
Awalnya tak percaya juga. Paginya baru sahaja terbaca berita di akhbar online, PM Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi menafikan Parlimen akan dibubarkan pada hari tersebut. Tut… tut… petangnya berubah bicara pulak. Apa nak buat, sebagai PM, kuasa ada pada tangannya.
Apa pun, kini gendang perang PRU-12 telah pun dipalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula telah menetapkan tarikh 22 Februari sebagai Hari Pencalonan dan 13 hari selepasnya, 08 Mac sebagai Hari Mengundi.
Setiap parti politik dan calon mula menyusun langkah untuk memenangi hati pengundi. Pelbagai janji dan habuan pasti menjadi santapan harian. Provokasi dan kontroversi pula akan dimainkan tanpa batasan. Media massa tidak ketinggalan, sentiasa mencari ruang untuk mensensasikan setiap isu. Barisan Nasional dengan manifesto ala-Islam Hadhari dan janji pembangunan. Manakala Barisan Alternatif pula dengan tawaran Negara Kebajikan dan janji perubahan.

Malaysia akan disegani dan bergerak maju kiranya pimpinan negara di kalangan mereka yang berwibawa, berakhlak tinggi serta bermaruah. Rakyat juga akan merasa selamat dan terjaga kebajikannya. Contohilah arus perubahan yang dilakukan oleh rakyat di Australia di dalam Pilihanraya Umum baru-baru ini. Liberal Party pimpinan John Howard yang dilihat agak ego telah digantikan dengan pentadbiran Labor Party pimpinan Kevin Rudd yang dikatakan lebih prihatin.
Selamat mengundi kepada rakan-rakan di tanah air. Kalian adalah harapan kami.
No comments:
Post a Comment