Friday, February 17, 2017

Cuti2 Malaysia > Muzium Sungai Lembing

Pada hari Sabtu 04-Februari kami menghantar Imran pulang ke asrama di SM Imtiaz Besut. Dua hari selepasnya kami turun ke Kuantan pula - Laili ada mesyuarat selama beberapa hari di UIA Kuantan. Hanisah turut serta kerana masih bercuti semester.

Kami menginap di MS Garden Hotel milik Majlis Agama Islam Pahang yang dilingkungi pusat-pusat membeli belah di tengah bandar Kuantan. Hotel lama tapi biliknya agak luas dan kepelbagaian menu sarapan paginya amat bersesuaian dengan selera kami.

Selama bermukim di MS Garden, kami berkesempatan berkunjung ke beberapa tempat menarik di sekitarnya; antaranya Pantai Teluk Cempedak (6 km), makan malam di Tg. Lumpur (2 km), berjemaah di Masjid Sultan Ahmad Shah (1 km) dan Masjid Tepian Putra (500m). Kami juga singgah di Muzium Seni Pahang, berdekatan Masjid Sultan Ahmad Shah tapi ditutup - bangunannya terbiar tanpa terurus.

Sampel bijih timah dari Lombong Sungai Lembing
AlhamduliLLAH... kami berpeluang ke Sg. Lembing yang berjarak sekitar 30 km dari Bandar Kuantan. Sudah pasti tumpuan utama kami adalah ke Muzium Sungai Lembing yang terkenal dengan koleksi sejarah kegemilangan perlombongan bijih timah. Seiring dengan statusnya sebagai kawasan perlombongan bijih timah bawah tanah yang terbesar di dunia dan bandar terkaya di  Pahang.

Bandar Sungai Lembing diibaratkan sebagai El-Dorado Timur di negeri-negeri Tanah Melayu kerana di sinilah letaknya sebuah perkampungan masyarakat Inggeris, iaitu di Lembah Sungai Kenau.

Melewati jalan utama ke tengah Bandar Sungai Lembing, terpesona kami melihat deretan kedai Cina lama yang masih kekal berdindingkan papan dan zink di kedua-dua belah jalan. Di tengah-tengah jalan pula sebagai pemisah, merimbun deretan pepohon besar dan lama yang dijaga dengan baik - dikatakan ada yang berusia lebih 240 tahun. Itulah antara keunikannya.

Kediaman Pengurus Besar PCCL, kini muzium
Muzium Sungai Lembing yang terletak di atas bukit kecil tidak jauh dari Sungai Kenau ini asalnya rumah kediaman bagi pengurus-pengurus besar syarikat lombong bijih timah di Sungai Lembing. Ianya bermula dengan The Pahang Corporation Limited (1887-1906) hinggalah ke zaman kegemilangan The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) dari tahun 1906 hinggalah tahun 1986 apabila harga timah jatuh menjunam.

Muzium 2 tingkat ini terdiri daripada 11 galeri. Bermula dengan sejarah Sungai Lembing, diikuti sejarah perlombongan, proses perlombongan, diorama perlombongan, peralatan dan jentera digunakan, kaedah perlombongan sehinggalah kepada ekonomi perlombongan.

Terdapat 1001 jenis barangan diperagakan - dari barangan kegunaan harian sehinggalah jentera perlombongan yang besar. Suasana perlombongan dengan kedalaman mencecah 700 meter dan laluan terowong sejauh 320 km yang digambarkan melalui diorama seakan mencabar kewarasan akal di zaman moden ini.

Inilah dia winch..
Beberapa jenis acuan kayu untuk membuat alat-alat ganti bagi kegunaan mesin-mesin juga menarik perhatian kami. Selain itu terdapat juga roda kiew dan winch iaitu sebahagian daripada peralatan untuk menaik atau menurunkan pekerja, barangan dan peralatan di kolong serta menarik bijih.

Alat pemadam api yang berusia lebih 50 tahun, gerobok batu, gerudi gergasi dan pelarik besi juga merupakan antara koleksi menarik di muzium ini.

Menyusuri setiap bahan yang dipamerkan, terdetik rasa kagum betapa bernilainya warisan yang ditinggalkan demi tatapan generasi mendatang. Sewajarnyalah sejarah tanah air dipelajari dan diambil tahu oleh setiap individu kearah melahirkan kecintaan yang sebenar terhadap negara.

Gambaran laluan terowong bawah tanah
Langkah seterusnya... sepatutnya kami memasuki Terowong Sungai Lembing (lombong bawah tanah) yang terletak bersebelahan muzium tetapi kami simpan dahulu hajat untuk kunjungan akan datang. Tidak seronok rasanya tanpa Imran, Solehah (juga Izzuddin) dan ibu bersama. Inshaa ALLAH di lain kesempatan.

Sebelum meninggalkan muzium, kami singgah seketika di kedai cenderahati, D' Mine Shoppe bersebelahan kaunter tiket. Banyak sekali barangan yang menarik hati; antaranya kemeja T, topi, pen, jam, cawan, fridge magnet, poskad, pemidang gantung, produk yang diperbuat daripada bijih timah dan buku-buku sejarah berkaitan dengan Sungai Lembing. Pastinya fridge magnet menjadi pilihan sebagai koleksi utama kami.

AlhamduliLLAH... sempat juga kami berjemaah Zohor di Masjid Jamek Sungai Lembing, seterusnya menjamakkan solat Asar sebelum bertolak balik ke MS Garden.

No comments: