Friday, September 19, 2008

Puasa Anak-Anak

Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah. Dikenali juga sebagai bulan kesabaran. Secara praktiknya itulah yang menjadi pegangan dan amalan Izzuddin, Hanisah dan Solehah.

Sehingga semalam, hari ke-18 Ramadhan, sehari pun mereka tidak miss puasa. Setiap hari mereka bangun bersahur dan menahan lapar dan dahaga sehinggalah ke petang. Bagi Izzuddin dan Hanisah, tiada masalah kerana telah membiasakan diri setiap tahun sejak di tanah air lagi. Lain pula bagi Solehah. Tahun lepas, sehari pun tidak berpuasa. Tak tahan lapar katanya. Tut.. tut.. tahun ini dengan penuh semangat larat bertahan setiap hari, sehari penuh. Sehinggalah kini masih belum tinggal lagi. Cuma bangun sahur agak liat sedikit, terpaksa melawan ngantuk dan sejuk pagi.

Menurut Solehah, di kelasnya, Grade 1/2 P; dari beberapa pelajar Muslim, hanya dia seorang sahaja yang berpuasa. Malah mampu menahan diri melihat rakan-rakan sekelas makan ketika waktu rehat. Begitu juga mampu bertahan walaupun terlibat sama dalam kegiatan sukan. Awal puasa, makanan dan minuman dibekalkan seperti biasa tapi langsung tidak disentuh. Kini tiada lagi bekalan seumpamanya, malah menolak jika ditawarkan. Tabik untuk Solehah.

Tidak terkecuali Izzuddin yang terlibat dalam perlawanan sukan mewakili sekolah di peringkat inter-school setiap minggu. Juga Hanisah dengan kegiatan hariannya di sekolah. Lebih menyedihkan ramai di kalangan rakan-rakan Muslim mereka di peringkat usia 10 – 12 tahun tanpa segan silu tidak berpuasa.

Setiap hari, selepas solat Maghrib dan selepas solat Subuh, mereka bersama kami bertadarus. Tekad kami sama seperti tahun lepas, sama-sama khatam Al-Quran sebelum berakhirnya Ramadhan. Insya Allah, moga dipermudahkan olehNya.

Tiada sebarang ganjaran mahupun ikatan janji sebagai upah untuk mereka. Sebelum Ramadhan, telah dijelaskan akan tujuan sebenar berpuasa dan ganjaran tidak bertepi yang bakal dianugerahkan oleh Allah. AlhamduliLlah mereka faham akan tanggungjawab mereka. Moga mereka terus istiqamah melaksanakannya, selamanya. Ameen.

1 comment:

advisor penny stock said...

well its nice to know that you have great hits here.