Muzium Negeri Terengganu letaknya di Bukit Losong, Kuala Terengganu - tidak jauh dari Taman Tamadun Islam. Ianya meliputi kawasan seluas 23.33 hektar, dikatakan muzium terbesar di Asia Tenggara.
Imran.. Tercapai Satu Impian...! |
Beberapa tahun lalu kami sekeluarga pernah berkunjung ke muzium ini tetapi tidak berkesempatan menghabiskannya kerana kesuntukan masa. Sejak itu anak bongsu kami, Imran selalu menyatakan hasratnya untuk datang lagi. Ianya berlalu begitu sahaja walaupun impiannya tidak pernah padam.
AlhamdulILLAH.. pada hujung minggu baru-baru ini (01/04/2017), berdua bersama Imran; kami berkesempatan singgah untuk kali keduanya dengan misi menerokai keseluruhan sudut muzium yang ada. Seawal jam 9:00 pagi kami telah pun terpacak di hadapan pintu masuk muzium. Kamilah pengunjung terawal. Tiket masuknya RM5.00 untuk dewasa dan RM2.00 kanak-kanak. Tambahan RM3.00 untuk kamera.
Melangkah masuk ke ruang pameran, sejarah pertama yang ditatap adalah tentang Muzium Negeri Terengganu sendiri. Seterusnya bolehlah bergerak ke sana sini untuk menyelami setiap rakaman dan rentetan sejarah kehidupan manusia serta yang bersangkutan dengannya khususnya berkaitan negeri Terengganu Darul Iman.
Pelbagai Jenis Ukiran Kayu |
Galeri Tekstil, pastinya berkaitan kain dan pakaian seperti proses pembuatan, perkembangan dan jenis-jenis tekstil seperti songket, batik, cindai, gerus dan telepuk. Juga pakaian tradisional harian, perkahwinan dan upacara-upacara tertentu.
Di Galeri Kraf pula memaparkan kehalusan seni kraftangan seperti anyaman tikar, barangan tembaga, ukiran kayu dan emas-perak. Terdapat juga senjata lama seperti keris, sundang, tekpi, sewar, badik dan lawi ayam yang mencerminkan kemahiran dan kehebatan 'pandai besi'.
Koleksi gambar dan barangan Sultan-sultan Terengganu termasuk alat-alat kebesaran DiRaja, hadiah-hadiah dan pelbagai jenis pingat/bintang boleh dilihat di Galeri DiRaja. Galeri Sejarah pula mengisahkan perkembangan tamadun manusia dari zaman prasejarah hinggalah proto sejarah yang dibuktikan dengan penemuan arkeologi. Pelbagai rentetan sejarah di Terengganu juga terdapat di sini, kebanyakannya dirakamkan melalui gambar/foto.
Galeri Petroleum jelas memaparkan sejarah industri minyak dan gas di Malaysia, khususnya di Terengganu; antara sumber ekonomi terpenting. Medan Minyak Dulang yang mula beroperasi pada Mac, 1991 adalah medan minyak pertama yang ditemui di perairan Terengganu.
Penemuan Tempayan di Hulu Terengganu |
Galeri terakhir di blok utama adalah Galeri Ilmu Kejadian - ibarat 'zoo kaku' di dalam muzium. Pelbagai jenis flora, fauna dan batu batan terdapat di sini. Sebahagian besar haiwannya adalah haiwan sebenar yang telah diawetkan dengan mengekalkan penampilan luaran haiwan-haiwan berkenaan.
Juga terdapat galeri kecil tentang fosil dinosour yang ditemui di Gunung Gagau, Hulu Terengganu (2014) dan Sudut Penyu. Tidak kurang menariknya lukisan-lukisan menggambarkan adat dan budaya silam Terengganu seperti permainan bola cetong, menampi padi dan lukisan batik.
Pandangan Muka B |
Habis sepagi kami di Kompleks Utama Muzium. Sebelah petangnya pula kami berjalan-jalan di sekitar muzium. Kawasan terbuka tanpa sebarang bayaran. Sepatutnya kami 'merayau' di luar muzium dahulu di waktu pagi kerana di sebelah petangnya awan mendung berarak menimbulkan gusar di hati... kot-kot turun pula hujan..!
Terdapat 2 galeri maritim iaitu Galeri Pelayaran dan Perdagangan serta Galeri Perikanan dan Taman Laut. Galeri pertama mengimbau kembali sejarah pembinaan perahu-perahu besar, antaranya Perahu Besar Kemajuan dan Perahu Besar Sabar yang membawa kepada pembukaan jalan-jalan perdagangan serantau. Dikisahkan juga tentang Panglima Awang yang berani meredah samudera demi membuktikan Melayu Boleh..!
Di Galeri kedua pula berkaitan usaha-usaha penangkapan ikan dan suasana kehidupan para nelayan. Kami tidak berpeluang masuk ke ruang pameran dalaman kerana tidak dibuka. Di bahagian luarnya terdapat pelbagai jenis perahu dan sampan yang digunakan oleh para nelayan seperti Perahu Jalur, Jokong, Kajangan, Kolek, Payang, Bedar, Sekoci dan banyak lagi.
Rumah Bujang Berserambi (Tele) |
Terdapat juga kepala keretapi dan gerabak, keluaran tahun 1961 dan juga kenderaan rasmi Sultan Terengganu dan Menteri Besar terdahulu.
Ternyata Imran amat berpuas hati. Banyak perkara yang dipelajarinya. Banyak maklumat dan pengetahuan yang dicedok. Banyak pertanyaan yang diajukan. Sedaya mungkin cuba diterangkan agar mudah difahami.
Pengayuh Beca... |
Petang hari sebelumnya kami juga sempat berjalan-jalan di Kampung Cina @ Chinatown yang masih kekal seperti dahulu tetapi diperindahkan dengan pelbagai lukisan mural dan juga ikon tradisi seperti beca roda tiga, vespa, tong surat merah dan pondok telefon merah.
Imran telah meletakkan harapan di suatu hari nanti untuk berkunjung ke tempat-tempat bersejarah lain di Terengganu; antaranya Bukit Puteri, Istana Maziah, Memorial Batu Bersurat, Kota Duyong dan Muzium Daerah Kemaman.
No comments:
Post a Comment