Cuti sekolah, anak-anak semuanya ada di rumah. Bersama berkumpul di rumah @ Saujana Puchong yang hanya didiami setiap hujung minggu dan cuti sekolah. Meriah sepanjang masa. Lebih-lebih lagi dengan keletah usik mengusik abang-adik dan kakak. Demikianlah lakunya apabila bertemu. Kami tumpang seronok walaupun adakalanya gurau senda berakhir dengan sengketa.
Lazimnya setiap kali cuti panjang, kami akan membawa anak-anak berjalan-jalan makan angin. Kami sememangnya amat teruja dengan kehijauan, keindahan dan keunikan tanah air tercinta. Jauh dekat bergantung kepada keadaan.
Paya Indah berkeluasan kira-kira 3,100 hektar. Untuk bergerak, para pengunjung boleh memilih samada ingin berkenderaan sendiri ataupun menaiki basikal yang disediakan dengan sewa RM5/ buah/ 2 jam.
Terdapat pelbagai kemudahan
yang disediakan di Paya Indah ini termasuk dewan seminar/ mesyuarat, dewan terbuka, bangunan
penyelidikan, rumah penginapan, kawasan perkhemahan, kawasan rekreasi, hutan rentas
dan menara tinjau. Manakala kolam dan tasik pula ada fungsinya
tersendiri seperti memancing, berkayak, ternakan ikan dan juga habitat bunga-bungaan air. Di samping itu terdapat juga bermacam jenis haiwan peliharaan, antaranya badak air, buaya tembaga, merak, kura-kura dan ratusan burung-burung air.
Pagi Ahad, menghampiri jam 10:00 pagi kami tiba di Paya Indah Wetland. Masuk percuma. AlhamduliLlah. Cuma kami perlu mendaftar di Kaunter Pendaftaran tidak jauh daripada pintu masuk dengan diberikan penerangan ringkas oleh petugas berserta pas pelawat dan peta kawasan.
Bersebelahannya adalah deretan basikal menunggu untuk disewa. Sayangnya basikal-basikal ini tidak disenggarakan dengan baik. Banyak yang rosak dan tidak boleh digunakan seperti rantainya putus/ kendur, rim tayar bengkok dan tempat duduk tercabut. Kami menyewa 3 buah basikal, ditunggangi oleh ibu Laili, Izzuddin dan Hanisah. Manakala Solehah dan Imran berserta ayah memilih untuk menaiki kereta serta berjalan kaki.
Kundra dan Juwita Sedang Bersarapan |
Di sini terdapat 4 ekor badak air - seekor jantan berusia 19 tahun, diberi nama Kundra, 2 ekor betina iaitu Juwita berusia 16 tahun dan Chendana berumur 17 tahun berserta anaknya yang masih kecil, Lily.
Kami sedikit terlewat tiba di kandang hippo. Aktiviti harian memberi makan badak air dilakukan setiap hari pada jam 10:00 pagi. Terlepas peluang melihat bagaimana pasangan Kundra-Juwita membaham betik dan pisang dengan penuh berselera. Menurut petugas, Chendana dan Lily terpaksa dikurung bagi mengelakkan Lily daripada mengalami tekanan.
Dari Kolam Hippo, kami bergegas pula ke Kolam Buaya yang juga amat luas. Di permukaan air berhadapan tempat memberi makan kelihatan hampir 20 ekor buaya tenang mengapungkan diri menunggu saat diberi makan. Rutin masa yang diingati oleh setiap sang bedal di kolam tersebut.
Aktiviti memberi makan buaya dilangsungkan jam 11:00 pagi. Peliknya bukan setiap hari tetapi hanya pada cuti hujung minggu dan cuti umum sahaja. Khusus untuk tontonan pengunjung. Hari-hari lain buaya-buaya yang berjumlah hampir 50 ekor di kolam tersebut tidak diberi makan. Eh..eh.. kasihan buaya-buaya tu kena dera..!
Sang Bedal Sedang Menjamu Selera |
Emm... ada kebenarannya kerana buaya-buaya tersebut macam tidak berselera atau buat tidak kisah sahaja apabila bangkai-bangkai ayam dicampakkan ke kolam. Mungkin buaya-buaya tersebut telah pun kekenyangan menjamu selera sehari sebelumnya (Sabtu). Malah hanya beberapa ekor sahaja dari kelompok yang berapungan yang menyambar makanan yang diberi.
Dari pemerhatian kami, para pengunjung lebih teruja untuk melihat aksi buaya menyambar makanan berbanding menonton aksi badak air makan. Perbandingan dibuat dari jumlah penonton yang berkerumun di antara 2 kolam tersebut. Itu hanya andaian kami. Mungkin juga mereka tiba selepas jam 10:00 pagi, jadi tumpuan mereka terus ke Kolam Buaya. Walau apa pun dan walau di mana jua, aktiviti memberi makan haiwan sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.
Imran Dengan Gaya Pengembara |
Selepas itu menyinggah pula di Tasik Teratai - bunga-bungaan teratai putih dan merah jambu sedang berkembang mekar melatari permukaan tasik. Indah sekali. Kelompok angsa dan itik pula tampak santai berenang-renang di celah-celah pepohonan teratai.
Kami tidak boleh berlama-lamaan di Paya Indah Wetland. Di sebelah tengahari kami ada jemputan walimah saudara-mara di Bandar Tun Razak, Cheras. Insya Allah kami akan datang lagi di lain ketika untuk menerokai lain-lain tempat di dalam Paya Indah Wetland. Masih banyak lagi tempat menarik yang belum disinggahi.
No comments:
Post a Comment