Saturday, March 1, 2008

Menapak di Melbourne Zoo

Zoo dan kanak-kanak cukup sinonim. Di mana ada zoo, maka di situlah kanak-kanak tertumpu. Begitu juga Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran. Melbourne Zoo yang terletak lebih 40 km dari rumah menuju ke arah City sememangnya menjadi idaman mereka. Telah lama mereka meminta untuk ke sana tetapi kerap kali tertangguh. Akhirnya hari Sabtu, 2 minggu lepas (16/02/2008), hasrat mereka tertunai juga. Jelas terpacar rona keseronokan di wajah mereka.
Koleksi foto di zoo boleh dilihat di bahagian Album Foto Kami di sebelah kiri blog atau klik di sini.

Dari segi sejarah, Melbourne Zoo dikatakan zoo tertua di Australia dan ketiga tertua di dunia. Ianya mula dibuka pada tahun 1862 di Royal Park dengan beberapa ekor monyet dan haiwan tempatan. Pembangunannya mula rancak setelah Albert le Souef dilantik sebagai Zoo Director pada tahun 1870. Singa, harimau, beruang dan banyak lagi haiwan mula dibawa masuk secara berperingkat-peringkat dari seluruh dunia. Alfred Dunbavin Butcher juga membuat perubahan yang amat bermakna sepanjang 40 tahun berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah dari tahun 1962 – 1987. Pembangunan zoo berterusan sehingga kini, terbaru “Stories From The Seas” sedang dibina bagi menempatkan hidupan laut. Hingga kini terdapat lebih 3,000 haiwan dipelihara di Melbourne Zoo yang berkonsepkan zoo moden.
Waktu melawat Melbourne Zoo dibuka mulai jam 09:00 pagi hingga jam 05:00 petang. Untuk hari tertentu di musim panas ini, adakala dibuka sehingga jam 09:30 malam dengan persembahan Zoo Twilights. Kami bertolak sedikit lewat, hampir jam 10:30 pagi dan tiba kira-kira jam 11:30 pagi. Cuacanya agak baik, tak berapa panas. Kami masuk melalui pintu belakang zoo (Rail Gate Entrance) di Poplar Rd, berhadapan Railway Station.

Tiketnya agak mahal, family ticket $58.40 - sama harga untuk masuk ke Healesville Sanctuary dan Werribee Open Range Zoo. Teringat akan Zoo Negara di Hulu Kelang, jika harga tiket seumpama itu pasti ramai yang akan membantah. Harga sekarang pun ramai yang dah mengeluh, kononnya mahal. Tak hairanlah prasarana dan kebajikan haiwan di Zoo Negara kurang memuaskan.

Satu persatu kandang dan kawasan haiwan kami lewati. Pelbagai jenis haiwan kelihatan selesa dalam habitat masing-masing (realitinya mungkin mereka rasa terkongkong). Emu, kangaroo, wombat, platypus, gajah, zirafah, singa, orang utan, gorila, panda, monyet, burung, kupu-kupu dan pelbagai lagi haiwan masing-masing dengan “dunia” tersendiri. Sesekali kami bergambar berlatar belakangkan mereka, juga gambar haiwan itu sendiri. Anak-anak nampaknya begitu seronok sekali. Banyak soalnya itu dan ini. Mereka berkejaran mengejar rama-rama dan kupu-kupu di Taman Kupu-kupu. Juga mengintai dan mengagah haiwan di kandang.
Kawasan zoo agak luas, mungkin seluas Zoo Negara. Seingat kami, tidak kelihatan langsung zoo train yang membawa pengunjung, semuanya berjalan kaki sahaja. Mungkin ada tetapi bergantung kepada permohonan berkumpulan. Juga tiada sesi persembahan haiwan, cuma sesi penerangan sewaktu makan mereka sahaja. Difahamkan untuk memberi kehidupan lebih natural kepada haiwan, bukan sekadar untuk tontonan dan hiburan. Menariknya, setiap haiwan disediakan kawasan yang agak luas, berkonsepkan persekitaran semulajadinya terutama haiwan tropika seperti gajah, zirafah, singa, orang utan, kuda belang dll.

Memasuki kawasan gajah, kami terperanjat membaca tanda arahnya dalam bahasa Melayu, “Kampung Gajah Ke arah Ini”. Papan tandanya pula hampir semuanya dalam dwi-bahasa, bahasa Melayu dan Inggeris. Begitu juga di kawasan orang utan dan kupu-kupu yang terletak bersebelahannya. Mungkinkah kerana gajah dan orang utan tersebut didatangkan dari Malaysia, Thailand dan juga Indonesia?
Terdapat 5 ekor gajah. Mek Kapah dan Bong Su dibawa dari Malaysia sekitar tahun 1974 dan 3 ekor lagi dari Thailand. Manakala orang utan pula dari Borneo, dipercayai dari kawasan Orang Utan Sanctuary di Sabah. Mungkin juga pembiayaan dan program berkaitannya turut dinaungi oleh kerajaan negara-negara berkenaan. Malah deretan kedai makan di situ hampir semuanya dengan senarai makanan Indonesia.

Secara umumnya, jika dilihat pada tumpuan para pengunjung, gajah dan orang utan mempunyai daya tarikan yang utama. Di samping kawasan habitatnya yang luas dan menarik, personaliti haiwan yang unik itu sendiri menarik perhatian mereka. Malah persekitaran baru yang mula dibuka pada March 2003 untuk gajah, dikenali sebagai Trail of the Elephants mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Di samping kandang haiwan, pihak zoo juga menyediakan banyak kawasan rehat berpadang yang luas. Kami singgah makan bekal yang dibawa berdekatan kedai cenderamata pintu masuk utama, sempatlah dibeli beberapa cenderamata sebagai kenang-kenangan. Terdapat 4 kedai cenderamata di dalam zoo, di Main Entrance, Rail Gate Entrance, Japanese Garden dan Elephants Barn.

Selepas makan, anak-anak berkejar ke Historical Carousel yang terletak bersebelahannya, menaiki kuda merry-go-round, $3 seorang. Tak sangka pula Imran takut naik. Carousel ini hanya dibuka pada cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah sahaja. Itupun dari 11:30 pagi hingga 02:00 petang sahaja.

Kami keluar dari zoo kira-kira jam 03:30 petang, terus pulang ke Dandenong kerana petangnya ada jemputan Minum Petang di rumah Sdr Wafir-Suharti. Naik kereta sahaja Imran terus berdengkur tidur di kerusinya, dituruti oleh abang dan kakak-kakaknya. Penat betul nampaknya mereka… 8)

No comments: