Hujung minggu baru-baru ini terasa amat singkat sekali. Bukan sahaja kerana ada tetamu di rumah, keluarga Shaharuddin dan Azizah (Din & Gee) tetapi aktiviti harian kami sendat dengan pelbagai urusan.


Pagi Sabtu, aktivitinya seperti biasa, membeli belah di pasar dan pasaraya dan juga membawa anak-anak ke perpustakaan. Petangnya kami berkunjung ke rumah Abg Hamzah di Lynbrook untuk menemui keluarga Zamzuri dan Aziah yang juga akan pulang ke Malaysia pada malamnya. Zamzuri telah menamatkan pengajiannya di Swinburne University hampir 3 bulan lalu. Tak ramai yang datang, mungkin mereka dah berjumpa sebelum ini, sedangkan kami baru sahaja mengetahuinya semalam.
Di rumah Abg Hamzah, kami bersua dengan kenalan baru, pasangan Singapura - Indonesia, Abg Yahya dan Kak Azizah yang telah lama menetap di Victoria. Sekarang mereka tinggal di Endevour Hill, bersebelahan Dandenong. Juga keluarga Abg Yusof yang datang belajar di sini dan tinggal di Broadmeadows, tidak jauh dari lapangan terbang.

Din & Gee amat bertuah kerana mendapat “durian runtuh”, barangan rumah yang tidak diperlukan dari keluarga Aznan dan Dr. Mariana yang perlu mengosongkan rumah sewa mereka kerana akan pulang ke tanah air. Penatnya kurang terasa kerana turut sama dibantu oleh rakan-rakan dari Clayton; Radin, Hanip, Fahmi dan Naquib. Mereka memunggah naik barangan di rumah Dr. Mariana dan turut sama membantu ketika memunggah turun ketika di rumah Din-Gee. Berbanyak terima kasih pada semua. Kami sampai balik ke Dandenong kira-kira jam 07:00 petang. Malamnya selepas solat Isyak terus terlelap.
Walaupun badan terasa amat lesu dan masa yang berlalu terasa amat singkat tetapi terasa amat puas sekali. Kepuasan yang tidak dapat dinukilkan dengan kata-kata melihat keintiman, sikap toleransi dan ikatan ukhwah sesama insan. Betapa pentingnya memupuk dan membajai hubungan silaturahim kerana buah kemanisannya akan dirasai tanpa kita sedari.
No comments:
Post a Comment