Monday, March 10, 2008

PRU12 - TAHNIAH Rakyat Malaysia

Munajat Tok Guru menjelang pilihanraya meruntun perasaan

Tanggal 08 Mac 2008 telah mengukir pahit manis dalam sejarah pilihanraya di Malaysia. Barisan Nasional (BN) bagaikan dilanda ‘tsunami’ pada PRU ke 12 ini. BN hanya mampu memenangi 140 kerusi Parlimen sahaja daripada 222 kerusi yang dipertandingkan. Itupun hampir 60 kerusi dari Sabah dan Sarawak. Selebihnya (82 kerusi) dikuasai oleh Barisan Rakyat (PAS, PKR dan DAP). Sekaligus menafikan majoriti dua pertiga BN.

Lebih parah lagi 5 negeri berjaya ditawan oleh Barisan Rakyat (BR) – Kelantan (kekal sejak 1990), Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Malah Wilayah Persekutuan KL juga menerima nasib yang sama, hanya kerusi Parlimen Setiawangsa dimenangi oleh BN dari 10 kerusi. Diberitakan keputusan PRU ke 12 ini adalah rekod terburuk untuk BN.

Lebih tragis lagi, 4 menteri penuh dan 10 timbalan menteri telah kecundang. Samy Vellu di kerusi tradisinya Sungai Siput, Zainuddin Maidin di Sungai Petani, Aziz Shamsuddin di Shah Alam dan Shahrizat Abdul Jalil di Lembah Pantai. M. Kayveas, Presiden PPP; Awang Adek, bakal MB Kelantan dan G. Palanivel, Timbalan Presiden MIC; antara timbalan menteri yang kecundang. Pemangku Presiden Gerakan, Koh Tsu Koon, bekas KM Pulau Pinang juga kecundang sebelum sempat merasai jawatan kabinet.

Keputusan ini kami ketahui melalui internet kira-kira jam 06:00 pagi (09hb) waktu di Melbourne atau jam 03:00 pagi di Malaysia. Seakan-akan tidak percaya. Ingatkan sekadar kekal di Kelantan dan beberapa kejutan di peringkat Parlimen dan DUN. Apa pun setinggi-tinggi TAHNIAH kepada RAKYAT MALAYSIA. Kalian telah membuat keputusan yang amat bijak, sekaligus menggembirakan kami di perantauan.
Azizan Abdul Razak menerima watikah perlantikan Menteri Besar Kedah

TAHNIAH kepada yang menang terutama Barisan Rakyat. Gelombang revolusi rakyat nampaknya benar-benar terserlah. Pelbagai analisa dan ulasan kekalahan BN dan kemenangan BR diperkatakan. Antaranya amarah rakyat akan kenaikan harga minyak, tol, utiliti dan barangan harian. Keangkuhan dan sikap ego kerajaan serta pemimpin-pemimpinnya juga dianggap sebagai penyebabnya. Pendekatan setiap parti BR dilihat lebih profesional dengan tawaran yang lebih menyenangkan mampu mengubah persepsi masyarakat.

Menariknya beberapa pasangan anak beranak, menantu dan adik beradik telah memenangi kerusi Parlimen. Lim Kit Siang (DAP) dan anaknya Lim Guan Eng (DAP). Karpal Singh (DAP) dan anaknya, Gobind Singh Deo (DAP). Dr. Wan Azizah (PKR) dan anaknya Nurul Izzah (PKR). Tidak ketinggalan Abdullah Ahmad Badawi (BN) serta menantunya, Khairi Jamaluddin (BN). Pasangan adik beradik pula Shahrir Abdul Samad (BN) dan adiknya Khalid Abdul Samad (PAS).

Pak Lah melafazkan ikrar baru sebagai Perdana Menteri di hadapan YDP Agong, Tuanku Mizan
Masyarakat Cina dan India nampaknya benar-benar berubah angin. MCA, Gerakan dan MIC seolah-olah tidak relevan lagi. Cuma rasa amat terkilan dan pelik kenapa Terengganu seakan-akan hanya dilanda ombak kecil sahaja, masih kekal di tangan BN. Hanya 8 kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen (Marang) sahaja dimenangi. Secara peribadi, dipercayai pihak BN berjaya menggunakan pengundi luar seperti strategi pada PRU ke 11 dahulu. Peliknya peratusan keluar mengundinya agak besar, hampir 90% berbanding negeri-negeri lain, sekitar 78% sahaja. Lebih pelik lagi, dalam suasana negeri-negeri di sekitar mengalami momentum perubahan yang ketara, terlalu kecil impaknya di Terengganu. Begitu juga di Perlis yang pemimpinnya sedang bercakaran. Sedangkan angin perubahan mampu menembusi Johor yang “pure” BN.

Walaupun terkilan dengan Terengganu dan Perlis tetapi gembira dengan Selangor. DUN Hulu Kelang kini di tangan PAS (Shaari Sungib) dan Parlimen Gombak dikuasai PKR (Azmin Ali). Keangkuhan bekas MB, Khir Toyo untuk mencipta sejarah Pembangkang Sifar akhirnya memakan diri. Tak disangka dirinya kini bergelar pembangkang. Apa kata dikotakan hasrat beliau, pelawa kesemua wakil BN masuk pakatan BR, maka jadilah Pembangkang Sifar.

Pesan kami kepada para tok wakil (Parlimen dan DUN), bersyukurlah padaNya atas kurniaan kemenangan itu. Ianya adalah satu amanah yang amat berat dan akan disoal di akhirat kelak. Ingati pesan Tok Guru Nik Abdul Aziz, usah berdendam dan lupakan sengketa pilihanraya. Berkhidmatlah seikhlasnya untuk rakyat kerana Allah SWT.

No comments: