Monday, November 9, 2009

Panas Terik Di Musim Bunga

Cuaca hari ini panas sekali. Semalam pun serupa. Begitu juga kelmarin. Esok dan hari-hari menjelang hujung minggu ini pun diramalkan sama. Suhunya antara 30 – 35 darjah Celcius. Panasnya kering tidak seperti panas lembab di kawasan khatulistiwa. Angin pula seakan segan bertiup menyebabkan persekitaran lebih terasa panasnya.

Ini baru di pertengahan musim bunga, suhunya sudah seakan musim panas. Gelombang panas yang sememangnya tidak dapat dijangka. Dikatakan fenomena ini akan lebih ketara ketika musim panas nanti. Amat dikhuatiri peristiwa hitam, Black Saturday 07 Februari, 2009 berulang kembali. Moga-moga dijauhi olehNya. Ameen.

Teriknya panas sehingga kulit terasa perit. Telinga dan pipi memerah, apatah lagi bagi mereka yang berkulit putih (walaupun berketurunan Melayu). Kulit cepat sekali kekeringan. Kanser kulit adalah antara akibat yang amat ditakuti. Justeru itulah sunscreen cream dengan SPF sekurang-kurangnya 30+ amat disarankan untuk disapu di permukaan kulit terdedah. Di sekolah pula, para pelajar diwajibkan memakai topi ala koboi ketika berada di luar kelas.

Ketika berurusan di luar, tidak menghairankan kiranya ketemu sebilangan orang yang hanya berkaki ayam berjalan di tepi jalan mahupun di pusat-pusat membeli belah. Kanak-kanak tanpa baju dengan seluar pendek adalah pemandangan biasa. Wanita dengan pakaian singkat dan terdedah ‘tak cukup kain’ usah dihiraukan, terlebih lagi di negara orang putih seperti Australia. Kain di jemuran pula sekejap sahaja kering.

Apabila panas seumpamanya, banyak saranan yang diutarakan. Keluar rumah ke kawasan terbuka sebaiknya dielakkan kecuali ada keperluan mendesak. Pencahayaan terus ke dalam rumah juga sebaiknya diminimakan. Langsir dan bidai hanya dibuka ala kadar sahaja.
Itulah yang kami lakukan tetapi bahang panas di dalam rumah tidak dapat dielakkan. Bacaan termometer di ruang tamu mencecah sehingga 35 darjah Celcius. Kesan udara panas yang terperangkap di dalam rumah. Udara sejuk dari air conditioner dan kipas benar-benar terasa nikmatnya terutama di malam hari.

Terdetik di hati... panas di dunia hanya sedikit, di Padang Mahsyar nanti terlebihlah lagi. Mataharinya hanya sejengkal di atas ubun-ubun kepala. Peluh mereneh keluar membanjiri persekitaran. Apatah lagi di dalam neraka dengan api marak meratah jasad yang dihumbankan ke dalamnya. Ya Allah... terasa amat gerun sekali apabila mengingatkannya...

Justeru itu terimalah kepanasan dengan kesyukuran. Anggaplah ianya sebahagian daripada anugerahNya. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Sekurang-kurangnya menginsafi diri sebelum dipanggil menghadapNya.

No comments: