Ketika cuti Krismas baru-baru ini, kami sekeluarga telah ke Lumut, Perak. Kami bergerak dari rumah di Saujana Puchong sekitar jam 10:30 pagi. Sebelum tiba di Lumut, hasrat kami adalah ke Teluk Intan, Perak - bandar kecil di Hilir Perak di mana Laili pernah bermukim ketika di awal alam pekerjaannya kira-kira 25 tahun dahulu.
Sekitar jam 12:00 tengahari, kami tiba di Masjidut Taqwa di Kg Padang Tembak, Teluk Intan. Menurut seorang teman WhatsApps, di belakang masjid terdapat Warung Cendol Teluk Intan yang terkenal dengan pelbagai cita rasa cendol, laksa dan sup. Itulah juadah makan tengahari kami. Ianya dibuka setiap hari (kecuali Isnin) dari jam 11:30 pagi - 6:00 petang sahaja dan ditutup ketika waktu solat. AlhamduliLLAH... ada barakahnya.
Sedikit Condong ke Barat Laut |
Tumpuan utama kami di Teluk Intan adalah mercu tanda kebanggaannya - Menara Jam Condong Teluk Intan ibarat Menara Condong Pisa di Itali. Menara yang berketinggian 25.5 meter ini dibina pada tahun 1885 berbentuk pagoda (senibina Cina) kerana majoriti penduduknya ketika itu berbangsa Cina.
Pada pandangan luaran, ianya adalah bangunan 8 tingkat tetapi hakikatnya hanya 3 tingkat sahaja. Setiap tingkat berketinggian 5 meter dan terdapat kira-kira 110 anak tangga kesemuanya. Pada dindingnya terutama di Tingkat 1 dihiasi gambar-gambar bersejarah berkaitan Menara Condong dan juga Bandar Teluk Intan yang dahulunya dikenali sebagai Teluk Anson.
Masuklah... tiada sebarang bayaran dikenakan. Cuma dialu-alukan untuk menulis nama pada Buku Pelawat di pintu masuk.
Di tingkat paling atas di tempatkan sebuah tangki air yang besar, berukuran 15 meter tingginya dengan kadar muatan air 18.4 meter padu. Tujuannya untuk kecemasan seperti kemarau dan kebakaran.
Galeri Sejarah Menara Jam Condong |
Apabila dibayangkan... terasa amat menggerikan... Moga-moga segalanya di bawah pengawasan dan pemantauan berterusan dari pihak berkuasa.
Kami berkesempatan menapak ke setiap tingkat sambil meninjau persekitaran Bandar Teluk Intan dari beranda di tingkat-tingkat berkenaan. Diharapkan bangunan bersejarah ini akan terus terpelihara sebagai salah sebuah monumen terkenal di tanah air - kekal terus selamanya sebagai warisan kepada generasi akan datang.
Hampir setengah jam di Menara Condong, kami meneruskan perjalanan kami ke Swiss Garden Apartment, Damai Laut di mana kami akan menginap selama 3 hari 2 malam.
No comments:
Post a Comment