beck
Di akhir persembahan, anak-anak menerima cenderahati berserta skrol sijil menandakan tamatnya pembelajaran mereka di DNEK. Tahun hadapan semuanya akan memasuki sekolah rendah di peringkat Preps kecuali Imran masih kekal di DNEK. Usia dan kematangannya belum layak untuk ke peringkat sekolah rendah. Imran paling muda dalam kelasnya. Mengikut tahun, Imran baru berusia 4 tahun sedangkan rakan sekelasnya telah pun 5 tahun. Namun banyak pelajaran yang diperolehi selama setahun di DNEK. Insya Allah, tahun hadapan kematangannya akan lebih terserlah selari dengan peningkatan usianya. Malah mungkin lebih matang dari usia sebenarnya. Moga-moga. Ameen.

Di meja makan. Imran, Sitra dan Aisya
Sementara menunggu hidangan disediakan, anak-anak mempunyai aktiviti luaran di laman hadapan, pusing hadiah berbungkus dan pukul bola bertutup mata. Setiap anak-anak berpeluang mendapat giliran dan ganjarannya. Ianya kecil tapi signifikan dalam memahami dan memenuhi naluri anak-anak kecil.

Di dalam kelas, tempat makan disusun memanjang. Untuk anak-anak Muslim (5 orang) diletakkan setempat. Makanan halal dihidangkan dengan diawasi oleh salah seorang ibu kepada anak-anak tersebut. AlhamduliLlah. Terima kasih atas keprihatinan pihak pengurusan, malah diwar-warkan. Sesuatu yang berguna sebagai makluman kepada bukan Muslim yang lain, terutama ibu bapa.

Jam 12:15 tengahari, majlis bersurai.

No comments: