Guru adalah insan yang teramat banyak berjasa dalam kehidupan setiap orang. Walau siapa pun kita, jasa bakti seorang guru tiada taranya. Tiada siapa dapat menafikannya. Tanpa guru tiada ertinya kehidupan ini.
Secara umum, guru merujuk kepada sesiapa sahaja yang memberi didikan dan tunjuk ajar dengan tujuan menjadikan diri seseorang itu lebih baik di masa hadapan. Secara khususnya, guru merujuk kepada para pengajar atau pendidik di semua peringkat pengajian pendidikan yang bersilibus termasuklah di sekolah rendah, sekolah menengah mahu pun kolej/ universiti.
Fokus kami kali ini adalah kepada guru-guru di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK). Sekolah rendah di pinggiran Middle Ring Road II yang sinonim dengan filem Masam Masam Manis arahan Almarhum Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1965.
Keempat-empat orang anak kami; Izzudin, Hanisah, Solehah dan Imran - semuanya bersekolah di SKHK. Izzuddin dari Tahun 1 hingga 4 (2003-2006). Hanisah pula dari Tahun 1 hingga 2 sahaja (2005-2006).
Setelah hampir 4 tahun di perantauan Adelaide dan Melbourne, kami kembali ke tanah air. Izzuddin dan Hanisah memasuki sekolah menengah. Warga SKHK diganti pula oleh Solehah selama 2 tahun pada Tahun 5 dan 6 (2011-2012). Paling lama Imran, dari Tahun 1 hingga 6 (2011-2016).
Selama anak-anak belajar di SKHK, kami amat berpuas hati dengan prestasi pembelajaran mereka. Jika diukur dari segi peperiksaan, semuanya memuaskan - kedudukan yang baik di dalam kelas dan meraih keputusan cemerlang dalam UPSR masing-masing. AlhamduliLLAH...Semuanya anugerah ALLAH... atas kegigihan para guru yang tiada penat lelahnya dalam memberikan yang terbaik kepada anak-anak. TAHNIAH dan Terima kasih Cikgu.
Sekian lama kami berhasrat meraikan para guru SKHK ini secara khusus, istimewa untuk mereka sahaja. Tambahan pula anak-anak kami semuanya telah pun meninggalkan alam sekolah rendah. Hajat ini terlaksana akhirnya pada tengahari 29 Disember 2016 iaitu ketika para guru ini datang bermesyuarat di sekolah sebelum bermulanya sesi persekolahan 2017. Mereka dijemput untuk makan tengahari di rumah kami, hanya bersebelahan SKHK.
AlhamduliLLAH... hampir 40 orang guru hadir termasuklah Guru Besar yang baru sahaja mendaftarkan diri di SKHK (maaf.. jika tidak silap Cikgu Azmi namanya..;).
Paling seronok apabila dapat bersama-sama dengan beberapa orang guru yang turut mendidik keempat-empat anak kami sejak tahun 2003 lagi (hampir 15 tahun lamanya); antaranya Cikgu Radzi dan Cikgu Suzana.
Kemuncak sambutan adalah acara belahan kek 'Terima Kasih Cikgu' yang disempurnakan oleh anak bongsu kami, Imran. Simboliknya... kini anak-anak pula berbakti kepada guru walaupun sekadar menghulurkan sepotong kek.
AlhamduliLLAH... moga semuanya berpuas hati. Jamuan yang diatur bukanlah untuk membalas budi tetapi sekadar untuk menghargai. Moga para guru SKHK terus istiqamah penuh sabar dalam mendidik anak-anak agar menjadi insan yang membawa erti dalam kehidupan di dunia dan akhirat.
Terima Kasih Cikgu...!
No comments:
Post a Comment