Menunaikan ibadah haji di Mekah
adalah pelengkap kepada Rukun Islam yang lima. Tidak kiralah bagi yang
mampu atau sebaliknya, sewajarnya ia menjadi impian setiap Muslim.
Langkah pertama, mendaftar dahulu di Tabung Haji, selebihnya berusaha
merealisasikannya. Insya ALLAH, dapat pergi atau pun tidak akan tetap
diganjari pahala dan rahmatnya oleh ALLAH SWT, Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Saban
tahun, bagi setiap negara, pemergian ke Tanah Suci untuk mengerjakan
haji bergantung kepada kuota yang ditetapkan oleh Arab Saudi. Lazimnya
satu peratus (1%) daripada jumlah penduduk sesebuah negara.
Di Tangga Dataran Kaabah Pada Musim Haji 2012M |
Semalam berita ini telah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khir Baharom setelah mendapat makluman rasmi daripada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Firhad Al-Rashid tiga hari lalu.
Dalam diam, terdetik di sudut hati - AlhamduliLLAH, setinggi-tinggi kesyukuran kerana kami telah menjadi tetamu di rumahNya pada tahun lepas. Sebenarnya pada peringkat awal timbul juga kerisauan kuota dikurangkan kerana ketika itu kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram dan peruntuhan/ pembinaaan bangunan-bangunan hotel di sekitarnya giat dijalankan. Itulah ketentuanNYA. AlhamduliLLAH.
Difahamkan pengurangan kuota kali ini berikutan kerja-kerja pembesaran sekitar Masjidil Haram dan menaik taraf kawasan tawaf di Dataran Kaabah kepada laluan bertingkat.
Tentang kawasan tawaf ini, sememangnya telah disediakan laluan bertingkat untuk bertawaf tetapi laluannya agak jauh kerana mengambil ruang di sekeliling masjid menyebabkan masa bertawaf menjadi lebih panjang berbanding di Dataran Kaabah. Itu pun penuh sesak ketika waktu puncak musim haji. Jika laluan baru ini siap pasti dapat menampung lebih ramai jemaah.
Malah itulah perancangannya, selari dengan pembangunan pesat hotel-hotel puluhan tingkat di sekitar Masjidil Haram dan juga pembesaran masjid itu sendiri yang sedang giat dijalankan. Salah satu penyebab pengurangan kuota jemaah untuk tahun ini.
Berikut adalah video terkini kerja-kerja naik taraf sedang dijalankan.
Bagi jemaah haji Malaysia, kuotanya kira-kira 28,000 daripada jumlah penduduk seramai 28 juta orang. Bagi negara-negara yang padat penduduk, bilangan jemaahnya berkali-kali ganda walaupun kuotanya tetap 1%.
Contohnya, jemaah Indonesia mencecah 211,000 orang dan India seramai 170,000 orang. Ditambah pula dengan jemaah haji Iran, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain negara. Bayangkan betapa sesaknya Masjidil Haram ketika puncak musim haji.
Dengan pengurangan kuota ini, seramai 5,600 orang bakal jemaah haji Malaysia dijangka terlibat pada tahun ini. Tidak dinafikan pasti ramai yang akan merasa kecewa jika tidak terpilih untuk menjadi tetamu ALLAH. Bayangkan lebih 1 juta yang menunggu giliran untuk ke Mekah tetapi masih tidak berpeluang.
Pembinaan Laluan Tawaf Bertingkat (Kredit: Hj Arshad) |
Dari pengalaman dan pemerhatian kami, mereka ini lebih bersedia dan lebih berilmu untuk melaksanakan ibadah haji dengan baik dan sempurna berbanding dengan sebilangan besar yang mendapat kuota 'durian runtuh' yang banyak melakukan amalan ibadah yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Untuk yang tidak terpilih, usahlah kecewa. Jika kita redha, pasti kita disayangiNYA. Sekiranya kita memberontak, seolah-olah kita mengingkari takdirNYA. Ingatlah pada ketentuan ILLAHI. Itulah sebahagian daripada ujian daripadaNYA. BaitulLLAH adalah rumah ALLAH, terserahlah padaNYA untuk menjemput sesiapa yang diinginiNYA. Jika dipanjangkan usia, Insya ALLAH kita akan dijemputNYA pada tahun-tahun mendatang. Yakinlah, pasti ada hikmahNYA yang tidak terjangkau oleh akal kita.
Kepada yang terpilih, sekalung tahniah untuk anda. Ambillah peluang keemasan sekali seumur hidup ini untuk sentiasa mengabdikan diri kepadaNYA. Setiap detik yang ada, gunakanlah sebaik mungkin untuk berlama-lamaan di Masjid Nabawi, Madinah dan Masjidil Haram, Mekah serta menyelusuri sejarah nabawiyyah di kedua-dua Tanah Suci tersebut. Paling utama, berusahalah untuk melengkapkan diri dengan ilmu beribadah yang betul, bukannya bertaqlid atau bertalfiq buta mengikut orang.
Selamat Menunaikan Ibadah Haji. Sampaikan salam kami untuk junjungan mulia, RasuluLLAH SAW. Moga setiap amalan kita sentiasa di dalam redhaNYA. Ameen.
Selamat Menunaikan Ibadah Haji. Sampaikan salam kami untuk junjungan mulia, RasuluLLAH SAW. Moga setiap amalan kita sentiasa di dalam redhaNYA. Ameen.
No comments:
Post a Comment