Monday, September 20, 2010

Sambutan Raya Dandenong


Koleksi foto Raya terdapat di Album Foto Kami (Raya Dandy 2010).
Setiap tahun warga Kg Dandy tidak pernah ketinggalan menganjurkan Sambutan Raya Eid ul Fitr. Di samping untuk meraikannya sesama orang kampung, kami turut menjemput rakan-rakan lain dari kampung berjiran, terutamanya ahli keluarga South Eastern Families dan juga rakan-rakan dari utara Melbourne, Gippsland dan juga sekitarnya. Juga kenalan dari kalangan pemastautin tetap di Melbourne.

Untuk kali ini, program berkenaan telah diadakan pada hari Sabtu baru-baru ini bertempat di Jells Park. Satu kelainan dari segi tempat berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana rumah-rumah menjadi pilihan.

Malah Sambutan Raya kali ini adalah yang terakhir untuk kami sekeluarga di perantauan setelah 5 kali berturutan tahun menyambutnya di Australia sejak tahun 2006 di Adelaide.

Cuaca di sebelah pagi amat menggusarkan hati. Hujan gerimis berserta angin bertiup menyebabkan persekitaran dirasakan begitu sejuk sekali. AlhamduliLlah, mulai jam 9:00 pagi sehinggalah majlis berakhir sekitar jam 4:00 petang, mentari kerap bersinar terang, sesekali mendung mengiringinya. Begitulah ketentuanNya. Moga itu tandanya ada rahmat Allah di sebaliknya.

Menu utama program kami kali ini adalah nasi kerabu, BBQ kambing-ayam-sosej, sup kambing dan daging masak hitam manis. Juadah sampingan seperti cocktail, kueh mueh, mee hoon, dendeng dan bermacam-macam lagi memenuhi setiap penjuru meja.

Sehari sebelumnya, sebahagian kaum ibu berkumpul di rumah Suraya untuk menyiapkan rencah dan ulaman nasi kerabu. Teringat pada tahun lepas di mana kaum bapa berkumpul di rumah yang sama untuk menyediakan sate dengan diketuai oleh pakar sate, Mokhtar.

Kehadiran para jemputan kali ini memuaskan walaupun sebahagiannya tidak dapat datang. Ramai yang tidak sihat, kesan perubahan musim dan keadaan cuaca yang tidak menentu sejuk dan panasnya. Namun kemeriahannya masih menyerlah. Ibu bapa dengan rakan-taulan, anak-anak pula dengan kelompok umur masing-masing. Kegembiraan dan keseronokan jelas terpancar dari setiap wajah.

Sebelum kami berpisah di sebelah petangnya, kesempatan diambil untuk meraikan Zura sekeluarga yang akan berpindah ke New Castle, NSW di penghujung bulan ini. Merekalah antara keluarga terawal di Dandenong selepas Dr. Aznan dan Dr. Nordin yang telah pun pulang ke tanah air. Moga persahabatan yang sedia terjalin terus berpanjangan selamanya. Ameen.
Tidak dilepaskan juga peluang untuk merakamkan foto keluarga Kg Dandy sebagai kenang-kenangan. Ramai di antara kami akan berpisah di akhir tahun ini, kembali ke tanah air setelah menamatkan pengajian masing-masing.

Berbanyak-banyak terima kasih kepada rakan-rakan Kg Dandy yang menunjukkan semangat berkerjasama yang mengkagumkan dalam menjayakan Sambutan Raya pada kali ini.

No comments: