Tuesday, May 8, 2012

Catatan Mekah : Perjalanan

Kembali kita ke Madinah.....

Ziarah Perpisahan

Hari ke-4, hari terakhir di Madinah. Dikhabarkan bas yang membawa jemaah umrah Al-Fajr Travel akan bergerak ke Mekah selepas solat Zohor. Di sebelah pagi, beg-beg telah dilonggokkan di lobi hotel. Seterusnya masing-masing mengambil kesempatan berjalan-jalan di sekitar hotel penginapan, membeli belah ataupun beriktikaf di Masjid Nabawi.

Sebelum meninggalkan Masjid Nabawi, kami meluangkan masa seketika di maqam RasuluLlah SAW demi melaksanakan ziarah wada'. Sebak hati dibuatnya apabila salam perpisahan dilafazkan...

"Selamat tinggal Ya RasuluLlah (SAW). Bilakah lagi kita akan bertemu?"

"
Ya Allah, panjangkanlah usia kami untuk dapat bertemu lagi dengan kekasihMu, Insya Allah ketika menunaikan ibadah haji nanti. Ameen".

Miqat Bir 'Ali

Selepas makan tengahari, kami mandi sunat ihram dan bertukar pakaian kepada pakaian ihram di bilik hotel. Inilah pengalaman pertama bagi kami (saya dan Imran) memakai kain tidak berjahit tanpa seluar dalam. Khuatir juga, bagaimana agaknya jika kainnya terlurut turun. Insya Allah segalanya OK apatah lagi dengan memakai tali pinggang.

Bagi perempuan pula, pakaian ihram mereka mudah sahaja, sama seperti dalam solat. Sebaiknya memakai seluar panjang bagi memudahkan pergerakan.

Masjid Bir 'Ali, kira-kira 7 km dari Madinah adalah miqat bagi jemaah dari Madinah. Itulah destinasi kami sebelum bertolak ke Mekah al-Mukarramah.

Perjalanan kami ke Bir 'Ali tergendala hampir sejam kerana bas kami terlibat dalam kemalangan ketika baru sahaja bergerak dari perkarangan Elyas Silver Hotel.

Memasuki Masjid Bir 'Ali, kami bersolat sunat ihram, diikuti solat Asar berjemaah. Seterusnya masing-masing berniat menunaikan ibadah umrah dan berihram dengannya. Maka bermulalah 13 larangan dalam berihram (rujuk risalah umrah/ haji) di mana jika melanggarinya akan dikenakan dam (denda).

Menuju Mekah

Menaiki bas, kami bertalbiah (menyahut panggilan Allah SWT) bersama-sama dengan dipimpin oleh Hj. Zakaria dan Hj. Zulkarnain. Suatu amalan sunnah yang amat dituntut. Namun selepas 15 minit, tiada lagi kedengaran suara talbiah. Segalanya sunyi sepi. Mungkin telahpun terlena ataupun melayan fikiran masing-masing.

Di kiri kanan jalan, pemandangannya serupa sahaja - padang pasir tandus dengan bukit-bukau berbatu dan pepohonan yang amat jarang kelihatan.

Anak-anak begitu enak sekali tidur. Menjenguk rakan-rakan lain, fenomenanya pun serupa. Akhirnya kami pun turut terlelap. Sedar-sedar bas mulai bergerak perlahan dan menyinggah di suatu hentian rehat. Kami tidak pasti apa nama tempatnya. Yang pasti terdapat mussolla untuk bersolat, tandas awam, kedai serbaneka Zain Mini Market dan ruang makan duduk beralas.

Di sinilah masing-masing menunaikan solat jamak ta'akhir Maghrib-Isyak dan makan malam yang disediakan oleh Al-Fajr Travel.

Tiba Di Mekah

Menyambung perjalanan, suasana di dalam bas kembali sunyi sehinggalah tiba di Mekah al-Mukarramah sekitar jam 11:00 malam. Di dalam kelam malam, hati ini terasa amat tersentuh, apatah lagi apabila terpandang Masjidil Haram. Tidak semena-mena hati mula terasa sebak dan terharu.

"AlhamduliLlah. Setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga padaMu Ya Allah... akhirnya kami dapat menginjakkan kaki ke Tanah SuciMu yang penuh barakah ini. Terimalah kami sebagai tetamuMu. Permudahkanlah segala urusan kami dan himpunkanlah kami di kalangan mereka yang mendapat rahmatMu. Ameen".

Hotel penginapan kami adalah Golden Asia Palace Hotel yang terletak di al-Hijrah St, kira-kira 500 meter dari Masjidil Haram. Malangnya kami tidak dapat masuk kerana masih ada penghuninya. Dimaklumkan tengahari esoknya baru boleh dimasuki. Untuk itu disediakan bilik sementara di apartmen di seberang jalannya.

Bersama abah, Hadi dan Imran, kami ditempatkan di tingkat 6 (bilik kecil 6 katil + bilik air). Emm... mengah juga dibuatnya menginjak anak-anak tangga. Manakala Laili berserta Hanisah, Solehah, emak dan 4 orang mak saudara bersesak-sesak di dalam satu bilik di tingkat 2. Redhalah... Bagi kami ianya satu ujian dan latihan untuk ibadah haji nanti.

Jam 12:00 tengah malam, ahli rombongan Al-Fajr Travel bergerak ke Masjidil Haram bagi menunaikan tawaf, saie dan bergunting. Kami memilih untuk tidur dahulu dan bangun jam 3:00 pagi untuk melengkapkan ibadah umrah tersebut dengan dipandu oleh abah dan emak yang telah biasa dengannya. Dek kepenatan, sekejap sahaja telah pun terlena sehinggalah terjaga sekitar jam 2:30 pagi.

No comments: