Friday, May 27, 2011

Cuti Sekolah

Hari ini adalah hari terakhir di Penggal II-Semester 1/2011. Esok mula cuti sekolah selama 2 minggu. Anak-anak pula baru merdeka dari Peperiksaan Pertengahan Tahun. Apa keputusannya? Tunggulah sekolah dibuka nanti. Harapan kami moga mereka dapat memperbaiki pencapaian terdahulu.
Kebiasaannya, apabila cuti sekolah, anak-anak akan dibawa berjalan @ melancong. Sejak dahulu lagi. Tidak kira ketika di tanah air mahu pun sewaktu di Australia.
Bolehlah dianggap sebagai rutin istirehat untuk kami sekeluarga, melepaskan penat-lelah bersekolah/berkerja. Paling penting masa untuk bersama, jauh dari kebiasaan harian ke persekitaran yang berlainan.
Untuk kali ini sememangnya kami berhajat membawa mereka berjalan-jalan makan angin. Entahlah ke mana tempatnya. Tengoklah keadaan dan kesempatan yang ada.
Minggu pertama rasanya kami tidak kemana-mana. Sepanjang minggu Izzuddin ada kelas tambahan di sekolah. Penghujung minggunya pula, Insya Allah kami akan pulang bercuti ke rumah cik-ayah di Kuala Terengganu untuk beberapa hari.
Foto kenangan ketika bercuti di Milford Sound, New Zealand
Imran pun ada impiannya tersendiri. Sejak sebelum pulang dari Australia lagi permintaannya ke Zoo Negara belum dipenuhi. Zoonya dekat sahaja dengan rumah tetapi syarat yang diletaknya kenalah tunggu musim cuti sekolah. Syaratnya mesti bersama dengan sepupu-sepupu sebayanya; Adam dan Abid. Insya Allah nanti dibawa berbincang dengan ibu bapa mereka.
Sepanjang cuti ini pun banyak undangan ke majlis perkahwinan yang diterima. Begitulah selalunya. Bukan sahaja di sekitar Lembah Kelang, tetapi juga di Terengganu, Kelantan dan Perak. Mohon maaflah, mana yang berkesempatan akan kami hadiri, selebihnya cukuplah sekadar berkirim salam dan ucapan tahniah menerima menantu.
Di samping bergembira dengan cuti sekolah, buku sekolah tidak wajar diketepikan. Jadual belajar perlu disediakan dan kami perlu bersama mereka mengulang kaji apa-apa subjek/modul yang bermasalah. Sela masa yang ada bolehlah dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanafaat.
Diharapkan cuti sekolah selama 2 minggu ini tidak membosankan.
Selamat Bercuti.

No comments: