Monday, July 14, 2008

Khabar Saudara Di Tanah Air

Di Malaysia, saya berada di Terengganu selama 2 minggu, seterusnya beberapa hari pula di Ulu Klang serta Kg. Bukit Bangkong sebelum bertolak balik ke Melbourne pada pagi 27/06/2008.

Setelah hampir setahun di bumi Australia, dikhabarkan beberapa saudara mara telah pun meninggal dunia. Di Terengganu, Tok Su Li Pulau Bahagia (sememangnya telah lama menderita sakit) dan jiran sebelah rumah, Ayah Long Latif serta Mak Dara (isteri Guru Hj Mohd Baki). Di Lembah Klang pula, telah sedia maklum Atuk Ahmad Bajuri dan Pak Cik Sabaruddin. Al-Fatihah…Bersama Mak dan Abah serta Bat da Aya, sempat kami berkunjung ke rumah Mak Cik Sainah (isteri arwah Pak Cik Sabaruddin) di Kerinchi pada 22/06/2008 malam.

Mak dan Abah sebenarnya baru pulang ke tanah air pada 21/06/2008 setelah hampir 3 bulan tinggal bersama kami di Melbourne.

Di tanah air, bersama Che’ serta Mak dan Abah, kami juga sempat menziarahi saudara-mara yang telah pun lanjut usia dan berkeadaan uzur. Di Terengganu, kami menjenguk Tok Cik Pah di Kg. Manir (adik kepada arwah Tok (nenek), ibu saudara kepada ayah). Tok Cik dah pelupa (nyanyuk) dan kini dijaga oleh anaknya, Mak Cik Yah serta menantunya, Ayah Cik Ramli. Kami juga ke rumah Tok Da Cik Mahir di Kg. Teluk Menara. Tok Da kini mengidap penyakit jantung dan sering kepenatan. Suaminya masih ada tetapi nampaknya tidak berapa sihat.
To Cik Ning pula hanya ditemui ketika dia datang singgah ke rumah. Nampaknya tidaklah berapa sihat juga. Begitu juga To Ngah Jarah yang bergantung kepada balang oksigen untuk bernafas. Tok Cik Nik pun dah lama tidak kelihatan berjalan-jalan. Khabarnya sedang uzur di rumahnya.

Pada 26/06/2008, bersama Mak dan Abah, kami pulang ke Kg. Bkt Bangkong. Tumpuan kami adalah Atuk Sulaiman. Walaupun usia atuk agak tua, 94 tahun tetapi nampaknya masih sihat waalafiat, sama seperti ditinggalkan ketika sebelum ke Melbourne dulu. Cuma makan minumnya sedikit berpantang kerana menghidap kencing manis.

Kami juga singgah di rumah Nenek Jumilah, adik kepada Atuk Sulaiman. Umurnya juga dah lanjut, kira-kira 90 tahun. Banyak bercakap, macam dulu-dulu tetapi sering lupa (nyanyuk). Malah Mak dan Abah pun tidak dikenalinya tetapi masih ingat siapa Hj. Sulaiman.

Tidak dilupakan kami menziarahi adik ipar Abah, Pak Cik Baharom, suami Mak Cik Tugini. Ketika di Melbourne, dikhabarkan telah menjalani pembedahan kerana ketumbuhan di bahagian pinggang. Tak disangka-sangka, tiba-tiba diserang pula angin ahmar @ strok sejak 2 minggu sebelum kami berkunjung. Terbaring di katil dengan lumpuh di sebelah kanan. Menurut Abah dan Mak, keadaannya serupa dengan arwah Atuk Zubir yang meninggal sekitar 15 tahun lalu.

Begitulah lumrah ketentuanNya. Yang hidup pasti akan mati. Yang muda akan menjadi tua (jika dipanjangkan usia). Yang sihat juga mungkin “disapa” sakit tanpa dapat dijangka. Yang didambakan adalah keredhaan. Sebagai hamba, kita redha atas ketentuanNya. Diharapkan juga moga Allah SWT redha ke atas kita. Ameen.

No comments: