Wednesday, November 18, 2009

Berkelah di Cardinia Reservoir Park

Impian untuk berkumpul di taman sesama ahli keluarga Dandy Group akhirnya menjadi kenyataan. Sebelum ini hampir kesemua majlis diadakan di perkarangan rumah. Sememangnya telah kerap kali kami merancangnya tetapi sering terbantut akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.
Sebahagian foto ada di Album Foto Kami (Picnic @ Cardinia Park) atau klik di sini.

Pada pagi Ahad baru-baru ini kami berpiknik di Cardinia Reservoir Park, Narre Warren East. Majlis yang diadakan khusus untuk keluarga Dr. Siti Aminah yang akan pulang ke tanah air pada awal Disember nanti. Disekalikan juga dengan sambutan ulang tahun kelahiran di bulan November, antaranya Solehah Ropidi, Nabil Noh dan Marsya Hanif. Juga untuk ibu bapa yang menyambutnya (tahu-tahu sendiri).

Perancangan awal kami untuk mengadakannya di Lysterfield Park yang terletak tidak berapa jauh dari Dandenong tetapi berubah lokasi di saat-saat akhir. Pegawai Victoria Parks yang ditemui di Lysterfield Office menyarankan kami ke Cardinia Reservoir Park, lebih sesuai untuk perkumpulan yang besar. Dari pemantauan kami, ianya saranan yang amat baik sekali. Lysterfield Park agak kecil dan tiada padang permainan. Dikatakan ianya sentiasa penuh di hujung minggu kerana adanya pantai untuk bermandi-manda, terlebih lagi dengan cuaca panas seperti sekarang ini.

Cardinia Reservoir Park letaknya kira-kira 7 km dari Lysterfield Park. Ianya dibuka dari jam 9:00 pagi – 6:00 petang setiap hari. Cardinia Dam dan kangaroo adalah antara tarikan utama ke sini. Udara persekitaran yang segar dilingkungi pepohonan menghijau amat sesuai untuk tempat beristirehat bersama keluarga. Bagi yang menggemari kegiatan lasak, terdapat denai untuk diredahi.

Keadaan cuaca pada hari tersebut amat baik. Bahang panas mentari dengan suhu sekitar 23 darjah Celcius dengan angin berhembus lembut terasa begitu nyaman sekali. Apatah lagi dapat duduk-duduk di bawah teduhan pokok.

Kawasan berkelah yang dipilih adalah Crystal Brook Picnic Area yang terletak hanya beberapa rantai dari tembok empangan. Satu kawasan padang luas yang turut dilengkapi taman permainan kanak-kanak dan 2 buah wakaf berbumbung.

Konvoi kami tiba sedikit terlewat, setelah singgah di Dam Lookout berdekatan untuk menikmati keindahan persekitarannya sambil bergambar. Kedua-dua wakaf telahpun dipenuhi pengunjung berkumpulan. Mereka pun ada sambutan tersendiri. AlhamduliLlah, keluarga Huzaizi-Zainah yang tiba lebih awal sempat memilih satu sudut yang selesa di bawah teduhan pepohonan rimbun berhadapan taman permainan kanak-kanak. Terima kasih Zi dan Zai.

Dalam kesibukan ibu bapa memunggah juadah sarapan pagi dari kereta, anak-anak pula berkejaran ke taman permainan ataupun padang berdekatan. Tidak kira yang besar mahupun kecil sama sahaja. Saat yang amat ditunggu-tunggu, dapat bersama dengan rakan-rakan sebaya. Untuk bersarapan pun terpaksa dipanggil.

Malah ibu bapa pun turut merasa keseronokannya. Berbual, bercerita dan saling bertanya khabar ibarat telah lama tidak bersua. Cuma yang kurang seronoknya terutama bagi anak-anak adalah padangnya dipenuhi najis kangaroo yang lepas bebas ketika tiada pengunjung.

Pelbagai juadah yang dibawa (pot luck) memenuhi segenap penjuru meja. Nasi lemak, roti jala, mee goreng, nasi beriani, nasi goreng, lasagna, bubur pulut hitam dan bermacam-macam lagi termasuklah kueh-mueh serta kek-kek hari jadi. Semuanya sedap. Peluang yang tidak seharusnya dilepaskan. Kalah selera dengan nafsu.

Selepas sambutan ulangtahun kelahiran yang diadakan secara ringkas, majlis diteruskan dengan ucapan pengenalan diri oleh Dr. Zaiton dan Dr. Shahril. Kedua-duanya baru tiba di Melbourne untuk mengikuti latihan kerja antara 3 hingga 9 bulan.
Diikuti pula ucapan perpisahan oleh Dr. Siti Aminah serta penyampaian cenderahati, album foto kenang-kenangan dari Dandy Group. Jarak waktu hampir setahun dirasakan begitu cepat sekali berlalu. Sedar-sedar telah pun sampai ketikanya berangkat pulang ke tanah air. Moga silaturrahim yang terjalin terus kekal subur sepanjang zaman.

Melewati jam 1:00 petang, masing-masing beredar meninggalkan Cardinia Reservoir Park sambil membawa bungkusan bekal makanan. Harapan semua agar pertemuan seumpamanya dapat diadakan lagi. Insya Allah.
Ketika meninggalkan kawasan berkelah, para pengunjungnya masih lagi ramai. Malah yang baru tiba pun masih lagi bertali arus. Begitulah nikmatnya panas apabila sekian lama alam diselimuti hawa sejuk. Segalanya ketentuan Illahi. Sewajarnya kita yang mengimaninya bersyukur atas anugerah dariNya. AlhamduliLlah.

No comments: