Mekah telah dipilih oleh Allah SWT sebagai tempat yang paling mulia. Dimuliakan lagi dengan terdirinya Masjidil Haram dan Kaabah. Ia menjadi tumpuan hamba-hambaNya dari seluruh pelusuk dunia. Malah sewajarnya setiap insan bergelar mukmin berazam untuk menjejakkan kaki masing-masing ke bumi nan barakah ini.
Umumnya, bumi Mekah terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Tanah Haram dan Tanah Halal - suatu ketetapan Allah SWT sejak azali, berkekalan dari waktu bumi dijadikan sehinggalah hari kiamat.
Tanah Haram Mekah
Tanah Haram Mekah merujuk kepada kawasan yang mempunyai beberapa kemuliaan Allah SWT dan beberapa laranganNya yang tidak terdapat di tempat lain.
Tanah Haram ini melingkungi Masjidil Haram dari segenap penjuru dengan panjang sempadannya kira-kira 127 km dengan keluasan sekitar 550 km persegi. Jika para jemaah prihatin, mereka akan ketemui binaan tanda sempadan Tanah Haram tertulis "Beginning of Haram Boundary" atau "End of Haram Boundary" di beberapa tempat tertentu.
Beberapa lokasi di sempadan ini pula diisytiharkan sebagai miqat makani bagi jemaah/ penduduk Mekah yang ingin menunaikan umrah, antaranya Tana'im (7.5 km dari Masjidil Haram), Hudaibiah (23km), Ja'ranah (27 km), Sempadan Arafah (22km) dan Adhaat Libn (16km). Ketika dibawa menziarahi sekitar Mekah, kami berkesempatan berniat ihram di Ja'ranah, Hudaibiah dan Tana'im. Syukur AlhamduliLlah.
Selama 8 hari di bumi Mekah, rombongan jemaah Al-Fajr Travel telah dibawa 2 kali keluar menziarahi tempat-tempat menarik dan bersejarah di bumi Mekah. Ada tempat yang disinggahi dan ada tempat sekadar lalu dan dikhabarkan fungsi tempat berkenaan oleh mutawwif Al-Fajr, Ustaz Dhofir dan pembantunya (lupa pula namanya).
Jabal Thur
Jabal Thur letaknya hanya 4 km ke selatan Masjidil Haram dengan ketinggian kira-kira 458 meter. Di puncaknya terdapat Gua Thur di mana junjungan mulia, RasuluLlah SAW bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq bersembunyi selama 3 hari ketika berhijrah ke Madinah. Dengan rahmat Allah SWT, mereka terselamat daripada ditemui oleh puak kafir Quraisy.
Untuk naik hingga ke pintu gua, pendakian dikatakan mengambil masa sekitar 1 jam setengah. Kami sekadar melihat dari tepi jalan sahaja. Di satu sudut kelihatan para jemaah Indonesia tekun mendengar kisah hijrah RasuluLlah yang disampaikan oleh mutawwif mereka.
Padang Arafah
Inilah tempat berwukuf bagi jemaah haji. Wukuf adalah rukun haji, yakni berada di bumi Arafah walaupun seketika mulai waktu gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. Inilah antara tempat paling mustajab doanya.
Padang Arafah yang berkeluasan hampir 18,000 km2 terletak di luar Tanah Haram. Persekitarannya lapang sahaja, yang kelihatan hanyalah bangunan tandas di banyak lokasi. Ketika musim haji ianya akan dipenuhi khemah putih khusus untuk para jemaah.
Singgahan kami di Padang Arafah adalah berhadapan Jabal Rahmah, bukit batu yang terbentuk daripada bongkahan batu besar. Di puncaknya tertacak tiang putih bersegi empat setinggi 8 m, menjadi tumpuan utama para pengunjung (dan jemaah di musim haji).
Dikhabarkan di sinilah RasuluLlah SAW menyampaikan khutbah wida' (terakhir) dan di sini jugalah bertemunya Nabi Adam a.s. dengan Siti Hawa setelah berpisah kira-kira 40 tahun ketika diturunkan dari syurga. Malah Jabal Rahmah digemari untuk memohon dipermudahkan jodoh. Allahu a'lam.
Di luar musim haji, tanah lapang berhadapan Jabal Rahmah menjadi tempat riadah - menaiki unta dan motorsport. Dengan bayaran SR10, Laili dan Solehah berpeluang merasai pengalaman mengenderai unta tetapi sekejap sahaja, tak sampai pun 5 minit.
Tidak jauh dari Jabal Rahmah, berdiri megah masjid berwarna kuning pinang, Masjid Namirah yang memiliki 6 menara dan 3 kubah. Difahamkan RasuluLlah SAW dan nabi-nabi sebelumnya bersolat di sini. Merentasi hadapan masjid adalah Wadi 'Uranah yang menjadi pemisah antara Tanah Haram dan Tanah Halal.
Muzdalifah & Mina & Jamrah
Kami hanya melihat Muzdalifah dan Mina, dua kawasan bermalam (mabit) yang diwajibkan bagi jemaah haji ini dari cermin bas sahaja sambil diberikan penerangan oleh mutawwif. Ditunjukkan juga dari kejauhan kawasan melontar bertingkat; Jamratul Kubra, Wusta dan Sughra.
Di musim haji, khemah-khemah berwarna putih yang kalis api dan berhawa dingin akan didirikan untuk keselamatan dan keselesaan para jemaah.
Walaupun ketika kunjungan kami suasana di Arafah, Muzdalifah dan Mina kelihatan lenggang sahaja tetapi jauh bezanya ketika musim haji nanti. Bagi yang pernah menunaikan ibadah haji, pasti dapat merasainya.
Ladang Unta
Kami tidak pasti apakah nama tempatnya. Yang pasti, kami melalui kawasan penempatan nomad kaum Badwi - rumah/khemah kecil di kaki-kaki bukit yang tandus.
Tidak jauh daripadanya terdapat banyak kelompok unta yang dikandangkan, diuruskan secara persendirian. Setiap kandang dihuni sekitar 10-15 ekor unta, sebahagiannya anak-anak yang sedang galak menyusu. Dan susu itu jugalah menjadi sumber pendapatan utama mereka, khususnya daripada para pengunjung.
Rombongan kami singgah di salah sebuah daripadanya, disambut mesra oleh penjaganya. Unta-untanya amat jinak, dipegang dan ditepuk tidak membantah. Kami juga ditunjukkan demonstrasi memerah susu unta. Kaedahnya agak kasar, berebut dengan si anak unta. Ketika mulut si anak mula menghisap puting ibunya, maka dirampas puting tersebut dan diperahkan susu masuk ke mangkuk besar.
Kami turut membeli beberapa botol susu yang masih segar dan suam ini. Sebotol kecil harganya SR 5. Rasanya sedap dan Imran amat menyukainya.
Malah dikatakan air kencing unta boleh diminum sebagai ubat - ada yang membelinya. Entahlah... kami tidak pasti apa hukumnya, lebih-lebih lagi mengingatkan bahawa asalnya adalah najis. Wallahu a'lam.
Masjid Miqat
Dalam kesempatan yang ada, AlhamduliLlah kami diluangkan oleh Allah SWT untuk berniat ihram umrah di 3 miqat iaitu di Masjid Ji'ranah, Masjid Hudaibiah dan Masjid Tana'im.
Masjid Ji'ranah
Masjid ini terletak di perkampungan Wadi Sarif, kira-kira 22km dari Masjidil Haram. Malah dikatakan Ji'ranah adalah tempat terbaik untuk berniat ihram umrah bagi penduduk Mekah dan sekitarnya kerana RasuluLlah SAW pernah melakukannya.
Di sini jugalah turunnya ayat ke-196 dari Surah al-Baqarah,"Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah".
Ianya adalah umrah kedua buat kami sekeluarga. Imran, Solehah dan Hanisah pun turut sama berniat ihram umrah, bersama-sama ahli rombongan lain.
Masjid Hudaibiah
Jarak masjid ini dari Masjidil Haram sekitar 24km. Kawasan masjid ini merupakan tempat para sahabat melakukan baiah (akujanji) kepada RasuluLlah SAW untuk memerangi kafir Quraisy pada tahun 6H. Rentetan daripadanya lahir kegerunan di hati pemuka Quraisy sehingga termeterainya Perjanjian Hudaibiah.
Di belakang masjid terdapat kesan tinggalan tembok batu bata yang tampak masih utuh. Berkemungkinan ianya musnah akibat kebakaran kerana ada kesan-kesan hitam pada tembok.
Menurut ustaz mutawwif, itulah Masjid Uthman yang mengambil nama Sayyidina Uthman bin Affan, wakil RasuluLlah SAW bertemu puak kafir Quraisy sebelum perjanjian berkenaan dipersetujui bersama.
Untuk umrah ketiga ini, Imran dan Solehah tidak turut serta setelah tidak tahan dengan himpitan dan tolakan ketika melakukan tawaf pada umrah kedua selang sehari sebelumnya. Tidak mengapalah, ianya satu pengalaman yang amat bernilai bagi mereka.
Masjid Tana'im
Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Sayyidah Aisyah setelah beliau disuruh oleh RasuluLlah SAW ke Tana'im untuk berniat ihram umrah ketika melakukan Haji Wada' pada tahun 9H. Masjid ini letaknya sekitar 7 km sahaja dari Masjidil Haram - lokasi berniat ihram umrah yang paling dekat.
Kami ke Tana'im di sebelah pagi menaiki kereta sewa (SR 50 pergi-balik) bersama abah, Hadi dan Hanisah. Emak tidak ikut serta kerana diserang lelah. Solehah dan Imran ditinggalkan bersama emak di bilik hotel. Ini adalah umrah terakhir kami sebelum berangkat pulang ke tanah air pada keesokan harinya.
Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat menarik di Mekah al-Mukarramah. Insya Allah kiranya berpeluang di lain kesempatan ingin sekali kami menziarahi Jabal Noor, Gua Hira', Perkuburan Ma'la (jasad Siti Khadijah disemadikan), kilang pembuatan Kelambu Kaabah, Muzium Mekah, Mata Air Zubaidah, Telaga Thuwa, Maktabah Mekah (tapak kelahiran RasuluLlah SAW) dan juga masjid-masjid yang merakamkan sejarah berkaitan RasuluLlah SAW. Moga dipermudahkan olehNya. Ameen.
No comments:
Post a Comment