Umumnya, Masjidil Haram meliputi Kaabah, kawasan tawaf di sekelilingnya serta semua bangunan, dataran dan halaman untuk bersolat termasuklah ruangan pembesaran sejak dahulu sehinggalah kini. Difahamkan luas keseluruhannya telah mencapai 644,000 meter persegi dan boleh menampung lebih sejuta jemaah. SubhanaLlah, betapa luasnya...
Tentang sejarah Masjidil Haram dan Kaabah, rasanya tidak perlulah disentuh - kisahnya terlalu panjang. Boleh sahaja dirujuk melalui internet atau bahan bacaan lain. Malah telah ramai yang mengetahuinya.
Aura Masjidil Haram dan Kaabah
Gambar Masjidil Haram dan Kaabah mudah sahaja dapat dilihat di mana-mana. Namun aura dan keterujaannya tidak sama dengan melihatnya tersergam indah dan gagah di hadapan mata sendiri. Apatah lagi dapat melihat dan menyentuh binaan Kaabah. Terdetik di hati,"Ya Allah kini kami menjadi tetamu di rumahMu, rahmatilah kami".
SubhanaLlah... tidak terungkap oleh kata-kata. Perasaan halus menyebak jiwa. Bagi sesetengah orang bisa mengalirkan air mata kegembiraan, keinsafan dan ketakjuban. Apatah lagi dapat bersujud di hadapan Kaabah. Itulah yang kami rasai dan alami.
Di sekitar Masjidil Haram, projek pembangunan hotel baru dan pusat perniagaan giat dijalankan - bagi menampung bilangan jemaah haji/umrah yang semakin bertambah setiap tahun. Banyak kawasan berhampiran telah ditutup dan bangunan sedia ada dalam proses untuk diruntuhkan.
Sebagai panduan untuk kami, jam besar berhadapan Pintu 1 sentiasa menjadi penanda arah bagi mengelakkan dari tersesat jalan pulang ke hotel.
Ziarah Solat
Lazimnya tiada ziarah khusus ke Masjidil Haram. Maka kunjungan ke masjid di setiap waktu solat boleh dimanafaatkan sebaik mungkin untuk mengenali Masjidil Haram dan Kaabah. Dengan ratusan pintu besar dan kecil di sekelilingnya, pilihlah yang mana suka.
Rasailah kelainan setiap ruangan solat yang disediakan; samada di dataran Kaabah, di anjung masjid menghadap Kaabah, di tingkat atas atau bawah, di ruangan berhawa dingin atau berkipas angin ataupun di dataran masjid beratapkan langit dengan simbahan cahaya bulan atau matahari.
Banyak ruangan yang telah kami cuba. Paling seronok adalah beriktikaf menghadap terus ke arah Kaabah walaupun terpaksa sesak berhimpitan. Namun dalam banyak keadaan, kami selalunya berada di ruangan berhawa dingin di tingkat bawah untuk memberi keselesaan kepada anak-anak untuk membaca Al-Quran dan berehat (biasanya tidur) terutama ketika berlama-lamaan di masjid dari waktu Asar sehingga selepas solat Isyak.
Sesuatu yang menarik di Masjidil Haram adalah saf solat yang melengkung kerana arah kiblatnya adalah Kaabah yang berada di tengah-tengah masjid. Juga tiada waktu larangan untuk bersolat sunat. Dan paling utama, ganjaran 100,000 pahala bersolat di Masjidil Haram mengatasi solat-solat di masjid biasa. Siapa yang mampu menolak anugerah yang amat mewah ini?
Solat Jumaat dan Jenazah
Kami berpeluang menunaikan solat Jumaat di Masjid Haram. Juga pengalaman menarik bagi Laili dan anak-anak perempuan. Jemaahnya melimpah ruah, memenuhi setiap penjuru ruang solat sehingga ke kaki lima di luar Masjidil Haram. Malah dalam panas terik yang memeritkan, dataran Kaabah yang terbuka dan dataran luar masjid pun tidak terkecuali. Rupa-rupanya demikianlah lazimnya kerana ianya hari cuti umum. Maka jemaah dari Tanah Halal pun turut berjemaah di Masjidil Haram.
Ketika melangkah keluar, tidak disangka himpitan dan tolakan para jemaah begitu kuat sekali. Imran yang dipimpin sentiasa tersepit dan kesesakan bernafas, maka terpaksalah diangkat ke atas. Untuk keluar dari dataran masjid pun sama. Fuhh... dahsyat sekali. Di sana sini kedengaran, "Sobar ya Sheikh, Sobar... Sobar...".
Di samping itu solat jenazah berlangsung hampir setiap kali selepas solat. Cuma lewat sedikit dari suasana di Masjid Nabawi, Madinah. Sempat lagi untuk bersolat sunat sementara menunggu lafaz takbir dari imam. Alangkah beruntungnya sesiapa yang meninggal di Mekah dan Madinah...ditakdirkan pula pada hari Jumaat. SubhanaLlah.
Air Zam-Zam
Di segenap penjuru masjid tong-tong air zam-zam mudah sahaja ditemui. Itulah hidangan utama kami apabila tiba di masjid dan sebelum melangkah keluar. Juga ketika sebelum dan selepas tawaf serta sewaktu bersaie. Air mulia yang penuh barakah diteguk dengan doa-doa tertentu, moga diperkenankan oleh Allah SWT. Ameen. Betapa bertuahnya para tetamu Allah SWT yang berkunjung ke Mekah dan Madinah dapat minum sepuas-puasnya secara percuma.
Untuk bekalan minum, biasanya kami masukkan ke botol mineral sahaja. Air zam-zam ini juga digunakan untuk berwuduk. Terdapat beberapa lokasi stesyen air pancur yang dibolehkan, antaranya di tingkat bawah dan bersebelahan Kaabah. Bagi Laili dan anak-anak perempuan pula mereka menggunakan penyembur wuduk yang dibawa bersama.
Usah terkejut jika terlihat jemaah yang menyorong kerusi roda yang dipenuhi botol-botol besar air zam-zam. Bagi sesetengah negara, jika ingin dibawa pulang perlu diuruskan sendiri samada dibeli dengan harga sekitar SR15/botol (5L) atau dapatkan secara percuma di Masjidil Haram. Pandai-pandailah jika tidak ingin berkonfrontasi dengan pengawal masjid.
Wakaf Al-Quran
Seperti mana di Masjid Nabawi, di Masjidil Haram pun kami turut menyumbang beberapa naskhah Al-Quran, di samping kiriman daripada rakan-rakan di tanah air. Harganya masih sama, SR 50 untuk saiz kecil (hijau) dan SR 100 untuk saiz besar (biru). Perlu dimaklumi hanya mushaf Madinah sahaja diperakui untuk dikekalkan tempatnya di Masjidil Haram, selain daripadanya akan dikeluarkan oleh petugas masjid. Dan hanya melalui Pintu Al-Malik Fahd sahaja dibenarkan untuk dibawa masuk.
Penjual Jalanan
Di laluan-laluan menuju ke Masjidil Haram selalunya menjadi lokasi jualan para penjual jalanan. Biasanya di kalangan warga berkulit hitam - tidak pasti mana asalnya. Malah terdapat segelintir warga Indonesia yang turut mengambil kesempatan. Di tengah-tengah sesak para jemaah bergerak keluar dari masjid, mereka mula menebarkan hasil jualan mereka. Dahlah sesak, makin bertambah sesaklah jadinya.
Harganya memang murah berbanding kedai-kedai di sekitarnya tetapi perlu berhati-hati. Ketika serbuan mengejut pihak berkuasa, mereka akan segera bungkus kain dan terus melarikan diri. Jika duit kita masih berbaki di tangan mereka akan turut sama dibawa lari.
Peminta Sedekah
Pada masa yang sama para peminta sedekah turut sama beroperasi menadah simpati jemaaah. Lazimnya ibu-ibu yang bercadur hitam dengan anak-anak kecil dan paling menyedihkan deretan kanak-kanak yang kudung tangan/kaki. Diperhatikan kanak-kanak ini ada penjaganya yang sempurna sifatnya. Kerap kali juga kanak-kanak ini dimarahi di tengah khalayak ramai. Adakah mereka ini satu sindiket?
Jadi terserahlah bagaimana ingin bersedekah kerana pahala melakukan kebaikan di bumi Mekah tiada tara balasannya di sisi Allah SWT. Malah, ada baiknya juga jika dihulurkan sedekah (dan dam) kepada para pekerja am Masjidil Haram yang bertungkus lumus menjaga rumah Allah SWT.
Dataran Kaabah
Di dataran Kaabah, jemaahnya pasang surut - adakala ramai adakala kurang. Yang pasti ketika solat malam (Maghrib-Isyak-Subuh), para jemaah suka berada di dataran. Tidak seperti ketika matahari di atas kepala sehingga waktu Asar.
Para jemaah yang bertawaf tidak putus-putus, tidak kira masa bagaikan jarum jam yang sentiasa berpusing - samada tawaf umrah/wajib atau tawaf sunat.
Terdapat beberapa tempat di sekitar Kaabah yang menjadi tumpuan jemaah, mengakibatkan kesesakan yang luar biasa. Masing-masing berusaha meraih ganjaran pahala berganda dan mustajabnya doa yang dipohon.
Paling utama di Hajarul Aswad, para jemaah bertolakan untuk mengucupnya. Saya pernah mencuba tetapi tidak berjaya. Malah pernah beberapa kali saya dipelawa dengan lembut oleh 2 jemaah Indonesia,"Pak...silakan pak, kami bantu". Saya menolak sambil tersenyum kerana sedar ianya satu sindiket yang meminta upah ratusan Riyal. Malah terdapat kenalan yang terkena. Masya Allah... di depan Kaabah pun ada yang sanggup melakukannya.
Di Multazam (antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah) dan berdekatan maqam Ibrahim juga menjadi tumpuan ramai. Malah ada yang bersolat di situ (juga laluan tawaf.) Begitu juga terdapat jemaah wanita bersolat di ruangan yang dikhaskan kepada jemaah lelaki, semata-mata ingin bersama suami atau mahram terdekat. Suatu sikap mementingkan diri yang tidak sepatutnya ada. Teguran para jemaah lain serta petugas Kaabah tidak diendahkan, malah ada yang membantahnya.
Hijr Ismail (lengkungan kecil di bawah pancur emas) juga bersesak-sesak dan berhimpitan para jemaah masuk untuk bersolat dan berdoa. Dikatakan, memasuki Hijr Ismail seumpama memasuki dalam Kaabah. AlhamduliLlah, kami berdua berserta Hanisah diberi ruang dan peluang oleh Allah SWT berada di Hijr Ismail ini.
Demikianlah sepintas lalu pemerhatian dan pengalaman yang kami lalui. Sebenarnya masih banyak lagi yang ingin dikisahkan tetapi rasanya cukup sekadar itu. Mohon diampunkan oleh Allah SWT atas segala salah dan silap.
2 comments:
Terima kasih atas perkongsian menarik .. ia memberi persediaan mental utk ibadah umrah ..
dan terima kasih untuk cerita 2 jemaah yang akan membantu untuk mengucup hajarul aswad.
AlhamduliLlah. Moga ada manafaatnya. Ameen.
Post a Comment