Thursday, February 26, 2009

House Husband Di Perantauan

Housewife (suri rumah tangga), satu kerjaya sepenuh masa, merujuk kepada isteri yang menguruskan rumah, suami, anak-anak dan yang bersangkutan dengannya. House husband (tak pasti apa terjemahannya) pun sama. Sesuatu yang lumrah di Australia, juga di negara-negara maju lain, namun tidak popular di dalam masyarakat kita. Mungkin kerana sikap ego lelaki ataupun sememangnya bukan begitu adat dan kudratnya.

Di dapur menyiapkan juadah tengahari
Ketika berada di negara orang, mengiringi isteri yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi (biasanya Master mahupun PhD), disertai sama anak-anak masih di alam persekolahan apatah lagi yang masih kecil, suami biasanya bertindak sebagai house husband. Jika nak dikatakan pengorbanan, rasanya itulah dia pengorbanan seorang suami. Apatah lagi jika terpaksa melepaskan kerjaya yang telahpun selesa dan stabil di tanah air.

Dan bagi house husband yang ingin bekerja tanpa menganggu tugasan harian, mereka biasanya bekerja di sebelah malam, awal pagi ataupun ketika anak-anak ke sekolah, antaranya sebagai cleaner dan penghantar akhbar/brosur. Sekurang-kurangnya hilanglah sedikit rasa bosan, tertekan dan melepaskan “gian bekerja” di samping menceduk pengalaman di perantauan.

Tidak dinafikan terdapat juga para suami yang datang berkerja sepenuh masa di samping isteri belajar serta menguruskan rumah dan anak-anak. Biasanya mereka yang mempunyai kemahiran tertentu dan profesional seperti doktor, peguam dan seumpamanya melakukannya. Dalam hal ini aku tak nak komen apa-apa. Setiap orang ada pandangannya tersendiri. Yang penting adalah persefahaman dan sikap toleransi suami-isteri serta anak-anak perlu ada.
Ada juga berpandangan, rugi jika tidak mencari duit di negara di mana kadar tukaran wangnya lebih tinggi berbanding Malaysia. Malah ada di antara kenalan yang mampu melangsaikan hutang-piutang di tanah air seperti hutang rumah, tanah, pinjaman peribadi dan lain-lain hasil berkerja di perantauan. Itulah, rezeki masing-masing.

Ruang tamu perlu dipastikan kemas sentiasa
Bagi aku, seperti yang ditekankan dalam entri sebelum ini, persekolahan anak-anak dan pengajian isteri adalah keutamaannya. Mereka perlu diberikan peluang dan sokongan sewajarnya untuk melaksanakan kewajiban dan aktiviti harian mereka. Pada masa yang sama menitik beratkan pendidikan kerohanian di dalam persekitaran dan budaya kurang sihat yang tidak terkawal di negara orang ini. Apatah lagi, itulah tanggungjawab yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Rutin harian bermula bangun tidur sehinggalah masuk tidur malamnya sama sahaja. Jika diingatkan memang membosankan tetapi bergantung kepada diri sendiri. Menurut seorang pakar motivasi, kaedah pengurusan masa amatlah penting. Setiap detik jika dimanafaatkan hati akan merasa seronok dan ceria sepanjang masa. Paling utama perlu dilakukan dengan rela hati. Memang ada kebenarannya.

Solat berjemaah, membaca Quran, menyediakan sarapan pagi, menghantar dan mengambil anak dari sekolah, membasuh, menjemur dan melipat kain baju, memasak, mengemas rumah, menyiram sayuran, membeli-belah di pasar dan kedai, menunjuk-ajar anak-anak mengaji serta membantu mereka dalam kerja sekolah adalah antara rutin harian aku yang biasa dilakukan setiap hari.

Sayuran di belakang rumah pun perlukan perhatian
Sesekali di hujung minggu, kami keluar melancong ke tempat-tempat menarik di Australia, terutama di Victoria. Peluang berada di negara orang tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja. Jika menunggu di tahun akhir, mungkin semuanya tidak menjadi kenyataan kerana isteri mulai sibuk dengan kerja-kerja penulisan tesisnya.
Dalam situasi sekarang di mana isteri tiada bersama, tanggungjawab aku sedikit bertambah. Semua perkara perlu diuruskan sendirian. AlhamduliLlah sehingga kini segalanya berjalan lancar. Anak-anak pula tiada cerewetnya terutama dalam soal makan minum. Dari hanya tahu masak dua tiga lauk-pauk, kini sudah dapat dipelbagaikan. Setiap hari dan minggu menunya sentiasa berubah-ubah. Ada manafaatnya untuk diri aku sendiri.

Umumnya tiada dilemanya menjadi house husband. Segalanya terletak pada diri sendiri. Paling utama adalah kerelaan hati demi kesejahteraan bersama seisi keluarga. Hanya redha Allah yang didambakan.

6 comments:

Azizah said...

Yeah, Ropidi boleh!

Dah terror memasak..hmm apa menu special ya..

ropidi said...

Alahai Gee.. setakat sop kosong boleh le... resepi sop gear box belum dapat lagi... 8)

liza said said...

Assalamualaikum org jauh,

I terjumpa blog nie masa surf blog prof kamil...wat a small world. Tak sempat nak membaca semua, insyallah akan start baca bila ada kelapangan.

Nampak enjoy kat sana, harapnya semua berjalan lancar & bila dijangka balik ke mesia?

Salam utk seisi keluarga.

Liza Said
mimos

ropidi said...

Salam Kak Liza

Kami sekeluarga sihat semuanya. Orang rumah dan si bongsu sekarang kat Malaysia.

Nak kata enjoy sangat tak ada le, tapi kira OK la. Sambil-sambil jaga anak, sesekali berpeluang melancung ke tempat-tempat menarik. "Sambil menyelam sambil minum air".

Insya Allah awal April ni balik dalam 3 minggu. Orang rumah pula dijadualkan tamat belajar pertengahan tahun 2010 nanti.

liza said said...

Alhamdulillah,

Jauh perjalanan, luas pandangan, byk pengalaman...tak boleh jual beli tu!!!

Agaknya kat OZ ni memang sesuai berkebun ye...si Azizah pun rajin, penuh keliling rumah. Boleh sambung skill tu bila balik Mesia.

ropidi said...

Kat sini ada masa terluang + ada tanah. Kat Msia sibuk memanjang, silap2 tanah pun tak ada kecuali dalam pasu aja.