Tuesday, September 23, 2008

Bazar dan Iftor Ramadhan @ Malaysia Hall

Setiap petang Sabtu, sepanjang Ramadhan ini, kami bertandang ke Malaysia Hall. Bukan sekadar berbuka dan bertarawikh, tetapi turut sama memeriahkan Bazar Ramadhan yang diadakan di perkarangan letak kereta. Kami berjual dendeng (daging lembu ketuk bersambal) yang kami namakan Dendeng Dandy, sempena nama tempat yang kami tinggal, Dandenong.
Resepi dendeng ini dari emak Laili, yang diperturunkan dari orang-orang tua sebelumnya. Rasanya enak sekali dan boleh bertahan lama. Amat sesuai untuk simpanan dan kegunaan sepanjang Ramadhan. Lebih-lebih lagi pembuka selera ketika bersahur.

Pada awalnya hanya sekadar cuba-cuba sahaja, tak sangka pula berlanjutan setiap minggu. Minggu pertama, pengunjung dan penjual tidak ramai, mungkin kerana awal bulan. Minggu kedua, rakan penjual bertambah mendadak tetapi pengunjungnya hanya sedikit penambahannya. Hujung minggu baru-baru ini pengunjungnya agak ramai, kebetulan diadakan majlis jamuan aqiqah anak Sdr Nizam-Ruby dari Clarinda, Clayton. Turut kelihatan rakan-rakan dari Dandenong; keluarga Abang Nordin-Kak Siti, Wafir-Suharti, Lajiman-Suraya dan Badrul.

Majlis berbuka pada hari berkenaan mendapat sambutan hebat, penuh sesak ruang dalam Malaysia Hall. Dianggarkan sekitar 200 orang yang hadir, sekali ganda dari minggu-minggu sebelumnya. Kurma yang diedarkan tidak sempat sampai ke tangan. AlhamduliLlah dapat secubit kuih sebagai penanda berbuka puasa. Nasi dan biri-biri aqiqah + ayam habis licin. Syukur… dapat juga merasa walaupun sekadar kuah dan cebisan daging.
Solat Maghrib terpaksa bersesak-sesak. Hampir semua ruang kosong dijadikan tempat bersujud. Malah ada yang terpaksa menunggu giliran berikutnya. Solat tarawikh juga ramai, kira-kira separuh dari hadirin berbuka puasa. Cukup-cukup memuatkan ruang solat yang disediakan.

Oya.. tentang dendeng. Jualan minggu pertama kurang memuaskan, mungkin kurang pengunjung. Minggu kedua tidak mencukupi setelah diserbu rakan-rakan dari Thomastown dan Bundorra. Hari Sabtu baru-baru ini boleh tahan. Walaupun tak habis tapi memuaskan kerana kami buat lebih sedikit. Sabtu mendatang belum pasti lagi.

Satu meja jualan bersama kami adalah sahabat lama dari Thomastown, Shaharuddin-Azizah yang menjual pelbagai kueh-mueh. Bersebelahan kami adalah Khairuddin-Azliza dari Clayton menjual aneka kek. Lain-lain juadah dan kueh-mueh yang boleh didapati di Bazar Ramadhan antaranya, nasi ayam, ayam percik, ikan bakar, kueh keria, roti jala, tau fu fa, lompat tikam, kueh pelita, bubur lambuk dan macam-macam lagi kueh tradisional Melayu.

Tidak hairanlah Bazar Ramadhan menjadi tumpuan ramai. Inilah masanya dapat melihat dan merasa ole-ole cita rasa Melayu yang dibuat sendiri oleh orang-orang Melayu, bezanya mereka kini berada di Melbourne. Sekurang-kurangnya terubat juga rasa rindu dan nostalgia terhadap tanah air tercinta.

No comments: