Thursday, March 26, 2009

Dandenong Harmoni

Berjalan-jalan di sekitar Dandenong terasa begitu harmoni sekali. Di mana-mana sahaja mudah ditemui penduduknya yang pelbagai bangsa, keturunan, warna kulit dan agama. Lebih ceria lagi dengan pelbagai fesyen yang dipakai menggambarkan asal usul, budaya dan kepercayaan masing-masing. Kepelbagaian ini secara tidak langsung membentuk kemajmukan masyarakatnya. Malah dirasakan lebih majmuk daripada suasana di tanah air.

Semuanya ini tidak menghairankan kerana The City of Greater Dandenong yang berkeluasan kira-kira 130 km persegi dan terletak hampir 30 km ke tenggara Melbourne ini adalah salah satu kawasan Majlis Perbandaran Tempatan di Victoria yang menjadi tumpuan utama para pendatang dari luar Australia. Sebahagian besar daripadanya telahpun diiktiraf sebagai warga negara Australia.

Penduduk Greater Dandenong kini melebihi 126,000 orang, dengan lebih 55% daripadanya adalah kelahiran luar negara dari hampir 160 tempat yang berbeza, antaranya dari Turki, Afghanistan, Vietnam, China, India, Sri Lanka dan negara-negara Afrika. Sebahagian besarnya adalah pelarian perang seperti dari Afghanistan, Vietnam dan Sudan.

Cr Pinar Yesil, Datuk Bandar Greater Dandenong

Lokasi penempatan “penduduk luar” ini biasanya berkelompok setempat mengikut negara asal sehingga mampu membentuk bandar (town) mereka sendiri. Contohnya komuniti Vietnam lebih tertumpu di Springvale, bandarnya kini ibarat Vietnamese Town. Masyarakat Turki dan Afghanistan pula lebih ramai tertumpu di Dandenong Central dan North (di mana kami tinggal kini) serta di Noble Park.

Agama anutan utama penduduknya pula adalah Kristian (63%) dari lebih 17 aliran kepercayaan seperti Catholic, Anglican, Baptist dan Orthodox. Majoritinya dari kalangan penduduk tempatan sendiri. Penganut Buddha pula sekitar 15%, kebanyakannya berasal daripada China, Vietnam dan Cambodia.

Manakala agama Islam pula dianuti hampir 12,000 orang, terutama dari keturunan Turki, Afghanistan dan Sudan. Di Greater Dandenong ini sendiri, jika tak silap, terdapat 6 buah Masjid/ Pusat Islam kesemuanya, salah satunya Masjid Emir Sultan (Turkish) yang terletak kira-kira 700 meter dari rumah kami. Malah salah seorang dari 11 orang Ahli Majlis Perbandaran (councilor) yang dipilih melalui pilihanraya adalah seorang wanita Muslim berketurunan Turki, Pinar Yesil yang kini dilantik sebagai Datuk Bandar (Mayor) Greater Dandenong.

Kegiatan ekonomi di Bandar Dandenong umumnya sekitar 70% dikuasai oleh penduduk tempatan sendiri seperti di Dandenong Market mahupun Dandenong Plaza, juga kedai-kedai di sekitarnya. Selebihnya diusahakan oleh lain-lain bangsa dan keturunan seperti Turki, Afghanistan, China, India, Vietnam dan Sudan. Penyertaan penduduk luar ini bukan sahaja sebagai pengusaha tetapi ramai yang terlibat dalam sektor-sektor pekerjaan awam dan swasta, sebahagiannya menjawat jawatan tinggi.

Kepelbagaian budaya di Dandenong menjadi asset penting dan diperakui sendiri oleh pihak majlis. Sekurang-kurangnya tiga kawasan telah dijadikan pusat sehenti budaya iaitu Little India, Afghans Bazaar dan Turkish Corner, setiap satu mengenengahkan kebudayaan tersendiri berserta pusat-pusat jualan barangan tradisional.

Di sekolah rendah mahupun menengah serta pusat-pusat pengajiannya, bilangan pelajar selain berkulit putih kelihatan setara, bergaul rapat bagaikan saudara, saling berlumba mengejar jaya. Gelak ketawa bagaikan tiada sempadannya.

Sesekali keharmonian ini tergugat juga dengan lagak ganas sesetengah pendatang luar ini terutama dari kalangan anak-anak muda. Mungkin terbawa-bawa dengan sikap kasar akibat penderitaan di negara asal. Natijahnya boleh menimbulkan persengketaan dengan penduduk tempatan yang adakalanya berdarah panas.

Namun perpaduan dan kesatuan sentiasa diutamakan, sehinggakan pihak Majlis Perbandaran sendiri mempunyai Multicultural Unit, begitu juga dalam pasukan polis setempat, tidak terkecuali di sekolah-sekolah ada guru khusus untuknya.

No comments: