
Perjuangan para pahlawan terdahulu dalam menuntut kemerdekaan negara sewajarnya diingati dan dihayati sepenuhnya. Betapa kecintaan mereka akan kemerdekaan sehingga nyawa dan darah menjadi galang ganti tiada tolak bandingnya. Nama-nama seperti Dato Maharaja Lela, Tok Bahaman, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung, Tok Naning, Burhanuddin Helmi, Tuanku Abdul Rahman dan ramai lagi amat banyak jasanya.
Setelah menjangkau 51 tahun kemerdekaan negara, rasanya tidak ramai yang mengenali siapakah mereka itu, terutama di kalangan anak-anak. Apatah lagi untuk menghayati susur galur perjuangan mereka. Jadi, tidak menghairankanlah ramai yang tidak mengsyukuri nikmat kemerdekaan yang diperolehi. Detik 12 malam ditunggu-tunggu semata-mata untuk berseronok dan lepas bebas bagaikan kelkatu.
Justeru itu, betapa perlunya dinilai kembali pendekatan pendidikan kepada generasi pelapis. Bukan sahaja dalam menghayati perjuangan pahlawan terdahulu tetapi terlebih penting faham akan pengertian sebenar kemerdekaan itu sendiri. Ruang lingkupnya seharusnya lebih terbuka menyentuh norma-norma kehidupan sejagat dan persekitarannya. Kepada rakyat Malaysia, Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Kali ke-51. "Perpaduan Teras Kejayaan"
No comments:
Post a Comment