Wednesday, May 18, 2011

Musim Peperiksaan

Kami mempunyai 2 orang anak di sekolah menengah dan 2 orang lagi di sekolah rendah. Anak-anak di sekolah rendah juga belajar di sekolah agama rakyat di sebelah petangnya.
Bermula hari ini sehingga pertengahan minggu hadapan masing-masing sibuk dengan Peperiksaan Pertengahan Tahun/Semester 1. Di sekolah agama pun sama.
Kasihan melihat mereka bertungkus lumus belajar untuk sekolah kebangsaan dan pada masa yang sama untuk sekolah agama. Sebagai sokongan moral untuk mereka, bersama-sama kami duduk menghadap mereka sambil menunjuk ajar apa yang tidak difahami.
Dua bulan yang lepas mereka telahpun menduduki Peperiksaan Penggal 1. Kini, selepas 2 bulan ada lagi peperiksaan yang perlu mereka hadapi. Sesekali terdengar keluhan dari mereka terutama dari anak-anak di sekolah rendah. "Penatlah, asyik periksa aja". Apa nak dikatakan, demikianlah sistem pendidikan di tanah air.
Kasihan. Segalanya adalah satu kejutan kepada mereka. Tambahan pula mereka baru 4 bulan memasuki sistem persekolahan di tanah air.
Apakan tidak, selama hampir 4 tahun di Australia, peperiksaan bukanlah rutin bulanan mahupun tahunan. Jika ada pun setiap 2 tahun sekali. Peperiksaan yang dikenali sebagai NAPLAN khusus untuk pelajar di Grade 3 dan Grade 5 (sekolah rendah) serta Year 7 dan Year 9 (sekolah menengah). Itupun sekadar penilaian umum bagi memastikan mencapai tahap piawaian pendidikan negara. Para pelajar tidak diminta mengulangkaji di rumah. Cukup dengan tunjuk ajar guru-guru di sekolah. Seusai peperiksaan, kelas berjalan seperti biasa. Peperiksaan utama adalah ketika di Year 12 iaitu VCE (setaraf dengan STPM/Matrikulasi).
Namun segalanya diterima dan dilalui secara positif. Anggaplah ianya sebagai satu latihan. Kami tidak menaruh harapan tinggi untuk mereka mendapat markah tinggi dan kedudukan terpilih di dalam kelas. Belajarlah sedaya mungkin berdasarkan kemampuan yang ada. Namun ianya bukan tiket untuk mengabaikan pelajaran dan proses pembelajaran. Belajar tetap kena belajar. Dari apa yang diperhatikan mereka dapat mengikutinya dengan baik. Kelemahannya tetap ada, lebih-lebih lagi bagi subjek berteraskan Bahasa Malaysia dan juga bahasa Arab/tulisan Jawi. Semangat mereka cukup kuat. Tahniah.
Untuk mereka sentiasa diperingatkan agar solat tidak diabaikan. Sentiasalah berdoa agar dikurniakan kejayaan dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Terlebih lagi sebelum menjawab soalan peperiksaan.
"Ya Allah, permudahkanlah anak-anak kami di dalam menimba ilmu pengetahuanMu. Lapangkanlah hati mereka di dalam menerima ilmuMu. Berkatilah mereka dengan rahmatMu. Ameen, Ya Rabbal 'alameen".
Juga kepada rakan-rakan yang mempunyai anak-anak yang menduduki peperiksaan.

No comments: