Friday, December 21, 2007

Eid Adha di Rantauan

Eid Adha di Victoria disambut pada hari Rabu, 19/12/2007 setelah kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan Hari Wukuf jatuh sehari sebelumnya. Begitulah seperti yang diwartakan oleh Islamic Council of Victoria (ICV). Akan tetapi masyarakat Turki di Dandenong (dan juga di lain-lain tempat di Victoria) meraikannya pada hari Khamis, 20/12/2007. Masing-masing mempunyai authoriti dan kriteria tersendiri untuk menentukan tarikhnya.

Secara peribadi terasa terkilan kerana nampak seolah-olah tiada kesatuan di kalangan komuniti umat Islam hatta dalam satu negeri malah di satu tempat yang sama. Dibimbangi ianya menjadi sinis di mata masyarakat bukan Islam melihat isu sekecil itu pun orang Islam tak bersatu sedangkan orang Kristian dari pelbagai fahaman pun boleh meraikan Christmas pada tarikh yang sama, 25 Disember setiap tahun. Apatah lagi dalam isu yang lebih besar. Mungkin isunya kecil bagi kita tetapi besar bagi bukan Islam lebih-lebih lagi yang memusuhi Islam.

Berbalik pada sambutan Eid Adha pada tahun ini. Rasanya sedikit hambar berbanding Eid Fitri. Mungkin juga bagi kami tetapi tidak pada orang lain. Apatah lagi kami langsung tidak mengenakan pakaian raya, sut baju Melayu, jadi mood raya pun tak timbul. Terdapat pelbagai aturcara diatur oleh para pelajar Malaysia di Victoria tetapi tidak dapat kami turuti kerana cuaca yang agak kurang baik.

Solat Eid Adha pada 19/12/2007 dilangsungkan di padang Monash Uni, kira-kira jam 08:15 pagi. Juga diadakan di Dewan Malaysia di City pada jam 09:00 pagi. Kedua-duanya kami tak pergi kerana anak-anak nak ke sekolah, ada jamuan katanya, tambahan pula hujan renyai-renyai mulai turun. Tapi adalah kami pergi beraya ke rumah Anang Hudaya di Wellington Rd, Clayton pada sebelah tengaharinya. Ramai yang datang terutama di kalangan rakan-rakan yang tinggal di Clayton dan Dandenong, setengahnya lengkap berpakaian sut baju Melayu, pasti semangat raya mereka mekar segar sesegar warna-warni pakaian yang dipakai. Jamuan raya dan pembahagian daging korban pula diadakan di Dewan Malaysia petang semalam tetapi kami tak pergi kerana hujan turun agak lebat.

Solat Eid Adha dilaksanakan pada keesokan harinya di Masjid Emir Sultan, Dandenong kira-kira jam 06:50 pagi (waktu Syuruk jam 05:50 pagi) mengikut komuniti Muslim Turki, rasanya bermazhab Hanafi. Caranya agak berbeza dari kebiasaan dilakukan pengikut Mazhab Shafie (seperti di Malaysia dan komuniti Islam di Monash Uni) tetapi dalam soal furuk sahaja, asasnya tetap sama, solatnya 2 rakaat berserta 2 khutbah selepasnya.

Takbir raya dilafazkan bersama beramai-ramai tanpa diselang-seli oleh naqib. Hanya rangkap biasa sahaja tanpa rangkap penutup yang dilafazkan 3 kali setiap sesi. Tiada takbir sebelum solat sunat raya tetapi dimulai selepas selesai solat sunat, seawal imam berkhutbah dan selepas imam berkhutbah. Intonasinya sama seperti yang biasa kita lagukan tetapi tidaklah mendayu-dayu tetapi mampu menyentap rasa sayu di hati, teringat betapa bertuahnya mereka yang sedang bertakbir megah di bumi Mekah, seterusnya melengkapkan rukun ke lima sebagai umat Islam. Moga kami pun berkesempatan untuk ke sana. Doakan. Ameen.

Umumnya solat raya yang biasa kita amalkan disertai 7 takbir dengan 6 tasbih pada rakaat pertama sebelum bacaan surah Al-Fatihah oleh imam dan 5 takbir dengan 4 tasbih sejurus bangun pada rakaat kedua. Akan tetapi mereka lakukan hanya 3 takbir berserta 2 kali tasbih sebelum bacaan Al-Fatihah pada rakaat pertama. Manakala pada rakaat kedua sedikit berbeza, takbir sebanyak 3 kali disertai 2 tasbih dilafazkan selepas bacaan surah oleh imam, yakni sebelum rukuk. Namun ianya tidak mencacatkan kerana menurut seorang ustaz, jika dilakukan solat sunat raya sama seperti solat sunat biasa pun tak mengapa.

Akan tetapi alangkah baiknya setiap amalan Islam boleh disepakati oleh sekian ulama muktabar dari kesemua mazhab dilaksanakan secara sama sahaja. Maaf, bukan bermaksud menafikan keilmuan setiap ulama mazhab yang tiada tandingannya, apatah lagi untuk menyanggahnya. Perlu diingat, setiap mazhab yang dikategorikan Ahli Sunnah wal Jamaah adalah diyakini betul, jadi tiada salahnya mencari kesepakatan di dalam beberapa amalan yang tidak sama. Difahamkan usaha mencari kesepakatan dalam hukum hakam dan amalan Islam sedang giat diusahakan oleh sebahagian ulama diketuai oleh ulama terkenal Yusof Al-Qardhawi. Moga usaha murni mereka membuahkan hasil yang diberkati Allah SWT dan membawa kesejahteraan kepada semua umat Muhammad SAW. Ameen.

No comments: