
Di pertengahan minggu lepas (Khamis, 10/07/2008) bersama kenalan dari Adelaide, keluarga Syidee-Salina dan Lokman-Ida, kami berkunjung ke Lake Mountain, kira-kira 100 km dari rumah kami. Mereka datang ke Melbourne antaranya untuk merasai keseronokan bermain salji. Tujuan mereka adalah untuk ke Mt Buller pada hari Jumaat dan kami pula merancang untuk ke Mt Baw Baw. Setelah dilihat pada Snow Report di internet, didapati Lake Mountain pun telah diliputi salji dan jaraknya tidaklah jauh sangat dari rumah. Maka kami putuskan untuk ke Lake Mountain sahaja. Dan mereka pun turut sama kerana Mt Buller yang ditujui lebih mendekat dari Lake Mountain.

Pakaian salji untuk Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran disewa dari kedai bersebelahan motel dengan harga AUD 20.00 sepasang termasuk kasut dan toboggan (seakan-akan baby bath tub) untuk aktiviti menuruni cerun bukit. Saya dan Laili pula hanya menyewa kasut sahaja, harganya AUD 8.00 sepasang. Sebenarnya pakaian salji mudah sahaja, pakaian tebal dan lapisan luarnya kalis air dan kalis angin. Begitu juga kasutnya.
Rantai tayar (tyre chain) juga disewa, harganya AUD 13.00 sepasang untuk dibaluti pada tayar hadapan kereta ketika mendaki laluan licin dilitupi salji. Bagi 4WD, rantai ini tidak diperlukan. Makluman samada perlu dipasang rantai tayar atau tidak, boleh diperolehi dari pekedai setelah mereka mendapat maklumat dari pihak Alpine Resort Manangement yang menguruskan kawasan riadah salji berkenaan. Ianya bergantung kepada terdapat salji di atas jalan ataupun tidak. Dan pemandu akan ditanya sewaktu membayar tiket masuk. Menurut pekedai tersebut, suhunya ketika itu adalah -1 darjah Celcius dan amat sesuai untuk melakukan aktiviti bermain salji. Jalan pula licin dan basah dengan ais yang mencair.

Semakin ke atas, tompokan salji mula kelihatan di tepian jalan dan di dahan-dahan pokok. Semakin tinggi pendakian, kami semakin teruja dengan pandangan memutih makin ketara di sekitar kami. Pepohonannya sarat disaluti salji dan pinggiran jalan pula membukit timbunan saljinya. Teringat akan suasana dalam filem Narnia.
Kami singgah di hentian 8 km selepas pintu masuk untuk memasang rantai pada tayar. Dataran yang mula dipenuhi salji. Sementara kami berhempas pulas memasang rantai (sebab tiada pengalaman), anak-anak pula tidak melepaskan peluang bermain salji.

Kami, ibu bapa juga tidak melepaskan peluang. Sambil melayan dan mengawasi keghairahan mereka, sesekali kami turut sama meluncur turun bersama anak-anak.

Di samping Toboggan Run, terdapat juga lebih 10 Ski Trails untuk pengemar ski, bermula dari Easiest Trails sehinggalah Most Difficult Trails. Kelas ski juga disediakan kepada yang berminat dengan bayaran tertentu. Kepada yang sukakan aktiviti lasak, terdapat juga Walking Track sejauh kira-kira 2.5 km dari Snowy Hill Car Park sehingga Gerattys Car Park.
Kami di Toboggan Run sehingga gelap malam mula menjengah (05:30 malam). Tiada lagi pengunjung lain kecuali kami tiga sekeluarga. Anak-anak nampaknya masih belum puas. Apakan daya. Insya Allah di lain ketika kami datang lagi.

Kami beredar turun ke hentian 8 km untuk merungkai balik rantai yang dipasang pada tayar. Seterusnya meredah gelap malam menuruni laluan kembali ke motel sewaan. Kami tiba di Black Spur kira-kira jam 06:30 malam. Barangan sewaan dipulangkan terus (kedainya ditutup jam 07:00 malam). Selepas makan dan solat, kami terus tidur dalam kepenatan.
Keesokannya, selepas sarapan, masing-masing menuju arah tujuan masing-masing. Keluarga Syidee-Salina dan Lokman-Ida meneruskan perjalanan ke Mt Buller, manakala kami sekeluarga pulang ke Dandenong. Insya Allah ketemu lagi.
1 comment:
This is a nice blog. I like it!
Post a Comment