Tuesday, January 31, 2017

Cuti2 Malaysia > Muzium Daerah Dungun

Pada petang 06 Disember, 2016 lalu kami turun ke Dungun, Terengganu dan menginap di Teluk Lipat Seaview Inn - betul-betul menghadap ke laut lepas. Tujuan kami ke Dungun adalah mengiringi Imran menghadiri temuduga kemasukan ke SM Imtiaz Yayasan Terengganu bertempat di SM Imtiaz Dungun pada keesokan paginya.

Muzium yang lenggang...
Sebenarnya Dungun bukanlah yang tempat asing bagi kami berdua. Dahulu saya pernah belajar di SM Sains Dungun dan ITM (Institut Teknologi MARA) - kini UiTM. Manakala Laili pula pernah berkerja di Bandar Dungun dan Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) juga di Dungun. Itu lebih 20 tahun lalu. Sekarang telah banyak perubahan ketara... lebih moden dan tersusun.

Jadi, hadirnya kami ke Dungun bagaikan mengamit kenangan silam. Lebih manis lagi, Laili sempat berjumpa dengan rakan karibnya yang berpisah kira-kira 20 tahun lalu, Adibah yang kini telah pun menetap di Teluk Lipat, Dungun. AlhamduliLLAH... kami makan malam di Medan Ikan Bakar di muara Sungai Dungun Terima kasih Adib..!

Antara tarikan di Dungun
Sesi temuduga di SM Imtiaz Dungun berakhir sekitar jam 11:30 pagi. Masih ada masa untuk memenuhi permintaan Imran untuk berkunjung ke Muzium Daerah Dungun yang terletak beriringan Jalan Pantai Sura menuju ke Kuala Dungun.

Muzium Daerah Dungun adalah sebuah muzium yang terdapat di daerah Dungun, Terengganu. Sebagaimana lain-lain muzium, fungsinya sama - memberi penerangan dan mempamerkan artifak sejarah daerah Dungun dam sekitarnya.

Muzium ini telah dibuka secara rasmi pada 19 Ogos, 2008. Asalnya ia sebuah rumah kediaman Penasihat British yang dibina pada tahun 1941. Seterusnya menjadi kediaman rasmi Pegawai Daerah. Sememangnya ada nilai sejarah tersendiri tetapi perlu diberikan perhatian khusus kerana tampak agak suram dan uzur. Ada baiknya jika dapat dipindahkan ke bangunan yang lebih cantik dan menarik minat pengunjung.

Antara artifak lama
Lebih menyedihkan, ketika kunjungan kami, langsung tiada pengunjung selain kami. Malah tiada penjaga kaunter yang mengalu-alukan pelawat. Yang ada hanya seorang pengawal keselamatan.

Terdapat 2 tingkat di Muzium Daerah Dungun. Di Tingkat Bawah terdapat kisah sejarah muzium, penemuan unik di Dungun; antaranya pokok cengal terbesar dan spesis ikan terkecil di dunia serta tempat-tempat menarik di Dungun. 

Manakala di Tingkat Atas pula berkaitan dengan sejarah awal Dungun, aktiviti arkeologi di Ulu Dungun dan Kg. Pasir Raja, penemuan pelbagai artifak lama, perlombongan bijih besi di Bukit Besi, perkembangan pendidikan, pengangkutan air dan seni budaya hidup masyarakat setempat.

Teruja dengan penemuan Kapal Wanli
Bagi kami, barangan yang paling menarik dipamerkan di Muzium Daerah Dungun adalah artifak yang diambil dari bangkai kapal Wanli yang telah dijumpai di luar Pantai Tanjung Jara pada tahun 1997 oleh nelayan tempatan. 

Hasil kajian mendapati kapal yang membawa artifak ini berasal dari Jingdezhen, China dan digunakan semasa Dinasti Ming oleh pemerintahan Maharaja Wanli  antara tahun 1573-1620 Masihi.

Tidak lama kami di Muzium Daerah Dungun ini. Namun terlalu banyak nilaian sejarah kehidupan yang dapat dihayati dan dipelajari. Segalanya aturan ALLAH SWT yang akhirnya terserlah keagunganNYA yang Maha Berkuasa dan betapa kerdilnya kita sebagai hambaNYA. 

SubhanaLLAH... ALLAHu Akbar...!

No comments: