Wednesday, February 13, 2008

Yang Datang dan Yang Pergi

Datang dan pergi bersilih-ganti. Begitu halnya dengan rakan-rakan Post Graduates yang datang “mengaji” di bumi kangaroo ini. Orang baru datang dengan semangat yang berkobar, pasrah menempuh segala onak dan duri yang mendatang. Orang lama pula bersengkang mata dan naik turun tangga Uni mengejar masa yang terasa amat singkat untuk menyiapkan tesis. Sampai ketikanya perlu pulang ke Malaysia. Itulah lumrah kehidupan.

Di awal tahun ini ramai rakan-rakan baru yang datang dan ramai juga yang berangkat pulang ke tanah air. Yang baru datang amat dialu-alukan dengan sokongan moral setakat yang termampu. Manakala yang akan/ telah pulang diiringi dengan ucapan terima kasih atas segalanya dan mohon maaf atas salah dan silap, Insya Allah ketemu lagi kita.

Jika dirujuk pada laman web Victoria Malaysia Post Graduates (VMPG), kedapatan ramai rakan-rakan baru yang baru tiba dan akan tiba dalam masa terdekat ini. Malah yang datang lebih ramai daripada yang berangkat pulang terutama para pensyarah universiti yang melanjutkan pengajian di peringkat PhD.

Yang Datang

Din (baju kuning) dan Azizah (tudung kuning) ketika bertamu ke rumah Kak Yati di Ringwood
Sdr Shaharuddin (Din) sekeluarga (isteri, Azizah dan 4 anak perempuan) tiba pada 14/01/2008 lalu. Din adalah kenalan lama lebih 10 tahun lalu, ketika berkerja di MIMOS Berhad. Beliau kini pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM – dahulu dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIS) belajar di La Trobe University dalam bidang IT. Mereka tinggal di Thomastown.

Keluarga Zainah ketika berkunjung ke rumah kami pada hari baru tiba di Melbourne

Sdr Zainah (Zai) bersama suaminya, Huzaizi dan 3 anak (2 perempuan, 1 lelaki) tiba pada 20/01/2008. Mereka bernasib baik mendapat rumah sewa yang diduduki keluarga Aznan yang baru sahaja mengosongkan rumah di Suzanne St, Dandenong – mengekalkan komuniti Dandenong kepada 7 keluarga. Zai mengikuti pengajian PhD dalam bidang Human Resource di Victoria University. Beliau adalah kakitangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sdr Amira dan suami, Azril berserta 2 anak perempuan tiba akhir tahun lepas. Mereka tinggal di Clayton. Amiza melanjutkan pengajian peringkat PhD di Monash University.

Sdr Norhaini tiba beberapa hari lalu dan kini tinggal di Frankston. Beliau dari HUKM dan belajar Master dalam bidang Nursing.

Dengar khabar ramai “orang baru” yang telah pun sampai. Ramai lagi yang akan menyusul kemudian. Insya Allah akan dimaklumkan dari masa ke semasa terutama melibatkan kenalan-kenalan baru.

Yang Pergi @ Pulang

Bersama keluarga Dr. Yusof & Dr. Mariana di rumah Haidar-Nor, sehari sebelum berangkat pulang

Hujung minggu baru-baru ini (08/02/2008), kami menghantar Dr. Mariana Daud diiringi suaminya, Dr. Yusof dan 4 anaknya; Fikri, Fahmi, Faizi dan Fazli serta pembantu rumahnya, Nora ke airport. Mereka berlepas pulang jam 12:45 pagi keesokan harinya. Dr. Mariana mengikuti Paediatric sub-speciality course selama hampir 10 bulan di Monash Medical Centre. Dr. Yusof pula datang menjenguk sekali sekala ketika ada cuti kerana turut sama mengikuti Surgery sub-specialty course di Singapura. Dr. Mariana adalah kenalan lama Laili sejak belajar di peringkat ijazah lagi di UKM. Ditakdirkan mereka berjumpa di Melbourne. Beliau akan kembali bertugas di Hospital Kubang Kerian, Kelantan.

Bersama keluarga Aznan-Su di rumah Lajiman sewaktu majlis perpisahan Dandenong

Pada hujung minggu lepas pula, terdapat 2 keluarga yang pulang. Yang pertama, keluarga Aznan Che Ahmad yang dikenali sebagai “Penghulu Dandenong” berserta isteri, Sulina dan anak-anak; Nurshafinaz @ Along, Nurshafika @ Angah dan rakan baik (sekelas) Iddin, Muhammad Shafaiz. Mereka telah berlepas pulang pada pagi 02/02/2008 setelah lebih 3 ½ berada di sini. Kata Along, mereka dah 4 kali merasa sambutan raya di rantauan, pasti rindunya akan suasana raya di Malaysia amat terasa… 8). Sdr Aznan adalah pensyarah di USM dan melanjutkan pengajian di University of Melbourne di peringkat PhD dalam bidang pendidikan.

Bersama Zamzuri (baju biru) dan isterinya, Aziah (berbaju belang) pada petang hari bertolak ke airport

Yang kedua adalah keluarga Zamzuri dan isteri, Aziah serta 4 orang anaknya telah pun pulang ke tanah air sehari selepas keluarga Aznan. Sdr Zamzuri juga pensyarah di USM, mengambil PhD di Swinburne University. Sebelum datang ke Australia, mereka berada di Sweden kerana Zamzuri menyambung pengajian di sana. Menurut Aziah, mereka dah 7 tahun tidak pulang ke tanah air, satu jangkamasa yang agak lama. Diharapkan tiada kejutan budaya yang bakal dihadapi oleh anak-anak terutama dalam persekolahan kerana sistemnya amat berbeza. Mereka tinggal di Clayton.

Sdr Istas dan isteri berserta 3 anaknya telah pulang ke tanah air pada 05/02/2008. Istas mengikuti pengajian peringkat PhD di RMIT. Mereka tinggal di Preston, hampir 30 km dari Dandenong.

Dr. Asmahan berserta 2 anaknya telahpun pulang ke tanah air pada akhir Jan 2008 baru-baru ini. Beliau di sini hanya 9 bulan sahaja, mengikuti sub-speciality course di Monash Medical Centre. Mereka tinggal di Clayton. Suaminya berkerja di Ranhill Corp. di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, kerap datang tika kelapangan.

Sdr Mahazan yang juga tinggal di Clayton pula telah berangkat pulang pada 23/01/2008 yang lalu. Beliau adalah tutor di USIM dan mengikuti pengajian peringkat Master di Monash University. Katanya, jika diizinkan beliau akan datang kembali ke Melbourne untuk meneruskan pengajian di peringkat PhD. Moga tercapai bagai yang dicita.

Sdr Saiful dan orang rumahnya juga pulang ke tanah air pada awal tahun ini. Kedua-duanya adalah pensyarah UIA Cawangan Kuantan, sama-sama belajar di peringkat Master di University of Melbourne. Nampaknya mereka agak bersemangat sekali untuk menerapkan konsep pembelajaran di sini. Moga dipermudahkan oleh Allah.

Untuk semua, selamat maju jaya.

No comments: