Monday, September 29, 2008

Khatam Al-Quran

Syukur AlhamduliLlah. Pagi ini selepas Subuh kami sekeluarga khatam Al-Quran 30 juz, menyamai kejayaan tahun lepas. Rencam tadarus yang dimulakan sejak awal Ramadhan dilakukan secara tetap selepas solat Maghrib dan Subuh, sekurang-kurangnya 1 juz sehari.

Bersama Laili dan anak-anak, Izzuddin dan Hanisah, kami bergilir-gilir membacanya sambil disemak oleh yang lain. Setinggi-tinggi perhargaan kepada semua terutama anak-anak yang bersemangat jitu, lebih-lebih lagi berjaya melawan ngantuk selepas bangun sahur dan solat Subuh.

Diharapkan agar amalan tadarus ini akan diteruskan di bulan-bulan lain selepas Ramadhan dengan lebih terancang. Sebelum ini mereka juga bertadarus tetapi agak perlahan. Natijahnya agak lambat pula untuk khatam. Insya Allah, moga dipermudahkan oleh Allah.

Teringat akan tazkirah Ustaz Khairul Anuar selepas solat tarawikh-witir di Malaysia Hall pada hujung minggu baru-baru ini.
Al-Quran bersifat “cemburu”. Kiranya sehari kita tinggalkan, maka seminggu kita akan dilupakan. Jika seminggu ditinggalkan, maka sebulan pula kita akan dilupakan. Jika sebulan, maka setahun kita akan dilupakan. Kiranya setahun tidak pernah kita membacanya, maka selamanya kita akan dilupakan oleh Al-Quran.

Moga ianya menjadi pedoman untuk kita semua. Bukan sekadar untuk dibaca tetapi dikurniakan kekuatan untuk mengamalkannya. Ameen.

No comments: