Saturday, February 2, 2008

Salam Takziah > Dato' Ishak Baharom

InnaliLlahiwainna iLlahirajiun…. Darinya kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan.

Salam Takziah untuk keluarga Almarhum Dato’ Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor atas kembalinya Almarhum kerahmatuLlah pada petang Rabu - 30/01/2008, kira-kira jam 02:50 petang di Hospital Sungai Buloh akibat pendarahan dalam kepala (strok) ketika usianya 80 tahun.

Berita mengenainya diperolehi ketika melayari Harakah Online. Tiba-tiba sahaja dada terasa sebak dan pilu mengenangkan seorang ulama yang begitu tawaduk dan tegas pendiriannya kini telahpun tiada. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada masyarakat Islam lebih-lebih lagi kepada pencinta syariaat Islam. Terbayang akan wajahnya yang sentiasa kelihatan tenang dengan serban putih tanpa ekor meliliti kepala dan janggut putih kemas dijaga. Tutur bicaranya amat lembut penuh hemah tetapi amat tegas dan tiada kompromi apabila menyentuh soal hukum-hakam dalam Islam.

Almarhum teguh berpegang kepada prinsip kebenaran walaupun amat pahit untuk ditelan sehingga menimbulkan beberapa kontroversi dengan pihak pemerintah. Rentetan dari peristiwa penahanan 3 wanita Islam ketika menyertai pertandingan ratu cantik di sebuah hotel di Subang Jaya menyaksikan kontrak perkhidmatannya sebagai Mufti Selangor telah ditamatkan pada bulan Oktober 1997.

Atas perkenan Sultan Selangor, jasad Almarhum telah disemadikan di Makam Diraja di Shah Alam kira-kira jam 10:50 pagi Khamis sebagai pengiktirafan atas jasa-jasa dan ketokohan Almarhum. Amat terkesan sekali melihat ribuan rakyat mengerjakan solat jenazah, betapa Almarhum amat disayangi. Moga roh Almarhum sentiasa dirahmati Allah SWT dan ditempatkan di kalangan para pejuang fisabiliLlah. Al-Fatihah.

No comments: