Friday, May 27, 2011

Menuntut Ilmu

Sabda RasuluLlah SAW : "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim (lelaki dan perempuan)".
Inilah antara hadis yang kerap diutarakan oleh para guru apabila memperkatakan tentang kewajiban belajar. Ianya diterima pakai oleh setiap orang Islam. Tidak kiralah samada ilmu moden (duniawi) atau pun ilmu agama (ukhrawi). Itulah pendirian saya sendiri sejak dahulu lagi. Umumnya tiada apa silapnya.
Namun apabila menghadap tok-tok guru di masjid, maksud hadis tersebut diperhalusi lagi. Menurut mereka, telah disepakati oleh para ulama', tuntutan di atas sebenarnya menekankan kepada menuntut ilmu fardhu 'ain, bukannya ilmu yang dikejar oleh kebanyakan orang sekarang ini.
Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya' Ulumuddin meletakkan ilmu mengenal Allah SWT di tempat paling utama. Selepasnya barulah ilmu ibadah, feqah, jenayah, muamalat dan sebagainya.
Inilah juga yang diperkatakan ketika sesi tazkirah bersama ahli keluarga. Mereka (termasuk diri sendiri) diperingatkan di samping mengejar kecemerlangan di dalam pelajaran dan pekerjaan, usah diabaikan kewajiban mencari ilmu fardhu 'ain. Di zaman teknologi moden kini, tiada sebab untuk berdalih. Buku, majalah, risalah, ceramah dan kuliah 'bersepah' di merata tempat. Segalanya amat mudah diperolehi. Hanya di hujung jari. Cuma, antara nak atau pun tidak sahaja.
Apabila dikatakan hukumnya wajib menuntut ilmu fardhu 'ain, maka lawannya adalah haram/berdosa bagi yang meninggalkannya.
Justeru itu, saya menyeru kepada diri saya sendiri, ahli keluarga dan juga rakan-rakan yang dikasihi, marilah kita berusaha untuk menambah ilmu sebagaimana yang dituntut.
Menurut alim ulama', kaedah yang paling baik adalah mendatangi majlis-majlis ilmu yang diadakan secara berhadapan dengan para guru. Salah satu tempat yang paling baik adalah di rumah-rumah Allah (masjid, surau, musalla dll) diiringi dengan solat berjemaah.
Hanya redha Allah SWT yang didambakan. Ameen.

No comments: