Nama Abu Hurairah r.a. amat terkenal di kalangan umat Islam. Beliau adalah salah seorang sahabat RasuluLlah SAW yang banyak meriwayatkan hadis-hadis secara langsung daripada baginda SAW.
Nama sebenar Abu Hurairah setelah memeluk agama Islam adalah Abdul Rahman bin Sakhr ad-Dausi. Gelaran Abu Hurairah telah diberikan oleh RasuluLlah SAW ketika mendapati betapa kasih dan sayangnya Abu Hurairah terhadap makhluk ALLAH SWT yang bernama kucing.
Diceritakan, suatu ketika Abu Hurairah mendatangi RasuluLlah SAW. Maka ditanya oleh RasuluLlah SAW apa yang ada di dalam lengan bajunya. Lalu dijawabnya anak kucing. Sedari itulah baginda SAW mengelarnya Abu Hurairah yang bermaksud Bapa Kucing Kecil. Bermula saat itu, Abdul Rahman lebih suka dipanggil Abu Hurairah tanpa merasa kecil hati atau terhina kerana ianya diberikan oleh RasuluLlah SAW.
Jadi, jika di zaman ini kita berjumpa dengan insan yang menyayangi kucing, amatlah layak digelarkan mereka Abu Hurairah.
Teringat saya akan kisah di setiap awal pagi, menjelang masuknya waktu Subuh di Masjid al-Ridhuan, Ulu Kelang. Ketika tiba di perkarangan masjid menghadap MRR2, pasti akan kelihatan seorang jemaah lelaki sekitar usia 50an berlegar-legar mencari dan memanggil kucing-kucing yang berkeliaran di sekitar masjid. Kucing-kucing ini pula sudah memakluminya dan setiap pagi akan menunggu-nunggu kehadiran jemaah ini.
Berbekalkan paket plastik makanan kucing berjenama setiap kucing ini akan disuakan makanan berkhasiat ini. Tidak hairanlah kucing-kucing ini tampak sihat dan gebu.
Betapa besarnya pahala, barakah dan rahmat ALLAH SWT yang Abu Hurairah ini perolehi dengan hanya memberi makan kucing sahaja. Apatah lagi kucing adalah salah seekor haiwan yang amat disayangi oleh baginda SAW. Malah baginda amat dukacita kiranya mendengar ada orang yang menyakiti kucing seperti tidak memberi makan ketika ianya kelaparan sehingga mengancam tempatnya di akhirat adalah neraka. NauzubiLlahi minzalik.
Moga ada manafaatnya.
No comments:
Post a Comment