Tuesday, September 16, 2008

Suasana Ramadhan di Melbourne

Pejam celik, pejam celik, tak sedar masa berlalu begitu cepat sekali. Rupa-rupanya dah 15 hari kita berpuasa Ramadhan. Insya Allah, tinggal separuh bulan lagi untuk dihabiskan.

Berpuasa di Australia, dengan suasana awal musim bunga yang masih lagi sejuk, diselangi panas yang menyegarkan kurang terasa hausnya. Suhu sekarang sekitar 15 darjah Celcius, panasnya adakala mencecah 25 darjah Celcius dan sejuknya pula sesekali di bawah 7 darjah Celcius.

Waktu imsak dan berbukanya beranjak memanjang biasanya seminit setiap hari. Permulaan puasa waktu imsaknya kira-kira jam 05:09 pagi dan berbuka jam 06:01 petang. Pada akhir Ramadhan, waktu imsaknya beranjak ke jam 04:23 pagi dan berbukanya pula pada jam 06:25 petang. Bermakna sehari berpuasa kira-kira 13 hingga 14 jam.

Berpuasa di rantauan amat berbeza dengan Malaysia. Ramai di kalangan rakan-rakan bukan Muslim tidak mengetahui akan Ramadhan dan kaedah berpuasa yang diamalkan. Menjadi kewajipan kami untuk menerangkan semudah mungkin untuk kefahaman mereka. Dugaan puasa pula lebih sedikit terutama bagi kaum Adam. Dengan cuaca yang adakala panas menyebabkan kaum wanitanya mula bergaya dengan pakaian ala musim panas yang lebih terdedah. Soal makan minum tiada bezanya dari hari-hari biasa. Bagi yang berpuasa, sabar sahajalah melihatnya, terutama anak-anak di sekolah.

Di sini tiada Bazar Ramadhan di merata tempat yang menjual pelbagai juadah seperti di tanah air. Namun atas usaha persatuan pelajar, Badan EHSAN; diadakan bazaar seumpamanya di Malaysia Hall, Melbourne City pada setiap petang Sabtu. Pelbagai makanan citra-Malaysia seperti badak berendam, laksa penang, bubur lambuk, bubur kacang, karipap, rendang, kuih sago, ayam percik dan bermacam-macam lagi boleh diperolehi, diusahakan sendiri oleh para pelajar dan keluarga mereka. Kami tidak ketinggalan membuka gerai menjual dendeng, dikenali Dendeng Dandy (Dandy, short form Dandenong). AlhamduliLlah, 2 minggu berjual hasilnya memuaskan.

Ketika berbuka, terkenang akan suasana di tanah air. Masjid Ulu Klang pasti menjadi tumpuan saya setiap petang. Mudah dan selesa. Berbuka ala kadar terus bersolat Maghrib, seterusnya makan nasi berlauk yang disediakan. Di Melbourne, kami berbuka di rumah bersama keluarga. Sesekali memenuhi jemputan kenalan. Di masjid pun ada tapi tidak pernah ke sana. Lebih selesa di rumah lagi.

Walaupun jauh di rantaun, amalan bertukar-tukar juadah masih diamalkan di kalangan kami rakyat Malaysia. Begitu juga jemputan berbuka berpuasa. Ada di kalangan rakan-rakan di sebelah utara yang mengadakan solat tarawikh dan tadarus secara bergilir-gilir rumah. Malah majlis berbuka puasa, solat tarawikh dan tazkirah turut diadakan di Malaysia Hall setiap hari di Malaysia Hall. Kami hanya ke sana seminggu sekali sahaja iaitu pada hari Sabtu, bersekali dengan Bazar Ramadhan. Anak-anak pula berpeluang mengikuti program Asuhan Ramadhan yang diadakan ketika ibu bapa mengerjakan solat tarawikh.

Solat tarawikh juga dilaksanakan di Masjid Emir Sultan berdekatan rumah kami. Amalannya sedikit berbeza daripada yang biasa dilakukan di tanah air. Mereka adalah dari mazhab Hanafi. Bilangan rakaatnya tetap 20 rakaat tarawikh tetapi dikerjakan 4 rakaat dengan 1 salam. Selepas salam dibaca selawat Rasul seperti intro Jejak Rasul di TV3. Solat witir pula juga 3 rakaat tetapi dengan 1 salam. Pada rakaat ke-3 sebelum rukuk, dilafazkan sekali takbir dengan masing-masing membaca doa (tak pasti doa apa yang dibaca). Tiada doa qunut pada 15 malam terakhir Ramadhan seperti diamalkan oleh pengikut mazhab Shafie. Menarik, tidak secara langsung kita dapat mengenali dan memahami amalan lain-lain mazhab dalam Ahlu Sunnah wal Jamaah. Namun kebanyakan masa kami mengerjakan solat tarawikh dan witir berjemaah di rumah dengan kaedah seperti di tanah air.
Di samping itu, bersama ibu Laili, Izzuddin dan Hanisah, kami bertadarus setiap selepas solat Maghrib dan solat Subuh, sekurang-kurangnya 1 juzuk sehari. Matlamat kami khatam Quran pada Ramadhan tahun ini, sama seperti tahun lepas.

Dalam melalui hari-hari terakhir di bulan Ramadhan yang mengandungi barakah dan fadilat yang tidak terperinya, diharapkan kita semua dikurniakan kekuatan iman dan semangat. Tambahan pula dengan adanya anugerah Lailatul Qadar yang dijanjikan fadilatnya seumpama amalan hampir 84 tahun. Amat rugi kiranya ianya terlepas begitu sahaja. Moga kita dipermudahkan olehNya. Ameen.

No comments: