Wednesday, September 29, 2010

Great Ocean Road - Bhg 1

Pagi semalam tetamu kami; Cik Kamal (Siti Kamalia, ibu saudara Laili), Hafizi, Kak Ijan (Rohizan, sepupu Laili), Wandah dan rakan Kak Ijan, Ros (Siti Roswany) telah berangkat pulang ke Malaysia setelah lebih 10 hari bertamu di rumah kami. AlhamduliLlah... petangnya khabar diterima semuanya selamat tiba di tanah air.

Mereka tiba di Melbourne pada pagi Ahad, 19/09/2010 menaiki Penerbangan Air Asia. Kami menjemput mereka di Melbourne Airport, terus dibawa memenuhi jemputan raya di rumah Rozali-Zai, kenalan warga Singapura yang telah lama menetap di sini. Terima kasih Zali dan Zai.

Pada hari Isnin dan Selasa, mereka hanya dibawa berjalan-jalan di sekitar Dandenong; Dandenong Market, Dandenong Plaza, DFO Morrabbin dan beberapa kedai barangan terpakai (Savers, Salvos dan Vinnies). Tambahan pula Laili ada temu janji dengan penyelia pengajiannya di universiti. Elok juga... dapatlah mereka berehat dan menyesuaikan diri dengan perubahan masa dan cuaca yang sejuk di Melbourne.
Sebahagian foto di Great Ocean Road terdapat di Album Foto Kami (Great Ocean Road 01).

Perjalanan ke Aireys Inlet
Tengahari Rabu, menaiki 2 buah kereta kami memulakan perjalanan ke Torquay, di mana bermulanya The Great Ocean Road. Keadaan cuaca baik sekali, panas dan mendung silih berganti.

Setibanya di Geelong kami menyinggah di Rippleside Park untuk makan tengahari. Sempatlah masing-masing bergambar di Rippleside Quay yang menghadap ke Corio Bay. Begitu juga di sepanjang jalan pesisir pantai Great Ocean Road. Banyak tempat singgahan strategik disediakan menghadap Bass Strait.

SubhanaLlah, betapa indah dan uniknya alam ciptaan Allah. Lautnya membiru, ombak tenang membadai pantai yang berbatu-batu, cerun dan jurang beralur-alur kesan hakisan angin dan ombak.

AlhamduliLlah, kami tiba di Lightkeeper Inn, Aireys Inlet kira-kira jam 3:30 petang. Itulah tempat menginap kami. Petangnya dan keesokan paginya kami berjalan kaki ke pantai di mana letaknya mercu tanda Aireys Inlet, Split Point Lighthouse setinggi 34 meter yang dibina pada tahun 1891, sehingga kini masih beroperasi. Table Rock dan Eagle Rock jelas kelihatan berhampiran pantai. Menariknya terdapat juga Blowhole di tebing tinggi.

Menunggang Kuda @ Blazing Saddle
Agenda kami pada pagi Khamis adalah ke Blazing Saddle, tidak jauh dari motel, khusus untuk sesi menunggang kuda. Hanisahlah yang paling teruja, sesuatu yang telah lama diimpikannya. Turut serta adalah saya, Izzuddin, Solehah dan Ros. Masing-masing dengan kuda sendiri.

Hampir 2 jam kami dibawa melalui laluan hutan, mendaki dan menuruni bukit sambil diberi tunjuk ajar oleh para pengajarnya. Gerun juga di hati, bimbang tersilap bagi arahan/reaksi kepada kuda yang ditunggangi, nanti lain pula aksinya. Imran dan Wandah pula menaiki kuda kecil, pony sambil dibawa berjalan oleh Laili dan Kak Ijan meredah denai yang ditetapkan.

Pengalaman pertama yang tidak mungkin dilupakan. Pakaian yang dipakai pun berbau kuda. Nasiblah...

Perjalanan ke Port Campbell
Menghampiri waktu tengahari kami meneruskan perjalanan melalui Great Ocean Road. Singgahan makan tengahari kami adalah di Lorne Surf Centre, berhampiran pantai yang digemari oleh para peluncur air. Di sepanjang jalan pesisir pantai menuju Port Campbell, keindahan alamnya masih kekal terpelihara, memukau pandangan mata setiap pengunjung.

AlhamduliLlah, kami tiba di Port Campbell Holiday Park di mana kami bermalam kira-kira jam 4:00 petang. Bersebelahannya adalah Port Campbell Jetty yang terletak di teluk kecil, Port Campbell Bay yang berpantai, tempat singgahan wajib kami sebelum ini setiap kali ke Great Ocean Road.

No comments: